Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Rahsia buruh enggan buka pintu terbongkar




KUALA TERENGGANU - Rahsia seorang buruh yang enggan memberi kerjasama membuka pintu rumahnya walaupun diarahkan berkali-kali terbongkar apabila polis menemui selaras senapang angin buatan sendiri di dalam biliknya di kampung Padang Ujib, Manir, dalam serbuan awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, senapang angin yang disangkut di dinding bilik rumahnya itu ditemui setelah pemeriksaan dijalankan di kediaman suspek, 28, kira-kira jam 5.20 pagi.

“Suspek yang tinggal bersendirian enggan membuka pintu walaupun diberi masa beberapa jam dan disebabkan kedegilan suspek, kami terpaksa mengambil tindakan memecahkan pintu rumah itu.

“Setelah pemeriksaan dijalankan, kami berjaya menemui suspek yang ketika itu bersembunyi di dalam sebuah bilik di rumah terbabit dan turut menjumpai selaras senapang angin dipercayai buatan sendiri yang digantung didinding bilik tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut Manoharan, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek kini ditahan di balai polis daerah Kuala Terengganu dan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen serta turut didakwa di bawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya (ADB).
SH

No comments:

Post a Comment