Search This Blog

Tuesday, April 19, 2011

Perompak lori guna pistol mainan tumpas


PETALING JAYA: Kelicikan sekumpulan penjenayah yang hanya menggunakan pistol mainan untuk merompak lori dan treler membawa muatan barangan elektrik bernilai ratusan ribu ringgit di sekitar Lembah Klang, berakhir apabila lapan anggota kumpulan itu dicekup polis, baru-baru ini. 


Semua lelaki berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 8 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata pihaknya percaya kumpulan itu mendalangi kes samun sejak beberapa bulan lalu dengan menggunakan dua teksi yang disewa untuk tujuan penyamaran.
“Mereka akan memintas treler disasarkan menggunakan teksi sebelum mengacukan pistol untuk mengarahkan pemandu memberhentikan treler.

“Mereka mengikat pemandu treler dan meninggalkannya di tepi jalan sebelum melarikan treler itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, semalam.

Hasil penahanan mereka, polis turut merampas wang tunai RM31,000, dua teksi, beberapa pistol mainan serta sebahagian barangan elektrik yang dilarikan mereka, antaranya set teater rumah dan televisyen.

Difahamkan, selepas beberapa siri samun membabitkan treler bermuatan elektrik di sekitar Lembah Klang dengan kes terbaru pada 25 Mac lalu, polis menubuhkan pasukan khas menerusi Operasi Kargo.
“Kita sedang mengesan dua lelaki, G Elango, 29, dan G Kesavan, 23, untuk bantu siasatan,” katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment