Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Penganggur, pemandu teksi edar dadah dihukum gantung




Lee Kum Choy (tengah) dan Norisam Akram Mullah (menutup muka) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mereka dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 5 April - Usaha seorang penganggur dan pemandu teksi untuk menyakinkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka tidak mengedar kanabis dua tahun lalu, gagal menyelamatkan mereka daripada hukuman gantung.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Tan Sri Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Norisam Akram Mullah, 39, dan Lee Kum Choy, 46, selepas didapati bersalah mengedar 4,749 gram kanabis.
Kesalahan itu didapati dilakukan di simpang tiga sekitar Blok H, Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Jalan Kuching, di Kuala Lumpur pada pukul 2.30 pagi, 19 Januari 2009.
Hakim Mohd. Sofian yang bertugas di sini berkata, mahkamah menolak keterangan Norisam bahawa dia hanya menahan teksi yang dipandu oleh Kum Choy untuk pergi ke rumah rakannya bernama Along di Jalan Ipoh dekat sini sebelum polis membuat tangkapan.
''Keterangan mengenai Along adalah rekaan semata-mata kerana tertuduh gagal memberikan alamat rumah Along selain isu itu hanya ditimbulkan pada peringkat pembelaan,'' kata beliau.
Hakim Mohd. Sofian turut menolak keterangan Kum Choy yang mendakwa dia tidak berniat berjumpa dengan Norisam tetapi sekadar bersiar-siar di sekitar Jalan Kuching.
Beliau juga tidak mempercayai alasan Kum Choy kerana pada pukul 2.30 pagi dia boleh mencari penumpang di kawasan lebih padat seperti di Bukit Bintang.
Mahkamah mendapati mereka mempunyai pemilikan, jagaan dan kawalan ke atas kanabis yang dijumpai di dalam bonet teksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadzillah Begum Abdul Ghani mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati mandatori.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment