Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Pendatang bakar blok kediaman




 ANTARA pendatang yang melarikan diri   ditangkap semula dan dimasuk ke dalam lokap  selepas kejadian merusuh dan membakar blok   Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, semalam.
ANTARA pendatang yang melarikan diri ditangkap semula dan dimasuk ke dalam lokap selepas kejadian merusuh dan membakar blok Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, semalam.

109 warga asing di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng lari selepas merusuh 
LENGGENG: Seramai 109 pendatang tanpa izin yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng di sini, melarikan diri selepas merusuh dan membakar blok yang mereka duduki, malam kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 9.45 malam itu, seramai 348 pendatang tanpa izin lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun merusuh selepas mendakwa makanan disediakan tidak mencukupi dan mengambil tindakan membakar tingkat atas blok dua tingkat itu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abdul Manan Mhd Hassan, berkata dalam kejadian itu, seramai 109 pendatang tanpa izin iaitu 85 warga Myanmar dan selebihnya warga Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Iran bertindak melarikan diri melalui pagar dawai yang hanya 10 meter dari blok berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga jam 8 malam semalam, seramai 35 tahanan berjaya ditemui semula sekitar kawasan ladang kelapa sawit, hutan dan rumah di kampung berhampiran.

“Kejadian berpunca selepas mereka mengadakan rusuhan yang kononnya tidak mendapat makanan cukup dan sedap ketika berada dalam tahanan.

“Selepas itu mereka bertindak membakar blok didiami dan keluar melalui pagar dawai,” katanya pada sidang media di Depot Tahanan Lenggeng, di sini, semalam.
Seramai 925 penghuni ditempatkan di tiga blok depot tahanan itu, melebihi jumlah sepatutnya, iaitu seramai 750 orang. Berikutan itu, sebahagian mereka akan dihantar ke depot lain untuk sementara waktu dalam tempoh terdekat antaranya ke depot di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Abdul Manan berkata, seramai 200 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama imigresen dan RELA kini sedang giat mengesan baki pendatang tanpa izin yang dipercayai masih berkeliaran sekitar kawasan itu.

“Kita akan menjalankan siasat. Kebanyakan pendatang tanpa izin yang sudah berada di sini dari tiga bulan hingga setahun enggan pulang ke negara asal dan memilih untuk ke negara ketiga yang memerlukan proses lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Depot, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohmed Asri Yusof dalam satu kenyataan berkata, Ketua Setiausaha Dalam Negeri sudah melantik jawatankuasa untuk menjalankan siasatan kejadian rusuhan yang berlaku.

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Audit Dalam KDN dan ahlinya terdiri daripada Pegawai Kanan Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan RELA," katanya.
Berita Harian Online | Pendatang bakar blok kediaman

No comments:

Post a Comment