Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Panjat bumbung

GEORGETOWN: Seorang lelaki sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan bertindak memanjat bumbung sebuah hotel untuk meloloskan diri daripada ditahan dalam satu operasi maksiat di Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah (SPT), kelmarin.
Lelaki berusia 20-an itu adalah antara empat pasangan kekasih berusia antara 20 dan 30-an yang dicekup selepas disyaki berkhalwat di beberapa hotel di Seberang Jaya dan Butterworth.

Operasi cegah maksiat bermula dari jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 9 pagi itu membabitkan sepasukan 12 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Penolong Ketua Unit Operasi, Ibrahim Md Jaki.

Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Jaafar Ismail berkata, dalam pemeriksaan itu, beberapa hotel diperiksa selepas semakan di buku pendaftaran masuk mendapati terdapat pasangan mencurigakan.

Beliau berkata, di salah sebuah hotel, salah seorang pegawai penguat kuasa agama dimaklumkan seorang lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap bilik hotel untuk ke bumbung.


“Ketika lelaki berkenaan cuba melarikan diri, perbuatannya dilihat dan disedari sebelum dia disergah menyebabkannya terkejut dan menyerah diri.

“Pemeriksaan lanjut di bilik yang disewa lelaki berkenaan menemui seorang wanita dan soal siasat mendapati kedua-duanya mengaku pasangan kekasih.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan kedua-duanya berpakaian lengkap,” katanya.

Jaafar berkata, dalam pemeriksaan di sebuah hotel di Seberang Jaya kira-kira jam 3 pagi, seorang lelaki yang hanya bertuala mengaku tinggal berseorangan di dalam bilik sedangkan teman wanitanya bersembunyi di bilik air.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu lelaki berusia 20-an terbabit enggan memberi kerjasama ketika diminta pegawai penguat kuasa agama, namun terpaksa akur selepas pelbagai jenis pakaian wanita ditemui dalam bilik berkenaan.


Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Butterworth sebelum laporan tangkapan dibuat di Balai Polis Butterworth untuk siasatan lanjut.


“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


“Semua pasangan itu dibebaskan dengan ikat jamin JHEAIPP selepas keluarga dan waris hadir menjamin mereka,” katanya.
myMetro | Panjat bumbung

No comments:

Post a Comment