Search This Blog

Monday, April 11, 2011

Nyaris lemas dalam diesel

MELAKA: Dua pekerja kilang kitar semula minyak diesel nyaris maut selepas lemas dalam tangki minyak ketika menjalankan kerja pembersihan di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, kedua-dua mangsa yang juga warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Sumber memberitahu, kejadian berlaku selepas seorang daripada pekerja yang membersihkan tangki mengandungi kira-kira 200 liter minyak diesel tiba-tiba lemas.
“Rakannya yang turut berada di situ kemudian cuba memberikan pertolongan selepas mendapati mangsa gagal keluar dari tangki berkenaan.

“Bagaimanapun kedua-dua pekerja itu lemas dan tidak dapat keluar dari tangki berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, pekerja lain yang turut menyedari kejadian itu segera memaklumkan kepada majikan lalu menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
Menurutnya, kedua-dua pekerja itu memakai topeng ketika melakukan kerja pembersihan dan kejadian itu adalah yang pertama berlaku walaupun sudah beberapa kali kerja pembersihan itu dilakukan.

Katanya, dia tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku dan mangsa diselamatkan bomba yang tiba tidak lama selepasdihubungi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abd Razak Abd Manaf, berkat pihaknya menerima panggilan jam 10.15 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi untuk menjalankan kerja menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba, kami mendapati dua pekerja berkenaan terperangkap di dalam tangki minyak lalu melakukan usaha mengeluarkan mereka.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan kira-kira jam 10.30 pagi manakala lelaki kedua dikeluarkan 10 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua mangsa itu kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
myMetro | Nyaris lemas dalam diesel

No comments:

Post a Comment