Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Murid 11 tahun kerap tertidur lepas kemalangan

BUTTERWORTH: “Selepas kemalangan itu, saya kerap tertidur dan ada ketika sehari hingga tiga kali saya tertidur. Malah, pernah ketika main permainan komputer, berbual-bual dan di dalam kelas saya tertidur tanpa disedari,” kata Muhammad Abrar Mazlan, 11.
Murid Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Jaya, dekat sini, itu mengalami masalah berkenaan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 15 Mac lalu apabila dilanggar kereta ketika hendak melintas jalan di Pekan Darat.

Kejadian itu menyebabkan Muhammad Abrar cedera di kepala, patah tulang rusuk selain mengalami gegaran di kepalanya.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang, dia bersama rakan menunggang basikal untuk ke padang berdekatan rumahnya di Pekan Darat.

“Kami menaiki dua basikal, rakan saya sempat menyeberangi jalan, tetapi saya tidak sempat. Seingat saya, tiada kenderaan menghala ke arah saya, namun saya tidak ingat apa yang berlaku dan apabila sedar saya sudah ada di hospital,” katanya.


Ibunya, Norwatt Muhammad Yusuf, 42, berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya selama empat hari.

Katanya, sepanjang di hospital, anaknya lebih banyak tidur dan kurang makan. Gejala itu berulang selepas anaknya keluar hospital.

“Saya berjumpa doktor untuk mengetahui punca kelakuan peliknya dan doktor memberitahu kelakuannya sementara saja,” katanya.

Norwatt berkata, dia masih bimbangkan keadaan diri anaknya itu kerana Muhammad Abrar pernah beberapa kali mengadu sakit tulang rusuk selain trauma akibat kemalangan berkenaan.

“Dia ada mengadu sakit tulang rusuk di bahagian kanan yang patah dalam kejadian itu, tetapi sudah dicantumkan kembali melalui pembedahan,” katanya.
myMetro | Murid 11 tahun kerap tertidur lepas kemalangan

No comments:

Post a Comment