Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Lori ‘melekat’ belakang treler

KUALA KANGSAR : Seorang pemandu lori maut apabila lori dipandunya merempuh lalu ‘melekat’ di belakang sebuah treler membawa muatan tiang simen cerucuk dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 256.1, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran terowong Menora, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam, Ong Kim Wooi, 46, parah di seluruh anggota tubuhnya dan gagal dikeluarkan orang ramai berikutan tersepit dalam kenderaan terbabit.

Difahamkan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa lebih satu jam untuk memotong komponen kepala lori yang remuk bagi mengeluarkan mayat mangsa. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa maut akibat cedera parah dalam kemalangan itu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam kelmarin, lori dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang berada di hadapan lorong sama.

“Pelanggaran kuat itu menyebabkan mangsa dari Taman Perling, Johor Bahru itu maut di tempat kejadian.


Bagaimanapun, katanya, pemandu treler iaitu seorang lelaki India berusia 47 tahun tidak cedera dan kemalangan itu tidak membabitkan mangsa lain.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dituntut waris kira-kira jam 6 petang semalam.
myMetro | Lori ‘melekat’ belakang treler

No comments:

Post a Comment