Search This Blog

Monday, April 18, 2011

Kucup gambar anak sebaik dibebas hukuman gantung


ABDUL NIRWAN   (kiri) dan Mohammad Zalmizi berpelukan   selepas  mereka terlepas hukuman gantung.
ABDUL NIRWAN (kiri) dan Mohammad Zalmizi berpelukan selepas mereka terlepas hukuman gantung.

ALOR SETAR: Suasana di pekarangan Mahkamah Tinggi, di sini semalam sebak apabila seorang daripada dua lelaki yang dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh Naib Ketua Pemuda MCA Bahagian Padang Serai, Ching Eng Wah, empat tahun lalu menitiskan air mata sambil berkali-kali mengucup gambar anak perempuannya yang didakwa tidak ditemui sejak tiga tahun lalu. 


Mohammad Zalmizi Hasim, 27, yang juga tertuduh kedua pada mulanya kelihatan tenang, namun mengalirkan air mata sebaik polis membuka kunci garinya di kandang tertuduh selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan melepas dan membebaskan Abdul Nirwan Abdul Aziz, 31, dan Mohammad Zalmizi.
Keputusan itu dibuat oleh Zakiah selepas mahkamah mempertikaikan kegagalan pihak pendakwaan memanggil dua saksi penting dalam kes itu untuk memberi keterangan bagi mensabitkan kesalahan terhadap kedua-dua tertuduh.
Suasana penuh emosi itu berlarutan hingga ke pekarangan mahkamah apabila Mohammad Zalmizi berulang kali mencium gambar anaknya yang kini berusia enam tahun yang didakwa tinggal bersama isterinya di Bachok, Kelantan. 


Mohd Zalmizi berkata, dia akan pulang ke kampungnya di Bachok secepat mungkin untuk bertemu anak perempuan tunggalnya yang berusia dua tahun ketika ditinggalkan. 


“Gambar dialah yang menjadi peneman ketika saya merinduinya dan ia sentiasa ada di dalam poket saya. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi kesempatan untuk saya membina semula kehidupan bersama anak dan isteri,” katanya sebak. 


Mengikut pertuduhan, Abdul Nirwan dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Mohammad Zalmizi dituduh melakukan kesalahan membunuh hingga menyebabkan kematian Eng Wah dengan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat Jalan Lunas-Padang Serai, Pekan Padang Serai kira-kira jam 8.50 pagi, 17 Ogos 2007. 
Zakiah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membawa dua saksi penting iaitu lelaki bernama Jefri Din dan Herman Hamzah yang membawa kepada penemuan pistol yang didakwa menjadi senjata pembunuhan. 


Katanya, pihak pendakwa gagal memanggil Jefri iaitu lelaki yang memberi maklumat mengenai penemuan bungkusan berisi pistol di dalam semak yang dikatakan berada di belakang rumah Herman yang dijadikan senjata untuk membunuh Eng Wah. 


“Pihak pendakwaan juga tidak dapat membuat ujian ke atas pistol yang dijumpai itu kerana ia sudah tidak boleh berfungsi untuk dikaitkan sebagai senjata yang membunuh mangsa. 


“Selain itu, isteri mangsa yang juga saksi utama pendakwaan juga tidak nampak siapa yang menembak mangsa kerana sedang sibuk mencari telefon bimbitnya dan hanya terlihat dua lelaki menaiki motosikal dalam keadaan tergesa-gesa memecut ke arah Baling,” katanya. 


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Ana Rozana Mohd Noor, manakala, Abdul Nirwan diwakili oleh Ai Cha Ran dan Mohammad Zalmizi diwakili oleh Naran Singh. 

No comments:

Post a Comment