Search This Blog

Saturday, April 23, 2011

Kena bayar denda RM71,000 berbaloi'





2011/04/23

SWEE SIONG bersama Bi-Anne gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya memberikan hak penjagaan sementara kepadanya, semalam.
SWEE SIONG bersama Bi-Anne gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya memberikan hak penjagaan sementara kepadanya, semalam.
Bapa lega kes rebut anak sejak 2008 selesai 

PUTRAJAYA: Perjuangan seorang ayah untuk mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya daripada bekas isteri yang kini menetap di London sehingga terpaksa membayar denda sejumlah RM71,200 membuahkan hasil apabila Mahkamah Rayuan, di sini, memberikan hak penjagaan sementara kepadanya.
Kegembiraan jelas tergambar di wajah Low Swee Siong apabila mendukung anaknya, Bi-Anne, 12, ketika ditemui di luar mahkamah selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membe-narkan beliau menjaga anak perempuannya sementara menunggu keputusan pengubahan perintah hak penjagaan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Saya sangat gembira... saya rasa senang,” kata Bi-Anne yang sejak dari awal enggan mengikut ibunya, sebaliknya berkeras mahu tinggal bersama bapanya. 

Swee Siong yang turun naik mahkamah sejak 2008 bagi mendapatkan hak penjagaan yang diberikan mahkamah kepada bekas isterinya, jelas gembira dengan keputusan itu dan mahu menghabiskan masa bersama anaknya. 

“Hidup perlu diteruskan... keperitan dalam memastikan anak perempuan saya terus bersama sudah tidak ada lagi buat masa ini dan saya berdoa mahkamah memberikan hak jagaan kekal Bi-Anne kepada saya,” katanya. 

Dalam prosiding semalam, Hakim Mahkamah Rayuan Datin Paduka Zaleha Zahari yang mengetuai panel tiga hakim, bersama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hasrat Bi-Anne yang tidak mahu tinggal bersama ibunya Tan Siew Siew, di London. 
“Kami berpendapat, memutuskan hubungan erat beliau dengan bapanya, keluarga serta kawan-kawan, bukanlah satu cara yang realistik untuk menangani perkara ini," katanya. 

Zaleha berkata, Hakim Mahkamah Keluarga Datuk Yeoh Wee Siam juga tidak terkhilaf dalam keputusannya pada 13 September tahun lalu, apabila mensabitkan Swee Siong dengan kesalahan menghina mahkamah ekoran kegagalan perunding hartanah itu menyerahkan Bi-Anne kepada ibunya. 

Berikutan keputusan itu, Swee Siong didenda RM20,000 serta denda harian RM400 bagi setiap kelewatan dan sehingga 3 Mac lalu sudah membayar RM71,200 sebelum berjaya menggantung perintah berkenaan. 

Sementara itu, Peguam Pushpa Ratnam yang mewakili Swee Siong ketika ditemui berkata, mahkamah menetapkan 6 Mei depan bagi tarikh sebutan untuk pengubahan perintah dan anak guamnya perlu ke Mahkamah Keluarga semula untuk mengubah perintah berhubung hak penjagaan yang diberikan kepada bekas isterinya pada 6 Ogos 2008. 

Swee Siong dan Siew Siew berkahwin pada 1999 sebelum bercerai pada 2006 dan hak jagaan Bi-Anne diperoleh bapanya. Bagaimanapun, dua tahun kemudian, Siew Siew berjaya mendapatkan hak menjaga Bi-Anne manakala Swee Siong diberikan akses untuk melawat anaknya. – BERNAMA 

No comments:

Post a Comment