Search This Blog

Tuesday, April 12, 2011

Kempunan pulut durian

JITRA: “Saya sedih kerana arwah kempunan kerana tak sempat menjamah pulut durian yang dibeli pada malam Jumaat lalu kerana dia suka makan. Sampai sekarang saya masih teringatkan dia apabila terpandang buah durian yang masih banyak di rumah,” kata Hasnah Hasan, 51.
Hasnah adalah sepupu Allahyarham Md Zahir Saad, 43, yang meninggal dunia akibat dihempap sebatang pokok yang ditebangnya di kawasan bukit berhampiran Kampung Perik, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pokok yang ditebang mangsa dikatakan pecah dua sebelum membidas muka dan badan mangsa sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Difahamkan, mangsa dmengambil upah menebang pokok di tanah milik seorang penduduk kampung di situ bersama dua rakannya untuk tujuan pembersihan bagi memberi laluan untuk penanaman semula pokok getah di kawasan itu.

Sebelum ini, mangsa yang berasal dari Kampung Pokka, Kuala Nerang itu dikatakan pernah bekerja kontrak dengan Lembaga Getah Malaysia sejak lima tahun lalu mahir menebang pokok tetapi semalam nasibnya tidak baik apabila menemui ajal ketika bekerja.

Menurut Hasnah, kali terakhir dia menghubungi arwah pada malam Jumaat lalu untuk menjemput dia dan seorang lagi abangnya makan durian bersama keluarganya untuk meraikan kepulangan anak perempuannya yang sedang menunggu hari untuk bersalin.

Beliau berkata, arwah memberitahu yang dia mempunyai banyak urusan lain dan menyuruh mereka makan dahulu sebelum dia sampai.

“Saya tunggu dia sampai tengah malam tetapi dia tidak datang, namun saya masih simpan buah durian yang masih ada untuk dia tetapi tak sangka dia tidak sempat menjamah buah durian itu selepas dia meninggal dunia pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Jitra (HJ), di sini, semalam.
Hasnah berkata, arwah yang masih bujang kerap datang ke rumahnya setiap minggu untuk membasuh pakaian dan makan di situ kerana sudah kehilangan ibu sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia sudah berpesan kepada arwah supaya berhenti kerja sebagai pemotong pokok kerana kerja itu sangat merbahaya tetapi arwah berkeras untuk melakukan kerja itu bagi mencari pendapatan sampingan.

“Dia kata ajal maut di tangan Allah dan kalau nak mati, kat mana pun boleh mati sebab itu saya tak berdaya nak menghalang dia dari terus melakukan kerja memotong pokok itu.

“Dia seorang yang rajin kerana sanggup melakukan pelbagai kerja sampingan lain untuk menambah pendapatan malah sebelum ini saya sudah mencari calon isteri untuk dia tetapi dia tidak mahu,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Mansor Ibrahim, 46, berkata, sebelum kejadian dia bersama mangsa dan seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Ramli 40-an sempat minum bersama sebelum arwah meneruskan kerjanya.

Katanya, mereka bertiga berpecah ke beberapa tempat di kawasan bukit itu untuk meneruskan kerja masing-masing dan jarak dia dengan arwah hanya 60 meter.

“Tidak lama selepas itu, saya langsung tak dengar bunyi mesin pemotong itu dan cuba memanggil arwah beberapa kali tetapi dia tidak menyahut menyebabkan saya mengajak Ramli mencarinya.

“Setibanya di tempat kejadian, saya terkejut apabila mendapati kepala dan badan Md Zahir berlumuran darah menyebabkan saya berlari memangkunya tetapi ketika itu dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Mansor berkata, dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung sebelum memaklumkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, semalam.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Rumah Mayat HJ untuk pemeriksaan sebelum dituntut keluarganya kira-kira jam 4 petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokka, malam tadi.

No comments:

Post a Comment