Search This Blog

Saturday, April 30, 2011

Kecundang di awal pagi



TAPAH – Polis menangkap tiga lelaki berusia awal 20-an, kerana dipercayai mencuri rod copper milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, semua suspek ditangkap ketika leka memunggah beberapa rod copper dari Setor TNB, Jalan Bruseh, Bidor.

Menurut beliau, suspek telah ditahan sepasukan anggota polis yang kebetulan sedang menjalankan tugas rondaan jenayah awal pagi itu.

“Ketiga-tiga suspek ditangkap pada jam 2 pagi sewaktu memasukkan rod copper terbabit ke dalam sebuah kereta milik salah seorang daripada mereka.

“Setelah membuat pemeriksaan ke atas kereta itu, polis telah menemui 215 rod copper dengan panjang lebih kurang 1.5 meter setiap satu, di tempat duduk belakang kereta berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.

Roslan berkata, secara keseluruhan semua rod copper yang dicuri dianggarkan bernilai RM20,164.

Menurut beliau, polis percaya bahawa ketiga-tiga suspek sememangnya bergiat aktif dalam kegiatan seumpama itu.

“Hasil soal siasat ke atas semua suspek, mereka telah mengaku menjalankan kegiatan mencuri rod copper itu.

“Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut, bagi memastikan kemungkinan suspek turut terlibat dalam lain-lain kes kecurian seperti ini,” katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan dan akan dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, semua suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Kita juga masih berusaha mengumpul maklumat dan kerjasama daripada orang awam sangat penting untuk membantu polis menyelesaikan kes ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment