Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Hanyut 11 hari




GEORGETOWN - Empat nelayan warganegara Indonesia terpaksa mengalami detik yang menyeksakan selepas enjin bot menangkap ikan rosak sehingga mengakibatkan mereka hanyut dibawa arus laut selama 11 hari.

Bukan sahaja terpaksa tidur di tengah laut dengan bertemankan cahaya matahari dan kesejukan malam malah stok makanan yang dibawa mereka juga habis menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut selama 48 jam sebelum diselamatkan oleh Anggota Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Tekong bot, Irwan Shah Ridhwan, 27, bersama dengan Suhaimi Shah Putra, 21, Sulaiman Aliyas, 17, dan Adi Shah Putra, 17, dikatakan keluar ke laut pada 25 April lalu untuk menangkap ikan di sekitar perairan Belawan, Sumatera Indonesia.

Namun masuk hari keenam mereka menangkap ikan, enjin bot yang dibawa mereka mengalami masalah teknikal dan tidak boleh berfungsi sehingga membuatkan mereka terpaksa membiarkan bot itu hanyut dengan harapan akan dibawa arus ke pesisir pantai.

Irawan berkata, dia dan rakan-rakannya hanya bertawakal kepada tuhan sahaja dan tidak menjangka pada hari ke 10 sepasukan penyelamat daripada APMM datang memberikan bantuan kepada mereka.

“Kami hanya ingat mati sahaja kerana tidak tahu berapa lama lagi terpaksa berada di laut dengan keadaan lapar. Saya sendiri tidak tahu di mana kami berada ketika diselamatkan pasukan APMM.

“Memang amat perit kerana terpaksa berdepan dengan cuaca yang tak menentu selain hujan dan panas. Syukur kepada Allah kerana pasukan penyelamat dari Malaysia datang membantu menyelamatkan kami. Kalau tidak, saya tidak tahu apakah musibah seterusnya yang bakal menimpa,” katanya ketika ditemui media sebaik sahaja diselamatkan pasukan APMM.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim negeri Komander Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata operasi menyelamat empat nelayan bot itu dijalankan selepas APMM menerima maklumat daripada seorang nelayan tempatan yang menjumpai bot berkenaan pada 9.45 malam.
SH

No comments:

Post a Comment