Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

‘Esok rumah kita kenduri’

MUAR: “Ayah, malam esok rumah kita kenduri,” itulah kata-kata terakhir Mohd Azrul Afiq Norman, 7, yang ditemui lemas ketika mandi di sebuah parit di Kampung Parit Ulu Semerah, Air Hitam Batu 18, berhampiran Batu Pahat di sini, semalam, dan kata-katanya itu menjadi kenyataan kerana keluarganya mengadakan majlis tahlil untuknya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu meluahkan kata-kata berkenaan kepada bapanya, Norman Waki, 45, ketika menikmati ayam goreng kegemarannya selepas pulang daripada kenduri di rumah datuknya yang terletak berhampiran.

Mangsa ditemui lemas kira-kira jam 5.30 petang di parit kira-kira 20 meter dari rumahnya.

Norman dan isteri, Norizah Miskam, 41, tidak menyangka kata-kata anak bongsu mereka itu bermaksud majlis tahlil untuk dirinya sendiri.

“Selepas kejadian barulah saya menyedari maksud kata-kata Azrul itu,” katanya.


Norman tidak menyangka tragedi itu menimpa anak bongsunya memandangkan Azrul sebelum ini tidak pernah mandi di parit berkenaan dan sekadar memerhati rakan lain melakukannya.

Menurut Norman, sejak tiga hari lalu, Azrul turut berubah menjadi pendiam sedangkan dia sentiasa periang dan menjadi penghibur keluarga.

Ibu saudara Azrul, Noraini Abdullah, 42, menyambut jasad murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama itu sejurus ditemui.

“Mereka menghulurkan tubuh Azrul dan saya yang berada di tebing menyambutnya dengan harapan dia selamat, namun luluh hati apabila mendapati dia sudah tidak bernyawa,” katanya.

Menurut Noraini, dia mengetahui kejadian malang itu apabila anaknya pulang ke rumah sambil menangis dan memaklumkan Azrul terjatuh ke dalam parit ketika mereka bermain.


“Ketika itu saya berada di rumah ibu bersebelahan rumah Azrul dan memaklumkan ibu arwah sebelum bergegas ke parit berkenaan.


“Kami cuba mencarinya dan kebetulan dua lelaki yang juga jiran kampung, Miskan Kusno serta Musman Ahmad (masing-masing berusia 61 dan 48 tahun) melalui jalan berkenaan,” katanya.


Menurut Noraini, selepas dimaklumkan, kedua-dua lelaki berkenaan terus terjun dan menyelam untuk mencari Azrul, tetapi gagal mengesan mangsa.


Beberapa minit kemudian mereka menemui mangsa terdampar di tepi parit, tidak jauh dari lokasi mereka menyelam.


Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Muar sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru selepas solat Zohor, semalam.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
myMetro | ‘Esok rumah kita kenduri’

No comments:

Post a Comment