Search This Blog

Saturday, April 23, 2011

Dua lelaki curi peralatan pejabat ditahan polis



GEORGETOWN - Dua lelaki ditahan selepas terlibat dengan kes pecah pejabat di Prima Tanjung, Bandar Tanjong Tokong dengan kerugian dianggarkan RM15,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, seorang wanita membuat laporan polis pada 18 April lalu bahawa pejabatnya dipecah masuk dengan kehilangan pelbagai peralatan pejabat.

“Pada hari yang sama kira-kira jam 5 petang, hasil daripada siasatan pegawai dan anggota polis dari unit Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berjaya menangkap dua lelaki berumur 28 dan 30 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes ini.

“Seorang daripadanya mempunyai lapan kesalahan lampau iaitu tiga rekod jenayah dan lima rekod melibatkan dadah. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut sehingga 25 April ini. Polis juga berjaya merampas 15 monitor LCD komputer pelbagai jenama, enam komputer riba dan tiga unit pemprosesan komputer (CPU),” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, dengan tertangkapnya kedua-dua lelaki itu, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 10 kes pecah rumah dan pejabat yang berlaku sekitar kawasan daerah Timur Laut dan Barat Daya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun dan maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment