Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Dua beradik terlibat dadah diarah bayar denda



ALOR SETAR - Dua beradik yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam, atas dua pertuduhan berbeza, diarahkan membayar denda atau bakal berdepan dengan hukuman penjara.

Mohd Badrul Suhaidy Safie, 28, berhadapan dengan pertuduhan memiliki ganja seberat 6.87 gram dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1983) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM100,000, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Februari 2009, sekitar jam 12.45 pagi di hadapan rumah di Kampung Mergong Tengah, Alor Setar.

Majistret, Sasha Diana Sabtu mengarahkan Mohd Badrul Suhaidy membayar denda RM7,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang ditetapkan.

Sementara itu, Mohd Badrul Hafifi Safie, 26, pula dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali kerana dengan tanpa kebenaran memberikan ke dalam diri sendiri dadah berbahaya iaitu methaphetamine.

Mohd Badrul Hafifi didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Mei 2010 sekitar jam 2.45 petang di rumahnya di Perumahan Awam mergong, Alor Setar.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,200 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar jumlah ditetapkan selain akan diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil.
SH

No comments:

Post a Comment