Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Dapur musnah dihempap pokok




KEDAWANG - Keluarga mangsa ribut di Kampung Bukit Lembu, Mukim Kedawang mendapat perhatian Pejabat Daerah Langkawi yang tampil memberikan bantuan kepada mereka.

Akibat ribut, bahagian dapur rumah seorang ibu tunggal yang didiami bersama lapan anaknya musnah selepas dihempap pokok kekabu.

Jamilah Ibrahim, 48, kematian suami sepuluh tahun lalu manakala tiga daripada lapan anaknya masih bersekolah dan mereka hanya bergantung pada pendapatannya sebagai pekerja am di Galeri Laman Padi serta pendapatan anak sulungnya.

Anak mangsa berkata, kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu kira-kira jam 10 malam.

Berikutan kejadian itu, Ketua Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah menyampaikan sumbangan bernilai RM500 dari Tabung Bencana Pejabat Daerah Langkawi.

“Kami ada menyediakan bantuan kepada mangsa bencana dan mereka boleh memohon bantuan dari Tabung Bencana melalui ketua kampung dengan mengemukakan surat laporan polis mengenai kejadian bencana alam yang menimpa mereka,” katanya kepada wakil Sinar Harian.

Subhi berkata, beliau berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa.

“Masyarakat Langkawi perlu peka terhadap perubahan cuaca terutamanya ketika musim hujan dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.

Pejabat Daerah Langkawi turut menyampaikan sumbangan Tabung Bencana kepada sebuah keluarga di Kampung Tanjung di Mukim yang sama minggu lalu.

Pegawai dari Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pegawai dari Jabatan Pembangunan Persekutuan Langkawi sudah melawat rumah mangsa sejurus selepas kejadian bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Mansor Bahari.
SH

No comments:

Post a Comment