Search This Blog

Monday, April 18, 2011

Bumbung diterbangkan ribut



SERDANG JAYA – Puluhan penghuni Taman Serdang Jaya di sini terus dilanda resah apabila perumahan mereka sekali lagi menjadi laluan angin lintang menyebabkan ratusan bumbung di kawasan itu terbang ditiup angin petang Jumaat lalu.

Seorang penghuni, Arbaiah Yusof, 55, berkata, kejadian angin ribut melanda kawasan itu sejak tahun 1978 ketika mereka mula-mula menduduki perumahan itu.

Katanya, dalam kejadian Jumaat lalu, dia yang mengambil wuduk terkejut apabila mendengar bunyi dentuman petir yang kuat.

“Ketika itu saya hendak berwuduk bagi menunaikan solat Asar sebelum dikejutkan dengan bunyi guruh dan angin kuat.

“Sedar-sedar atap rumah jiran sudah terbang ke rumah saya dan dalam masa sama atap rumah di tingkat atas juga melayang diterbangkan angin,” katanya yang berasa sangat takut kerana tinggal berseorangan ketika itu.

Arbaiah berkata dalam keadaan gusar itu dia hanya mampu menadah tangan berdoa supaya angin tidak terus bertiup kencang dan menyebabkan kerosakan.

“Saya bagaimanapun bersyukur kerana wakil rakyat terus menghulurkan bantuan atap baru untuk dipasang semula.

“Ia berikutan rumah saya basah akibat siling rumah bocor kerana atap rosak,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Datuk Dr Mohamad Satim Diman yang melihat kerja-kerja pemasangan atap itu, semalam.

Beliau menyumbang 700 kepingan bumbung kepada rumah yang mengalami kerosakan di Jalan Raya 6, Jalan 5/2, Jalan 5/5, Jalan 5/1, Jalan 3/12, Jalan 3/10 dan Jalan 5/5.

Seorang lagi penghuni, Mohd Amir Abdullah, 19, berkata, dia sedang menonton televisyen ketika kejadian angin ribut melanda kawasan itu.

“Bekalan elektrik tiba-tiba terputus akibat hujan lebat bersama angin yang kuat memang merisaukan saya sekeluarga.

“Kami bernasib baik meskipun sepuluh keping atap diterbangkan, namun siling yang ada dapat menghalang air hujan dari masuk ke dalam rumah,” katanya. 

No comments:

Post a Comment