Search This Blog

Saturday, April 30, 2011

Bukit Mertajam dilanda banjir




BANJIR kilat melanda kawasan perumahan dan rumah kedai di Taman Seri Rambai, Bukit Mertajam, semalam.


BUKIT MERTAJAM 29 April - Hujan lebat kira-kira empat jam sejak awal pagi ini menyebabkan beberapa kawasan termasuk pusat perniagaan dan taman perumahan sekitar bandar ini dilanda banjir.
Paling teruk terjejas ialah penduduk di Kebun Sireh, Permatang Batu, Taman Desa Damai, Permatang Rawa dan Taman Sri Rambai yang menyaksikan lebih 60 buah rumah ditenggelami air sehingga 1.5 meter.
Jalan Permatang Rambai dan Jalan Desa Damai yang menempatkan deretan premis perniagaan turut dinaiki air sejak pukul 8 pagi, menyebabkan ramai peniaga menanggung kerugian kerana terpaksa menutup premis mereka.
Banjir turut menyebabkan beberapa laluan menuju ke pusat bandar mengalami kesesakan luar biasa pada sebelah pagi terutamanya di persimpangan masuk ke taman-taman perumahan sekitar Taman Desa Damai dan Kebun Sireh.
Bagaimanapun, sehingga pukul 2 petang ini, belum ada penduduk yang dipindahkan ekoran paras air yang mula menampakkan tanda-tanda akan pulih.
Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu, agensi dan jabatan kerajaan termasuk bomba dan polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berlaku lagi hujan lebat dalam masa terdekat.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk serta peniaga yang mula sibuk membersihkan rumah dan premis masing-masing yang dipenuhi lumpur.
Penduduk Permatang Batu, Ramli Usman, 58, berkata, banjir kali ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku ekoran hujan lebat luar biasa sejak awal pagi ini.
''Kejadian banjir memang menjadi lumrah setiap kali hujan lebat tetapi kali ini agak luar biasa kerana ia (air bah) melimpah sehingga ke jalan-jalan raya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi penduduk Solok Nangka, Taman Desa Damai, yang hanya mahu dikenali sebagai Khor, 48, pula mendakwa, kejadian banjir kali ini berpunca ekoran kerja-kerja membina rumah pam di kawasan berhampiran yang belum siap sepenuhnya.
''Kerja-kerja tersebut dihentikan sementara sehingga menyebabkan terdapat sistem saliran yang tertutup dengan tanah. Saya percaya jika ia tidak disiapkan secepat mungkin, banjir menjadi lebih buruk jika hujan lebat melanda dalam masa terdekat," katanya.
Kakitangan swasta, Saidin Omar, 57, pula merayu pihak berkuasa supaya segera menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku.

No comments:

Post a Comment