Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Bapa, anak curi kereta



KLUANG - Bapa dan anak serta seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman buang daerah adalah antara enam suspek yang ditahan polis pada serbuan 29 Mac lalu, kerana disyaki terbabit dalam sindiket mencuri kereta lama jenis Datsun dan Nissan Sunny di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, polis berjaya menahan anak beranak itu di Kampung GSA, Chamek yang sedang sibuk meleraikan dan memotong kenderaan jenis lama yang dicuri.

“Hasil soal siasat terhadap dua beranak itu, polis sekali lagi membuat serbuan di lokasi berhampiran dan menahan dua lelaki yang menganggotai sindiket berkenaan.

“Seorang daripada dua suspek itu adalah pemuda berusia 21 tahun dari Perak yang sedang menjalani hukuman buang daerah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Katanya, polis juga menhan dua lagi ahli sindiket berkenaan yang sedang bermain snuker sekitar daerah ini kelmarin (30 Mac) hasil siasatan yang dilakukan.

Beliau berkata, kesemua suspek terbabit berusia antara 17 hingga 45 tahun dan dipercayai menjadi ahli sindiket mencuri kenderaan jenis lama untuk dileraikan sebelum alat ganti dan komponennya dijual kepada pelanggan.

“Dalam serbuan pertama pada Rabu lalu, polis turut merampas dua rangka kereta jenis Datsun dan Nissan Sunny bersama komponen dan enjinnya serta peralatan untuk memotong dan meleraikan kereta.

“Kita difahamkan alat ganti kenderaan lama jenis itu dikatakan sukar dicari dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap mereka,” katanya.

Mohd Fawzi berkata, anggota sindiket curi kereta lama berkenaan mewujudkan ‘bengkel bergerak’ di beberapa lokasi sekitar daerah ini yang dilengkapi :peralatan memotong dan meleraikan kenderaan bagi menyukarkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, dengan penahanan itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes kecurian kenderaan lama di daerah ini.

“Hasil siasatan, suspek mengaku menyasarkan kenderaan yang diletakkan di beberapa kawasan pusat beli belah daerah ini selain turut terbabit dalam jenayah mencuri motosikal.

“Kesemua suspek kini direman selama lima hari daripada tarikh ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment