Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Ajal tertembak diri sendiri

BANDAR BAHARU: “Anak perempuan saya menjerit dan menggeletar setelah ternampak ayahnya terbujur kaku dalam keadaan berlumuran darah ketika memeriksa biliknya apabila mendengar bunyi letupan dari bilik itu.”
Begitu kata Nurhafiza Abdul Hamid, 42, menceritakan detik awal anaknya, Nurshahirah, 17, menemui suaminya, Abd Hamid Abdlah, 49, yang maut dipercayai tertembak di kepala ketika mencuci senapang patah di rumahnya di Kampung Sungai Batu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, penoreh getah berkenaan yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dikatakan sempat bersarapan bersama isteri dan anaknya di dapur rumah mereka.

Nurhafiza berkata, sebaik selesai bersarapan, suaminya bergegas ke bahagian atas rumah lalu masuk ke dalam biliknya dipercayai untuk mencuci senapang patah yang menjadi rutin hariannya sejak beberapa tahun lalu.

“Kira-kira 10 minit kemudian, kami terkejut mendengar bunyi letupan dari bilik arwah dan sejurus terdengar letupan itu, Nurshahirah berlari ke atas untuk memeriksa apa yang berlaku.


“Ketika sampai di hadapan pintu bilik, tiba-tiba Nurshahirah terus menjerit dan terkejut dengan apa yang dilihatnya berikutan keadaan ayahnya terbujur di atas lantai dengan kepala berlumuran darah.

“Kami semua terkejut dan tergamam dengan kejadian itu lalu menghubungi jiran berhampiran kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian. Saya pun tidak sangka kejadian ini hingga menyebabkan kehilangan orang tersayang,” katanya.

Nurhafiza berkata demikian ketika menerima kunjungan wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan yang menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Menurutnya, dia bersama anak-anaknya masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu selain tidak mengetahui bagaimana ia boleh berlaku.

Katanya, suaminya yang tidak keluar menoreh getah berikutan hujan pada sebelah pagi sebelum itu tidak menunjukkan sebarang petanda aneh, sebaliknya bersikap seperti biasa dan mesra dengan ahli keluarga.


“Saya menganggap kejadian sebagai satu takdir, dan kami sekeluarga reda pemergian arwah,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara tujuh hingga 21 tahun.


Sementara itu, Helmy berkata, arwah dikenali aktif dan sering terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk turut menyertai pertandingan sepak takraw di Kampung Cherok Menanti, di sini, baru-baru ini.


“Semua penduduk kampung mengenali arwah kerana dia juga mudah mesra, pada masa sama berharap keluarganya bersabar dan menerima kematiannya sebagai ujian Allah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmy Aris ketika ditemui berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan mati mengejut.


Katanya, mangsa cedera parah di bahagian muka dan mayatnya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
myMetro | Ajal tertembak diri sendiri

No comments:

Post a Comment