Search This Blog

Wednesday, April 27, 2011

69,000 liter diesel subsidi dirampas



KUALA LANGAT 26 April - Kegiatan penyelewengan diesel subsidi kian menjadi-jadi apabila sejumlah 69,000 liter bahan api itu ditemui di sebuah premis yang tersorok di Kilometer 16, Kampung Kebun Baru, Telok Panglima Garang, di sini hari ini.
Kejayaan itu hasil serbuan anggota dan pegawai Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri yang diadakan pada pukul 11.30 pagi ini.
Kesemua bahan api bernilai RM128,000 itu sepatutnya dijual di stesen-stesen minyak berasaskan harga yang telah disubsidikan oleh kerajaan.
Syarikat pemborong tersebut yang hanya memiliki lesen untuk mendapatkan bekalan diesel industri bagaimanapun menyalurkan diesel subsidi itu kepada pembeli industri.
Malah, syarikat itu dikatakan beroperasi di premis yang terlindung daripada pandangan umum di sebuah kampung, selain kawasan itu dikawal oleh lebih daripada tiga kamera litar tertutup (CCTV).
Syarikat itu juga dikatakan beroperasi di Pandamaran sejak tahun 1965 sebelum berpindah ke lokasi di kampung itu lima tahun lalu.
Ketika serbuan, selain empat tangki yang memuatkan bahan api itu, terdapat beberapa tangki kecil berisi minyak tanah dan dua lori tangki yang tidak mempunyai muatan di dalam kawasan premis tersebut.
Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, siasatan awal mendapati pemilik premis berusia lingkungan 40-an itu membeli bekalan diesel tersebut daripada pemborong lain di Pandamaran.
"Siasatan awal juga mendapati, diesel subsidi ini dipasarkan di sekitar kawasan industri di Telok Panglima Garang berhampiran premis tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan itu hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum adalah sebanyak RM250,000.
Ahad lalu, kementerian yang sama berjaya merampas sejumlah 43,000 liter diesel subsidi milik Persatuan Nelayan Teluk Intan, Perak yang diseleweng selepas menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong, dekat sini.

No comments:

Post a Comment