Search This Blog

Thursday, April 7, 2011

4 pelajar 'hilang' ditemui di KL




SHAFIEN Mamat (kanan) memberi nasihat kepada empat remaja yang ditemui semula ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, semalam.


NIBONG TEBAL 6 April - Kurang 24 jam dilaporkan hilang selepas ke sekolahnya dekat sini, pagi semalam, empat pelajar perempuan termasuk dua-beradik ditemui di sebuah hotel bajet di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Pasangan adik-beradik itu, Beh Chin Yuan, 15, dan Beh Ee Xuan, 14, dipercayai hilang bersama dua rakan karib mereka iaitu Ong Shi Nee dan Soon Shi Xian, masing-masing berusia 15 tahun selepas keluar untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Mutiara di Simpang Ampat dekat sini.
Pelajar itu ditemui selepas salah seorang menghubungi ibu bapanya malam tadi dan memaklumkan yang mereka berada di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, remaja terbabit menghubungi ibu bapanya selepas terbaca mengenai berita kehilangan mereka di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina malam tadi.
"Ibu bapa mereka yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada anak masing-masing segera ke Kuala Lumpur sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai penemuan itu kira-kira pukul 4 pagi ini.
"Tindakan pantas media yang cepat menyalurkan maklumat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak polis berjaya menemui remaja terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Laporan kehilangan empat remaja terbabit dibuat di Balai Polis Komuniti Bandar Tasek Mutiara sebelum satu lagi laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS pukul 3.30 petang semalam, selepas mereka didapati tidak berada di sekolah walaupun dilihat keluar dari rumah dengan uniform sekolah.
Keempat-empat remaja terbabit juga meninggalkan nota serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan bahawa mereka akan 'pergi jauh' selain meminta supaya keluarga masing-masing tidak bimbang.
Tambah Shafien, siasatan mendapati kesemua mereka ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres dari Simpang Ampat untuk berjalan-jalan dan menggunakan alasan mahu mencari kerja kerana bimbang dimarahi ibu-bapa masing-masing.
"Mereka tiba ke Kuala Lumpur petang semalam dan sejurus tiba terus bersiar-siar sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel bajet di Bukit Bintang.
"Saya harap para remaja tidak bertindak sedemikian kerana bimbang ia ada kaitan dengan mana-mana kes culik atau sindiket tertentu yang melibatkan remaja," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment