Search This Blog

Saturday, April 30, 2011

2 nyaris maut ketika redah air


IPOH: Gara-gara panik melihat air memasuki rumah, dua warga emas nyaris maut akibat kepenatan meredah banjir dalam kejadian banjir kilat yang melanda pekan Trolak dan Kampung Batu 4 di Slim River, pagi semalam.
Banjir kira-kira jam 11 pagi susulan hujan lebat sejak lewat malam kelmarin mengakibatkan hampir 100 rumah didiami 250 penduduk di kedua-dua lokasi terbabit ditenggelami air sedalam lebih satu meter.

Warga emas lelaki dan wanita terbabit yang berusia 70-an, meninggalkan rumah masing-masing di Kampung Batu 4 sebaik melihat air memasuki kediaman mereka.

Sejurus tiba di dewan orang ramai kampung berkenaan, mereka tiba-tiba tercungap sesak nafas akibat kepenatan berjalan kaki meredah banjir sejauh kira-kira 200 meter.

Bagaimanapun, usaha membawa mereka ke hospital gagal kerana laluan utama menghubungkan kampung berkenaan dengan jalan besar ke Slim River terputus akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Namun, tindakan pantas sepasukan lapan anggota bomba dari Slim River yang berjaya menghantar kedua-dua warga emas terbabit menaiki bot ke jalan besar sebelum mereka dibawa menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Ahmad Wahab berkata, kedua-dua warga emas kemudian dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.

“Kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan stabil dan secara keseluruhan tiada insiden tidak diingini berlaku. Banjir kilat yang berlaku menyebabkan jalan besar menghubungkan pekan Trolak dan Kampung Batu 4 ke bandar ditenggelami air sedalam empat kaki (1.22 meter).
“Bagaimanapun, tiada penduduk dipindahkan dan air beransur surut mulai jam 4 petang. Tapi ada segelintir penduduk bertindak keluar rumah dan pergi mendapatkan perlindungan di dewan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, banjir berpunca daripada limpahan air dari Sungai Slim dan Sungai Trolak berikutan hujan lebat berterusan sejak lewat malam kelmarin dan beliau menasihatkan penduduk supaya berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa jika mendapati air naik dengan mendadak di kawasan penempatan mereka.

No comments:

Post a Comment