Search This Blog

Saturday, April 30, 2011

Beberapa tempat di PP dilanda banjir kilat

GEORGETOWN - Hujan lebat yang berterusan lebih tiga jam sejak jam 7 pagi semalam di Pulau Pinang mengakibatkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Tinjauan mendapati antara kawasan terbabit ialah Jalan Transfer, Lebuh Maccalum, Lebuh Noordin, sebahagian Jalan P Ramlee, sebahagian Jalan Perak dan beberapa perkampungan di dalam bandar raya.

Hujan lebat dan banjir kilat itu juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di seluruh bandar raya Georgetown sehingga jam 3 petang, semalam.

Menurut jurucakap Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), jambatan Pulau Pinang juga mengalami kesesakan yang teruk sejak pagi dan keadaan bertambah buruk apabila berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori di KM1.0 laluan menghala ke Seberang Perai.

“Kesesakan menyebabkan kenderaan bergerak perlahan sejak pagi berlarutan sehingga petang,” katanya.

Sementara itu, beberapa kawasan di sekitar Bukit Mertajam, Juru dan Butterworth di Seberang Perai turut dilanda banjir kilat.

Tinjauan mendapati di Bukit Mertajam, antara kawasan yang dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter ialah Kebun Sirih, persimpangan Bandar Perda, Jalan Padang Lalang, Desa Damai, Taman Sungai Rambai, Alma, Jalan Permatang Tinggi dan Jalan Permatang Pauh.

Penduduk di kawasan berkenaan terpaksa memindahkan barang terutama barangan elektrik sejak jam 6.30 pagi selepas rumah mereka dinaiki air sedalam satu meter.

Seorang mangsa, Fairul Anuar Osman, 27, yang tinggal di Kebun Sireh berkata, beliau menyedari air masuk ke rumahnya selepas dikejutkan oleh jiran.

“Kami sekeluarga bangun dan mendapati air memasuki ruang dapur rumah sehingga paras lutut lalu bergegas memindahkan peralatan elektrik dan dokumen penting ke tempat selamat,” katanya.

Di Juru beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Perkampungan Juru, Taman Desa Juru, Taman Pinang, Taman Mangga, Taman Seri Delima dan Taman Sentul Jaya.

Seorang penduduk di pangsapuri Taman Seri Delima, Shahrul Razin Abu Bakar, 35, berkata hujan lebat sekitar jam 6.30 pagi menyebabkan kawasan yang tidak pernah dilanda banjir turut dinaiki air dan banyak kenderaan yang di tempat letak kereta di luar pangsapuri itu dimasuki air.

Jurucakap polis berkata, setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.- Bernama

Dipukul akibat menegur jiran



KUALA PILAH – Hanya kerana menegur jiran yang membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya, berlaku adegan tumbuk-menumbuk di Taman Bukit Mutiara, dekat sini.

Mangsa, yang hanya ingin dikenali sebagai Lela, 40-an, berkata, ia bermula apabila dia menegur jirannya yang meletakkan bungkusan sampah berdekatan rumah selain mengiraikan sampah yang diikat kemas, Sabtu lalu.

"Saya menegur Ain (bukan nama sebenar), 20-an, namun teguran itu mencetuskan pergaduhan sehingga Ain bertindak menyerang saya pada keesokan harinya.

"Saya terkejut apabila didatanginya dalam keadaan marah sebelum menarik saya keluar rumah. Kami mula bertengkar dan Ain menumbuk dan menendang perut saya," katanya.

Katanya, demi mempertahankan diri, Lela mengelak menggunakan tangan hingga menyebabkan salah satu jarinya patah akibat terkena cincin Ain.

"Tanpa belas kasihan, saya ditendang sebanyak empat kali di perut dan kaki hingga mengakibatkan lutut cedera.

"Pada masa itu, saya sudah lemah dan tidak mampu mempertahankan diri sehinggalah dia melepaskan saya lalu memasuki rumah," katanya.

Akibat pergaduhan itu, Lela menerima rawatan kecemasan di hospital berdekatan dan ditahan wad selama sehari.

"Saya ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut kerana kecederaan serius. Doktor memberitahu salah satu jari tangan kanan patah manakala lutut kanan cedera akibat hentakan kuat.

"Disebabkan itu, saya terpaksa berhenti kerja dan hilang mata pencarian kerana memerlukan cuti yang panjang untuk pulih," katanya.

Menurutnya, masalah sampah bukan penyebab utama tetapi, Ain sememangnya seorang yang suka mencetuskan pertelingkahan.

"Ada jiran yang tidak tahan dengan sikap Ain sehingga membuat keputusan berpindah.

"Saya juga membuat keputusan untuk berpindah supaya masalah ini tidak berlarutan," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Melang.

Sementara itu, bekas jiran Ain yang hanya ingin dikenali sebagai Amri berkata, isterinya pernah menjadi mangsa pukul kerana menegur anak Ain pada dua tahun lepas.

"Akibat teguran itu, Ain memukul isteri saya sehingga menyebabkan kecederaan di muka dan beberapa anggota badan yang lain.

"Disebabkan tidak tahan dengan sikapnya, kami nekad berpindah dan menjual rumah ini," katanya.

Kelam-kabut banjir kilat



SUNGAI BAKAP – Pada awal Januari lalu, hampir seluruh kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) dilanda banjir dan kini bencana alam itu kembali lagi sekali gus memusnahkan harta benda penduduk.

Lebih menyedihkan, belum sempat kerugian harta benda disebabkan kejadian ribut pada awal bulan lalu dibaik pulih, masalah banjir terus melanda dari hari ke hari sekiranya hujan lebat.
Difahamkan, kejadian banjir yang berlaku pada jam 6 pagi semalam menyebabkan sebahagian besar penduduk di sekitar kawasan Tasek, Taman Puteri Gunung, Kepala Gajah dan Bandar Tasek Mutiara terpaksa berhempas-pulas menyelamatkan barangan dan peralatan rumah dari dihanyutkan air.
Akibat kejadian itu, penduduk sekali lagi mengalami kerugian sekitar RM3,000 sehingga RM5,000 bagi setiap rumah.
Penduduk, Zaidi Mohd Shariff, 48, berkata, sejak dia membeli rumah di Fasa 5, Bandar Tasek Mutiara, kejadian banjir kerap kali berlaku sekiranya hujan lebat.

“Sekiranya hujan lebat dalam tempoh 30 minit, pasti kawasan di sekitar Lorong 16, 17 dan 18 Fasa 5 Bandar Tasek Mutiara dinaiki air.
“Kedudukan geografi yang rendah menyebabkan kawasan perumahan ini mudah ditenggelami air dan kami kecewa kerana pemaju tidak mengambil sebarang inisiatif bagi mengelak bencana ini terus berlaku,” katanya
Zaidi yang mantap di kawasan perumahan itu sejak lapan tahun lalu, berkata, masalah bertambah serius apabila loji kumbahan yang terletak berhampiran kawasan itu tidak dapat berfungsi dengan sempurna dan sekali gus menyebabkan pencemaran bau terutamanya pada waktu banjir.
“Keadaan longkang yang cetek dan sistem pengairan yang tidak sempurna merupakan salah satu punca berlakunya kejadian ini. Permukaan jalan yang lebih tinggi dari kawasan rumah memudahkan air mengalir masuk meskipun tembok penghalang dibina.
“Kami sudah penat dengan keadaan sebegini dan diharap pihak pemaju serta mana-mana pihak yang bertanggungjawab memandang serius terhadap apa yang berlaku. Jika tahu akan hadapi masalah sebegini, kami tidak akan membeli rumah terbabit dari awal dahulu lagi,” katanya.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bandar Tasek Mutiara Utara, Mohd Anur Hussin, berkata, masalah banjir di kawasan Fasa 5 dan Fasa 8 berlaku sejak awal penempatan di kawasan perumahan itu pada 2003 lalu.

“Pelbagai perbincangan dan aduan dirujuk kepada pihak bertanggungjawab tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Sesi dialog antara pemaju, penduduk, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap pernah dilakukan beberapa tahun lalu tetapi masalah itu tidak diatasi.
“Lebih mengecewakan beberapa hari lalu sesi dialog perbincangan berhubung masalah itu turut diadakan sekali lagi tetapi perkara yang sama tetap berulang,” katanya.

“Selepas tinjauan dilakukan, kita mendapati bahawa, benteng tambatan banjir yang terdapat di kawasan sungai pecah sehingga menyebabkan ia melimpah keluar. Oleh itu, keadaan di sekitar kawasan terbabit mengalami keadaan banjir yang lebih teruk.

“Pembinaan benteng yang dilaksanakan di bawah projek tambatan banjir itu akan dibaik pulih segera dan kita akan memohon kerjasama Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS), “ katanya.

Mohd Kamil berkata, bagi aduan penduduk berhubung pembinaan landasan keretapi berkembar pula, pihak ADUN kawasan akan mengenal pasti punca masalah sebenar.

“Sekiranya projek itu menjadi penyumbang kepada bencana berkenaan, kita akan mengadakan rundingan meja bulat bersama pemaju projek untuk mengatasi masalah banjir, ” katanya.

Bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, Sinar Harian turut menghubungi pemaju Bandar Tasek Mutiara tetapi pihak terbabit enggan mengulas berhubung perkara berkenaan.

Samun warga asing



KAMPUNG ISTANA – April tahun ini adalah igauan ngeri bagi penduduk sekitar Batu Pahat kerana ia mencatatkan kes samun tertinggi sepanjang 2011 melibatkan warga asing terutamanya Indonesia.

Walaupun mencatatkan kes tertinggi iaitu enam kes, kegiatan samun yang bergiat aktif di kawasan pinggir hutan dan bukit ini tetap menunjukkan penurunan sebanyak 57 peratus berbanding tahun lalu sehingga 24 April, tempoh sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bagi mengatasi kes samun berkenaan terus berleluasa sebanyak lebih 400 pegawai dan juga anggota polis ditugaskan berterusan selama 24 jam bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, pelbagai unit dan juga bahagian telah terlibat dalam operasi khas ini termasuklah Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sungai Besi, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta bantuan daripada anggota polis daerah lain .

“Sehingga ke hari ini (semalam) pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sentiasa bersedia dan berjaga-jaga termasuk membuat 15 sekatan jalan raya di hampir semua jalan keluar masuk daerah ini.

“Kita tidak dapat menjangkakan bila kes samun ini berlaku tetapi langkah pencegahan adalah lebih baik, selain dengan kehadiran polis ia akan mengurangkan rasa ketakutan di kalangan penduduk,” katanya pada Taklimat Pencegahan Jenayah bersama Penduduk Kampung Istana, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat, Deputi Superintenden Che Mahazan Che Aik dan Ketua Kampung Istana, Razak Rahman.

Adnan berkata, dalam kes kali ini suspek menumpukan untuk menyamun barangan seperti komputer, komputer riba, kamera dan telefon bimbit selain wang tunai serta barang kemas.

Beliau berkata, rumah yang menjadi sasaran utama ialah rumah mereka yang terdiri daripada golongan sederhana di mana agak mudah untuk dipecah masuk berbanding dengan golongan elit yang mempunyai peralatan keselamatan.

“Langkah yang perlu dilakukan ialah jangan menutup lampu semasa tidur, pasang gril pintu dan tingkap dengan sempurna dan jika berkemampuan pasang penggera terutamanya rumah yang berisiko tinggi.

“Alternatif lain, orang ramai digalakkan membawa tidur bersama telefon bimbit yang disimpan talian hotline IPD Batu Pahat iaitu 074343999 dan membawa tidur kunci kereta yang mempunyai penggera serta membunyikannya apabila berasa curiga dengan keadaan di luar rumah,” katanya.

Adnan berkata, sebagai langkah lain yang boleh dilakukan penduduk untuk membantu polis membanteras kes samun warga asing ini ialah dengan menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Beliau berkata, langkah terkini polis IPD Batu Pahat ialah mengedarkan Kad Nama Sektor yang mengandungi nama, nombor telefon bimbit anggota sektor, hotline IPD Batu Pahat dan nombor telefon balai berhampiran bagi memudahkan orang ramai.

Rampasan terbesar



KULAIJAYA – Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya berjaya membuat rampasan terbesar tahun ini berkaitan kes dadah di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, bernilai RM50,000.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, rampasan dibuat ketika intipan dijalankan dan berjaya menahan suspek yang sedang memandu di kawasan perumahan Jalan Cemara 9, Bandar Putra, di sini, Selasa lalu.

“Kita berjaya menangkap suspek berusia 34 tahun di hadapan rumah di Jalan Cengal, di sini.

“Hasil serbuan kami menemui tujuh plastik lut sinar berisi syabu seberat 245 gram dengan anggaran nilai pasaran sebanyak RM50,000 dan lima bungkus ‘foil’ yang mengandungi 50 biji pil eramin.

“Kesemua dadah yang ditemui disimpan di dalam satu beg kecil di bawah kotak ‘brek tangan’ kenderaan jenis Honda yang dipandu suspek,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati suspek yang telah berkahwin dan bekerja sebagai mekanik merupakan pembekal dadah bagi pasaran di daerah ini di samping turut mengambil dadah.

Katanya, kesemua barang kes dirampas termasuk kenderaan yang bernilai RM30,000 dan suspek kini ditahan reman sehingga 3 Mei ini sebelum didakwa.

Dalam pada itu katanya, pihak polis juga sedang mengumpul maklumat untuk menyiasat aktiviti sebenar yang dijalankan suspek serta identiti pembekal yang mengedarkan dadah kepada suspek.

Maut kerana langgar lori



BAGAN SERAI - Niat seorang lelaki India untuk menikmati jagung yang dibeli bersama keluarga adiknya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Taiping, di sini, kelmarin.

Adik mangsa, T Prakash, 20-an berkata, ketika kejadian, mangsa, T Marimuthu, 42, yang menunggang motosikal untuk ke rumahnya di Taman Serai Emas.

Menurutnya, abangnya cuba mengelak sebuah motosikal lain yang memotong secara melulu lalu merempuh sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

“Abang merupakan seorang pemandu bas Syarikat Rapid di Pulau Pinang sering melawat dia sekeluarga jika ada kelapangan.

“Semasa kejadian, abang saya telah membeli jagung makan bersama saya sekeluarga, saya kesal kerana hajatnya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di bahagian kepala dan patah tangan serta kaki.

“Mangsa meninggalkan seorang isteri, Mageswari dan dua anak iaitu Loga Parani, 12. (lelaki) dan Madhukara, 10. (perempuan).

“Kes ini masih lagi disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berharap orang-ramai lebih berhati-hati ketika melalui jalan itu kerana polis telah kerap menerima laporan kemalangan di kawasan yang sama sejak kebelakangan ini.

Kecundang di awal pagi



TAPAH – Polis menangkap tiga lelaki berusia awal 20-an, kerana dipercayai mencuri rod copper milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, semua suspek ditangkap ketika leka memunggah beberapa rod copper dari Setor TNB, Jalan Bruseh, Bidor.

Menurut beliau, suspek telah ditahan sepasukan anggota polis yang kebetulan sedang menjalankan tugas rondaan jenayah awal pagi itu.

“Ketiga-tiga suspek ditangkap pada jam 2 pagi sewaktu memasukkan rod copper terbabit ke dalam sebuah kereta milik salah seorang daripada mereka.

“Setelah membuat pemeriksaan ke atas kereta itu, polis telah menemui 215 rod copper dengan panjang lebih kurang 1.5 meter setiap satu, di tempat duduk belakang kereta berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.

Roslan berkata, secara keseluruhan semua rod copper yang dicuri dianggarkan bernilai RM20,164.

Menurut beliau, polis percaya bahawa ketiga-tiga suspek sememangnya bergiat aktif dalam kegiatan seumpama itu.

“Hasil soal siasat ke atas semua suspek, mereka telah mengaku menjalankan kegiatan mencuri rod copper itu.

“Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut, bagi memastikan kemungkinan suspek turut terlibat dalam lain-lain kes kecurian seperti ini,” katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan dan akan dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, semua suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Kita juga masih berusaha mengumpul maklumat dan kerjasama daripada orang awam sangat penting untuk membantu polis menyelesaikan kes ini,” katanya.

Nekad bawa lari anak



MELAKA - Tidak tahan dengan sikap suami, seorang isteri yang sarat mengandung anak keempatnya bertindak nekad melarikan dua dari tiga anak perempuannya berusia 4 dan 12 tahun dari rumahnya di Singapura.

Kejadian berlaku lebih dua tahun lalu apabila isteri yang hanya ingin dikenali sebagai Haryati (bukan nama sebenar), 38, anak kelahiran Melaka memilih Pulau Pinang sebagai tempat awal menjauhkan diri dari dikesan suami yang berusia 53 tahun.

Di Pulau Pinang, Haryati memulakan kehidupan dengan menjual nasi bungkus bagi menyara dua anak termasuk yang dikandungnya.

Menurutnya, sebaik melahirkan anak keempat, dia kembali berpindah ke Melaka dan menumpang di sebuah rumah atas ihsan seorang kenalan.

“Saya tinggal di Pulau Pinang dalam jangka masa setahun lebih sebelum berpindah ke Melaka bersama tiga anak perempuan yang terpaksa tidak bersekolah.

“Di sini, saya pernah bekerja sebagai pencuci kereta dengan pendapatan RM250 sebulan dan nyata ia tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Malah katanya, suaminya pernah mencarinya termasuk menyiarkan berita kehilangannya di akhbar tempatan.

Haryati berkata, dia sudah serik bersuami setelah segala derita yang dilaluinya sejak berkahwin hampir 20 tahun lalu.

“Perkahwinan kami diaturkan keluarga dan saya tidak menyangka sikapnya begitu memberikan saya tekanan.

“Anak sulung saya berusia 19 tahun yang tinggal bersamanya pernah melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap bapanya,” katanya.

Menurut Haryati, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru sahaja meluluskan bantuan kanak-kanak (BKK) untuk tiga anaknya berjumlah RM300 sebulan.

“Bagaimanapun, saya masih bimbang mengenai masa depan anak yang sudah jauh ketinggalan kerana tidak bersekolah sejak lebih dua tahun lalu.

“Saya berharap pihak Kerajaan Negeri Melaka dapat membantu mencari pekerjaan yang sesuai untuk saya menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, penderitaan yang dihadapi Norhayati dan anak mendapat perhatian Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka yang tampil melawat keluarg terbabit, semalam.

Ketua Penyelianya, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya bersedia menyediakan khidmat guaman bagi urusan tuntutan cerai untuk Haryati.

“Dalam masa sama, kita akan usahakan agar kesemua anaknya disambung semula persekolahannya menerusi bantuan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di samping akan menguruskan soal pekerjaan ibunya,” katanya.

Gas Maut



KOTA DAMANSARA – Seorang konsultan sebuah syarikat hartanah ditemui mati dalam sebuah bilik hotel di Jalan PJU 5/20B dengan keadaan muka berbalut dengan plastik yang ditutup kemas dengan pita pelekat, manakala mulutnya mempunyai saluran getah yang disambungkan kepada tong gas belon.

Mangsa, Lee Mun Kheong, 39, direkodkan mendaftar masuk ke hotel pada jam 2.40 petang Khamis sebelum mayatnya ditemui oleh pengurus hotel berkenaan kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Terdahulu, pihak pengurusan hotel gagal menghubungi telefon bilik dan telefon bimbit milik Lee jam 12.00 tengah hari selepas melihat pelanggannya itu masih tidak mendaftar keluar.

Pengurus hotel, D Kamalah berkata, selepas puas mengetuk pintu bilik dan memanggil pelanggannya, pihak hotel mengambil keputusan membuka pintu bilik dengan menggunakan kunci pendua sebelum melihat mangsa terbaring di atas katil

Bimbang kejadian buruk berlaku, pihak polis kemudiannya dipanggil untuk membantu membuka pintu yang dikunci dari dalam.

Difahamkan mangsa menyewa bilik selama satu malam dan bayaran sewa sudahpun diselesaikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian sebagai mati mengejut.

Menurutnya, ke semua barang peribadi seperti beg duit ditemui bersama dan polis sudah menghubungi isteri mangsa memaklumkan tentang kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan sudah meninggal dunia beberapa jam yang lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah mulai mengeras,” katanya

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Tauke kedai rugi RM10,000



BERA – Seorang peniaga kedai kopi berbangsa Cina kerugian RM10,000 dalam kejadian pecah rumah oleh tiga lelaki bersenjata, di Kampung Menteri, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor (gambar) berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Liew Meng Ho, 65, mengalami kecederaan di bahagian kepala berikutan dicederakan salah seorang suspek.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama isteri dan tiga anaknya sedang tidur.

“Ketika kejadian itu, ketiga-ketiga suspek menggunakan parang sebagai senjata.

“Ahli keluarga yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma terkejut dengan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zahid berkata, mangsa kehilangan wang tunai, barang kemas dan dua telefon bimbit.

Menurutnya, Meng Ho menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Dirempuh lori dari belakang



ALOR GAJAH - Seorang peniaga buah durian nyaris maut apabila kereta yang dipandu dirempuh lori di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Simpang Ampat, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Yahya Abu Samah, 70-an, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Perling, Simpang Ampat, selepas selesai berniaga berhampi-ran pam minyak Petronas di sini, dirempuh kuat dari belakang hingga terseret kira-kira 50 meter.

Yahya berkata, dia yang memandu perlahan kerana membawa muatan durian, terkejut sebaik keretanya dirempuh hingga terseret melanggar tiang elektrik.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana lori terbabit boleh merempuhnya, sedangkan di kiri dan kanan jalan penuh dengan kereta.

“Mujur saya tidak apa-apa cuma mengalami cedera ringan tetapi saya kecewa kerana pemandu lori terbabit bertindak melarikan diri.

“Saya juga terpaksa keluar ikut pintu sebelah penumpang kerana gagal keluar menerusi pintu pemandu,” katanya.

Yahya berkata, bonet keretanya juga gagal dibuka dan tersekat tiba-tiba berikutan insiden itu.

“Nasib baik bonet kereta ‘jam’ tiba-tiba, kalau tidak tentu buah durian bertaburan dan mungkin keadaan jadi lebih teruk dan sesak,” katanya.

Menurutnya, seorang pemandu kereta di jalan bertentangan membantunya menghubungi pihak ambulan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Anak tiri mangsa, Mohd Farid Johar, 23, berkata, dia tahu berkenaan kejadian yang menimpa bapa tirinya itu setelah dihubungi ibunya dan juga seorang rakannya yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

“Biasanya ayah pergi berniaga bersama mak, tetapi pagi itu dia berniaga seorang tanpa ditemani mak dan tak sangka dia akan ditimpa kemalangan.

“Akibat rempuhan itu, ayah ada mengadu sakit-sakit badan,” katanya.

26 pemberi rasuah ditahan SPRM



MARANG – Seramai 26 pemberi rasuah kepada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi bersama dijalankan sepanjang Januari hingga Mac tahun ini.

:Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, dalam tempoh sama juga, beberapa anggota JPJ turut dikenakan tindakan tatatertib dan dirujuk kepada SPRM, namun beliau tidak mendedahkan jumlah anggota JPJ yang terbabit.

“Ia hasil memorandum persefahaman dengan pihak SPRM dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi membanteras rasuah membabitkan petugas JPJ.

“Malah, kita juga mewujudkan ‘Unit Pematuhan’ yang dianggotai 27 pegawai untuk melakukan semakan dan pemantauan sama ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi atau sebaliknya,” katanya.

Solah berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Program ‘Satu Komuniti Satu JPJ’ di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, semalam.

Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad, Pegawai Pembangunan Parlimen Setiu, Datuk Abdul Rahman Bakar dan Pegawai daerah, A Rahman Che Ali.

Solah berkata, dengan kerjasama SPRM, JPJ mendapat input berhubung SOP dalam setiap operasi dijalankan.

Manakala, IIM pula memberi ceramah dan latihan kepada warga JPJ bagi mengelak terperangkap dengan rasuah.

Selain itu, katanya, JPJ juga memberi peluang orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan mengenai perbuatan rasuah membabitkan anggota jabatan itu menerusi laman web aduan@jpj.gov.my.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 500 peserta iaitu pengguna berumur 45 tahun ke atas termasuk tiga warga emas berbangsa Cina berjaya mendapat lesen motosikal kelas B2 dengan bayaran hanya RM150 berbanding RM211

Seludup syabu guna penerbangan domestik


JOHOR BAHARU - Polis berjaya mematahkan cubaan dua lelaki warga Iran menyeludup 4.55 kilogram dadah jenis syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, hari ini berkata kedua-dua lelaki yang menaiki penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ditahan sebaik tiba di sini pada pukul 4.30 petang.
Kedua-dua suspek berusia 22 dan 27 tahun itu, yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa, ditahan selepas polis menemui dadah tersebut disorok dalam ruang khas sebuah beg troli milik kedua-dua lelaki itu.
Katanya hasil tangkapan itu dilakukan oleh gerakan bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Johor dan Bukit Aman.
"Dadah tersebut dianggarkan bernilai RM1.2 juta di pasaran tempatan dan boleh dibekalkan kepada 15,000 penagih,” katanya pada sidang media di sini. - Bernama

Tiga kereta polis remuk


KUALA LUMPUR - Tiga kereta peronda polis rosak dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang suspek pecah rumah yang bertindak nekad untuk meloloskan diri daripada ditahan di Taman Mutiara, Cheras, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata, dalam kejadian 7.30 pagi itu, ketiga-tiga kereta peronda polis cuba menghalang kereta suspek di kawasan perumahan itu selepas lelaki itu dilaporkan cuba memasuki sebuah rumah dua tingkat di taman itu.
Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek berusia 52 tahun itu selepas dikejar selama 30 minit di sekitar kawasan perumahan itu, katanya pada sidang media di di sini.
Mohan berkata polis turut menemui pelbagai jenis peralatan dalam kereta suspek antaranya pemutar skru dan tukul yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah.
Katanya kejadian itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis dihantar ke Taman Mutiara setelah polis menerima panggilan daripada seorang wanita bahawa terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali dan mencurigakan berada di perkarangan rumahnya.
Katanya suspek yang terkejut dengan kehadiran polis segera melarikan diri dari perkarangan rumah itu dengan menaiki sebuah kereta sebelum anggota polis mengekori kereta tersebut.
Menurutnya anggota polis dalam kereta peronda itu kemudian meminta bantuan dua kereta peronda lain apabila suspek enggan memberhentikan kereta dan cuba melarikan diri dari kawasan taman perumahan itu.
Mohan berkata suspek kemudian melanggar kereta peronda ketika cuba disekat tetapi anggota polis berjaya memberkasnya.
Beliau berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh. - Bernama

Bukit Mertajam dilanda banjir




BANJIR kilat melanda kawasan perumahan dan rumah kedai di Taman Seri Rambai, Bukit Mertajam, semalam.


BUKIT MERTAJAM 29 April - Hujan lebat kira-kira empat jam sejak awal pagi ini menyebabkan beberapa kawasan termasuk pusat perniagaan dan taman perumahan sekitar bandar ini dilanda banjir.
Paling teruk terjejas ialah penduduk di Kebun Sireh, Permatang Batu, Taman Desa Damai, Permatang Rawa dan Taman Sri Rambai yang menyaksikan lebih 60 buah rumah ditenggelami air sehingga 1.5 meter.
Jalan Permatang Rambai dan Jalan Desa Damai yang menempatkan deretan premis perniagaan turut dinaiki air sejak pukul 8 pagi, menyebabkan ramai peniaga menanggung kerugian kerana terpaksa menutup premis mereka.
Banjir turut menyebabkan beberapa laluan menuju ke pusat bandar mengalami kesesakan luar biasa pada sebelah pagi terutamanya di persimpangan masuk ke taman-taman perumahan sekitar Taman Desa Damai dan Kebun Sireh.
Bagaimanapun, sehingga pukul 2 petang ini, belum ada penduduk yang dipindahkan ekoran paras air yang mula menampakkan tanda-tanda akan pulih.
Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu, agensi dan jabatan kerajaan termasuk bomba dan polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berlaku lagi hujan lebat dalam masa terdekat.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk serta peniaga yang mula sibuk membersihkan rumah dan premis masing-masing yang dipenuhi lumpur.
Penduduk Permatang Batu, Ramli Usman, 58, berkata, banjir kali ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku ekoran hujan lebat luar biasa sejak awal pagi ini.
''Kejadian banjir memang menjadi lumrah setiap kali hujan lebat tetapi kali ini agak luar biasa kerana ia (air bah) melimpah sehingga ke jalan-jalan raya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi penduduk Solok Nangka, Taman Desa Damai, yang hanya mahu dikenali sebagai Khor, 48, pula mendakwa, kejadian banjir kali ini berpunca ekoran kerja-kerja membina rumah pam di kawasan berhampiran yang belum siap sepenuhnya.
''Kerja-kerja tersebut dihentikan sementara sehingga menyebabkan terdapat sistem saliran yang tertutup dengan tanah. Saya percaya jika ia tidak disiapkan secepat mungkin, banjir menjadi lebih buruk jika hujan lebat melanda dalam masa terdekat," katanya.
Kakitangan swasta, Saidin Omar, 57, pula merayu pihak berkuasa supaya segera menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku.

Tanah runtuh: 8 kereta tertimbus



Sebahagian daripada kenderaan yang dihempap tembok penghadang jalan selepas tanah runtuh di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 April – Sebanyak lapan buah kereta remuk akibat dihempap tembok penghadang dalam kejadian tanah runtuh di kawasan letak kereta Pangsapuri Fasa Dua Kuchai Lama di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi, dua daripada lapan kereta tersebut berjaya dikeluarkan kerana tidak mengalami kerosakan teruk.
Difahamkan, aktiviti penebangan pokok atas tebing tanah berkenaan diikuti hujan lebat beberapa hari lalu, dipercayai menjadi punca berlaku kejadian tanah runtuh itu.
Beberapa penghuni dikatakan hanya menyedari kejadian itu dua jam selepas runtuhan berlaku.
Seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi yang kuat seperti guruh kira-kira pukul 5 pagi namun tidak menyangka ia adalah kejadian tanah runtuh.
“Sebelum ini, beberapa individu datang menebang pokok di kawasan tebing bukit itu, kemungkinan hujan lebat sejak semalam menyebabkan tanah terhakis dan tembok penghadang itu runtuh,” katanya di sini hari ini.

Gudang diserbu, minyak subsidi dirampas



KUALA LUMPUR 29 April - Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor merampas sejumlah 44,000 kilogram minyak masak subsidi bernilai RM110,000 selepas menyerbu sebuah gudang di Taman Industri Bolton, Batu Caves dekat sini, malam tadi.
Turut ditahan, seramai 12 pekerja termasuk tujuh warga Myanmar dan Bangladesh yang sedang menjalankan operasi pembungkusan semula minyak masak subsidi itu dan tiga buah lori kontena.
Operasi melibatkan 10 orang pegawai PPDNNK cawangan Gombak bermula pukul 9.40 malam tadi dibuat setelah hampir seminggu membuat intipan hasil maklumat orang awam.
Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang yang mengetuai operasi itu berkata, kegiatan penyeludupan itu dipercayai telah beroperasi sejak empat bulan lalu.
"Ketika serbuan, para pekerja sedang leka mengisi minyak masak yang terkumpul ke dalam tong-tong yang berkapasiti 17 kilogram setiap satu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Modus operandinya, minyak masak subsidi dan bukan subsidi dibeli di beberapa pasar raya besar dan kedai biasa di sekitar Lembah Klang dan dikumpulkan dalam gudang sebelum dibungkus semula dalam tong kuning.
"Lori-lori berkunci diguna untuk mengangkut minyak-minyak masak subsidi yang dibeli dari beberapa pasar raya ke gudang berkenaan," jelasnya.
Dianggarkan, antara tiga hingga lima buah lori kontena digunakan untuk mengangkut bekalan dari gudang untuk diseludup ke negara jiran di mana setiap satu kontena boleh memuatkan tidak kurang 1,800 tong minyak masak yang dibungkus semula.
"Kita percaya penyeludupan ke Thailand mengguna jalan darat manakala Pelabuhan Klang menjadi laluan untuk ke Indonesia," katanya.
Minyak masak subsidi yang dibeli pada harga RM2.50 sekilogram untuk diseludup ke negara jiran dijual pada harga lebih dari RM4.50 sekilogram.
"Negara kerugian beratus ribu ringgit akibat penyeludupan ini dan kami percaya ada pihak tertentu terlibat,'' tegasnya.
"Gerakan mengesan dan memburu mereka yang bersekongkol dalam jenayah penyeludupan sedang dijalankan," tegas beliau.

Enam miliki rekod lampau



KUALA LUMPUR 29 April - Enam daripada 10 rakyat Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand selepas cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta), dikesan pernah memiliki rekod lampau termasuk satu kes menyeludup masuk dadah ke Australia beberapa tahun lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, siasatan awal mendapati salah seorang daripada yang ditahan telah menjalani hukuman berikutan tuduhan menjadi 'keldai dadah' ke Australia.
Katanya, suspek tersebut sudah lama dibebaskan dari sebuah pusat pemulihan dadah di negara ini beberapa tahun lalu.
"Walaupun usia suspek masing-masing sudah masuk lima dekad malah ada yang sudah beranak cucu, namun itu tidak menginsafkan mereka daripada melakukan jenayah sama.
"Pihak polis tidak menolak kemungkinan ganjaran lumayan ditawarkan hingga mereka sanggup berdepan risiko ditangkap kerana menyeludup dadah. Tambahan pula, harga dadah dalam pasaran di New Zealand adalah 10 kali ganda berbanding negara-negara lain," katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, polis sedang menyiasat sebuah agensi pelancongan tempatan yang dipercayai menguruskan penerbangan 14 rakyat tempatan ke New Zealand yang dijadualkan berlepas kira-kira pukul 11.25 pagi Selasa lalu.
Pihak polis turut mengesahkan penahanan 10 rakyat tempatan berusia antara 29 hingga 58 tahun dan paling mengejutkan, mereka yang berusia lingkungan 50-an lebih ramai ditahan.
Noor Rashid memberitahu, siasatan terhadap agensi pelancongan itu masih dijalankan dan polis turut mengesahkan empat lagi rakyat tempatan yang menyertai pakej pelancongan tersebut, bebas dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan keldai dadah itu.
"Pemeriksaan turut mendapati kebanyakan 10 rakyat tempatan yang ditahan tersebut menetap di sekitar Lembah Klang.
"Polis masih menyiasat pihak yang menawarkan ganjaran kepada keldai dadah tersebut sama ada ia dilakukan rakyat tempatan atau penglibatan sindiket antarabangsa," katanya.

Konstabel wanita cedera parah


29 APRIL 2011: Konstabel Rohayu Samlan, 24, yang cedera selepas dilanggar oleh seorang suspek disyaki pengedar dadah di Taman Bukit Mas dan kini di rawat di Hospital Tuanku Jaafar, di Seremban. - Utusan/ABDUL RAZAK AID



SEREMBAN 29 April – Seorang anggota polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri cedera parah selepas terperosok di bawah kenderaan dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang cuba melarikan diri dalam serbuan di sini malam tadi.
Konstabel Rohayu Samlan, 24, mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan dan luka dalaman, kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh, kejadian berlaku pukul 10.30 malam selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menjalankan operasi ‘Ops Tapis’ di sekitar bandar ini.
Katanya, sepasukan polis ketika itu menahan sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna merun dan bernombor pendaftaran WGS 8236 yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun, disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.
“Semasa polis menghampiri kereta yang diletakkan di tepi jalan Taman Bukit Mas di sini, pemandu kereta itu tiba-tiba membuat pusingan dan memecut kenderaannya,” katanya kepada pemberita, di HTJ hari ini.
Menurut beliau, lima anggota polis lain sempat melompat tetapi mangsa terperosok di bawah kereta yang dipandu suspek terbabit menyebabkan dia cedera di muka, badan serta disyaki mengalami pendarahan di paru-paru dan perut.
Berikutan itu, salah seorang anggota polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta suspek namun tersasar dan suspek berjaya melarikan diri.
Osman berkata, polis dapat mengenal pasti suspek, Tan Kok Fui, 45, yang nombor MyKad 660819-05-5223 dari Seremban memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pernah dibuang daerah ke Kuantan, Pahang pada 2009.
“Polis kemudian pergi ke rumah suspek awal pagi ini dan menahan adiknya yang berusia 44 tahun kerana memiliki tiub dadah jenis heroin,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau melihat kenderaan dinaikinya, diminta menghubungi Asisten Supritendan Wee Huat Ne di talian 06-6033222 atau Cif Inspektor S. Kanapaty (06-7682389).

Lari bagai lipas kudung


KUANTAN: Seorang lelaki yang dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, atas tuduhan memiliki sepucuk pistol, lari seperti lipas kudung dan meninggalkan keluarganya terpinga-pinga di pekarangan mahkamah itu.
Tertuduh, R Rajan, 29, dari Kampung Padang, di sini, tidak sempat menemui keluarganya yang setia menanti di mahkamah berkenaan seawal jam 7 pagi.

Menurut seorang daripada anggota keluarga tertuduh yang enggan dikenali, dia terkejut dengan tindakan tertuduh kerana mereka sekeluarga sanggup datang beramai-ramai untuk memberi sokongan terhadapnya, sebaliknya tertuduh terus melarikan diri sebaik mahkamah membebaskannya kerana khuatir akan ditahan semula. Dalam kes berkenaan, Hakim Noradidah Ahmad membuat keputusan membebas dan melepaskan Rajan daripada tiga tuduhan selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan tambahan, Rajan didakwa melakukan rompakan dan pada masa memiliki senjata api jenis .38 (Smith & Wesson) di sebuah rumah di Taman Tunas Makmur, di sini, antara jam 9.30 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 31 Julai 2009 mengikut Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan pertama pindaan, Rajan didapati memiliki sepucuk senjata api jenis sama di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, di sini, jam 11.30 malam, pada 2 Ogos 2009 dan didakwa mengikut Seksyen 8 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua pindaan, dia didapati memiliki tujuh butir peluru jenis .38 (Smith & Wesson) di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, di sini, jam 11.30 malam, pada 2 Ogos 2009 dan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.


Tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hisham Abdul Rahim.

Menurut Noradidah, selepas mahkamah meneliti semua hujah dan keterangan membabitkan 16 saksi, tertuduh dalam kes ini dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Ijazah palsu dalam talian


KUALA LUMPUR: Dengan harga semurah AS$80 atau kira-kira RM240, seorang penipu sudah boleh membeli segulung ijazah atau Ijazah Doktor Falsafah (PhD) secara dalam talian tanpa perlu mengikuti pengajian yang mengambil masa bertahun atau menyediakan tesis.
Mereka bebas memilih apa saja bidang atau universiti untuk diisi di dalam ijazah palsu itu sebelum menggunakan gelaran doktor untuk memperdaya orang ramai sama ada ketika memohon pekerjaan, menjadi pakar motivasi, menceburi bidang politik, perniagaan atau sekadar berlagak sebagai bijak pandai akademik.
Tidak perlu menunggu lama sehingga mengambil tempoh empat ke lima tahun pengajian, sebalik dengan cara sedemikian ijazah atau PhD yang ditunggu boleh sampai ke tangan selepas tujuh hari pembayaran dilakukan, malah jika mahu menjimatkan masa, pembeli boleh mencetak sendiri sijil yang dibeli itu.

Ditambah sikap orang ramai yang mudah percaya dengan kepetahan seseorang individu bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah orang yang memohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa.


Mendedahkan perkara itu, Pakar Kriminologi dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, pihaknya menerima aduan antara 40 hingga 50 kes ijazah dan PhD yang diragui ketulenannya sejak 2004.

Kereta tersepit penghadang


KUALA LUMPUR: Anak perempuan bekas Senator, Datuk Jamaludin Ahmad maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh penghadang lebuh raya, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Nurul Huda Jamaludin, 26, dalam perjalanan dari Taman Melati, di sini, menuju Raub, Pahang sebelum mengalami kemalangan di kilometer (km) 25.4, Lebuhraya Karak.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang memandu kereta Mazda 6 maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Mangsa yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu memandu berseorangan ketika kejadian. Kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebaik melalui jalan berselekoh di situ,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu disedari seorang anggota polis peronda lebuh raya yang melalui lebuh raya berkenaan dan terlihat sebuah kereta tersepit antara besi penghadang jalan dan tebing jalan berkenaan.

“Kereta dipandu mangsa nyaris terhumban ke gaung yang dianggarkan sedalam 50 meter. Di bawah gaung itu laluan Jalan Gombak yang lama,” katanya.


Jurucakap polis berkata, anggota polis berkenaan memberhentikan keretanya dan cuba membantu mangsa yang ketika itu masih hidup.

“Ketika itu, mangsa masih bernyawa. Beberapa orang awam membantu anggota polis berkenaan mengeluarkan mangsa dari keretanya, namun mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat sebelum jenazah dihantar ke Kuala Pilah untuk pengebumian.

Tak sempat solat Jumaat

ANGGOTA bomba dari Balai Bomba Masjid Tanah dibantu orang awam bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan kereta dalam kemalangan di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru dekat Masjid Tanah. Foto: Ariffin Salleh (29/04/2011)
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba Masjid Tanah dibantu orang awam bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan kereta dalam kemalangan di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru dekat Masjid Tanah. Foto: Ariffin Salleh (29/04/2011)
MASJID TANAH: Hasrat seorang pegawai kanan kastam untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Linggi dekat sini, sebelum berpindah ke Kelana Jaya, Selangor, tidak tercapai apabila dia cedera parah dalam kemalangan di Kampung Permatang Darat, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Othman Kassim, 50-an, yang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya di Stesen Kuala Linggi selepas mesyuarat di Tanjung Beruas, Tanjung Kling, melalui jalan Kuala Sungai Baru, dikatakan gagal memotong sebuah motosikal di satu selekoh tajam di kampung berkenaan.


Mangsa yang memandu kereta Honda Civic tiba-tiba hilang kawalan ketika cuba memintas sebuah motosikal dari arah sama sebelum bertembung dengan sebuah bas milik Maskas 3 Division, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kem Terendak, yang sedang di pandu uji dari arah Kuala Linggi.


Akibat perlanggaran itu, Othman yang juga Penolong Penguasa Kanan Kastam tersepit di tempat duduk dan cedera parah di kepala sebelum diberikan bantuan awal oleh orang ramai sementara menunggu bantuan kecemasan.


Rakannya, Pegawai Kastam Kanan, Shaharuddin Salim berkata, ketuanya itu yang bakal dinaikkan pangkat kepada Penguasa Kanan Kastam dan berpindah ke Kelana Jaya, Selangor, Mei depan, bercadang menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Kuala Linggi.


Katanya, dia difahamkan ketika kemalangan keadaan jalan agak licin selepas hujan yang mungkin menyebabkan kereta dipandu mangsa hilang kawalan sehingga terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan bas milik angkatan tentera.




“Kami yang bertugas di Stesen Kuala Linggi bercadang meraikan kenaikan pangkat dan perpindahannya ke Kelana Jaya, petang ini (semalam).


“Syukur dia selamat dalam kemalangan itu walaupun cedera parah,” katanya.
Sementara itu, enam anggota tentera yang berada di dalam bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Menurut pemandu bas, Lans Koperal Abd Malik Jantan, 20-an, yang bertugas di Workshop Markas 3 Div, Kem Terendak, mereka yang sedang memandu uji bas dari arah Port Dickson terkejut melihat sebuah kereta dari arah bertentangan memotong sebuah motosikal.


“Saya terkejut dan membunyikan hon serta menekan brek kecemasan, namun gagal mengelak daripada dirempuh kereta itu,” katanya.


Menurutnya, bas yang dipandu itu baru saja dibaik pulih dan kini terpaksa kembali ke bengkel kerana rosak teruk akibat kemalangan itu.

Hampir pitam lihat tulang kaki


DUNGUN: “Saya nak pitam sebaik melihat tulang kaki dan tangan kiri pemandu kereta itu terkeluar daripada dagingnya,” kata Mohd Rizal Yusof, 51, menceritakan detik cemas ketika cuba menyelamatkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Balai Besar-Alur Tempoyak, dekat sini, semalam.
Dia yang tiba sejurus selepas kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, begitu takut untuk mengeluarkan mangsa sebelum menghubungi Hospital Dungun (HD) untuk mendapatkan bantuan.

“Saya tidak berani membantu kerana tidak pernah berhadapan situasi seperti itu dan bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadap mangsa yang parah,” katanya.

Katanya, beberapa minit selepas itu, kakitangan dan pegawai perubatan hospital tiba dan membuat balutan di kaki dan tangan mangsa yang parah sebelum dikejarkan ke hospital.

Mohd Rizal berkata, dia dan beberapa penduduk berhampiran cuba mengeluarkan semua mangsa dalam kedua-dua kenderaan terbabit sebelum semua mangsa dihantar ke HD.

Kemalangan dipercayai apabila Perodua Kancil yang dipandu mangsa, Mohd Fauzan Zulkifli, 18, bersama tiga rakannya, Afiq Izudin Banudin, 17, Saidatul Nurhidayah Azmi, 14, dan Mohd Shazmie Zahari, 18, memasuki laluan kanan jalan lalu bertembung kereta Proton Saga yang dinaiki sebuah keluarga.


Kemalangan itu menyebabkan Proton Saga dipandu Roslina Abd Rahman, 30-an berpusing ke kaki lima jalan sebelum dilanggar sebuah kereta BMW yang berada di belakang kereta Roslina.

Ketika kejadian, Roslina bersama ibunya, Wan Kamariah Wan Nik, 60, serta empat anaknya, Luqman Daniel Fakrurazi, 9, Luqman Hakim, 6, Ainun Mardiah, 5, dan Nur Syamimi Balqis, 3 bulan, yang berasal dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu, dalam perjalanan ke rumah abangnya tidak jauh dari tempat kejadian.
Mohd Fauzan bersama rakannya dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke kampung mereka di Binjal Stesen, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Katanya, selain pemandu Perodua Kancil yang parah, semua mangsa lain mengalami kecederaan dalaman dan ringan serta mendapat rawatan di HD, manakala pemandu BMW tidak cedera.

Tiru gaya cakap Exco


KOTA BHARU: Hanya dengan meniru cara percakapan dan menghubungi mangsanya melalui telefon, seorang lelaki berusia 40-an dikesan licik menjaja nama Exco kerajaan negeri berstatus ‘Datuk’ dekat sini, bagi mengutip derma daripada orang ramai yang mencecah ribuan ringgit.
Difahamkan, lelaki terbabit begitu bijak mengatur strategi dengan meniru cara percakapan Exco berusia lingkungan 50-an terbabit dan meminta mangsanya supaya mendermakan wang ataupun barangan sebelum diserahkan melalui akaun bank.

Akibat percaya dengan karakter suara yang didengar melalui telefon bimbit, ada antara mangsanya tanpa usul periksa memasukkan wang ke akaun bank, tetapi tidak membuat aduan kepada polis kerana menyangka individu yang menghubunginya itu adalah ‘Datuk’ berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kegiatan lelaki terbabit terbongkar selepas pihaknya menerima aduan daripada seorang Exco kerajaan negeri berstatus Datuk yang mendakwa dirinya dipergunakan lelaki itu untuk tujuan penipuan.

Katanya, Exco berkenaan terkejut selepas menerima panggilan daripada dua individu yang mendakwa menerima panggilan sejak seminggu lalu untuk membantunya mendapatkan derma dan bantuan barangan bernilai ribuan ringgit.

“Exco terbabit membuat laporan polis pada 27 April lalu untuk mendedahkan modus operandi dilakukan seorang lelaki dengan menyamar sebagai dirinya. Beliau mendakwa, lelaki itu meminta bantuan daripada mangsanya berupa wang tunai dan barangan.


“Tindakan membuat laporan terbabit selepas berasakan dirinya dipergunakan, selain meminta orang ramai supaya tidak tertipu atau terpedaya dengan taktik lelaki terbabit yang menjaja namanya semata-mata untuk mendapatkan wang cara mudah,” katanya.

Azham berkata, setakat ini, dua mangsa termasuk seorang peniaga kedai tayar sudah membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan lelaki itu.
“Mangsa pertama membabitkan pemilik kedai tayar dan diminta untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,000 kepada anak Exco terbabit, manakala mangsa kedua pula membabitkan seorang lelaki yang nyaris mendepositkan wang ke dalam akaun suspek.

“Bagaimanapun mujur kedua-duanya menghubungi Datuk terbabit untuk mendapatkan pengesahan lanjut sebelum perkara itu (kutip derma) dinafikan, menyebabkan wang terbabit masih selamat kerana belum dipindahkan ke dalam akaun lelaki berkenaan,” katanya.

Katanya, beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan taktik lelaki berkenaan yang menyamar sebagai Exco bagi mendapatkan habuan wang derma cara mudah melalui modus operandi meniru cara percakapan.

“Mungkin ada ramai lagi mangsa lelaki berkenaan belum tampil membuat laporan polis.

“Saya percaya, motif kegiatan itu untuk mendapatkan duit. Buat masa ini, polis sedang memburu suspek berusia 40-an dan yakin dapat memberkasnya dalam masa terdekat, berdasarkan maklumat diperoleh,” katanya.

2 nyaris maut ketika redah air


IPOH: Gara-gara panik melihat air memasuki rumah, dua warga emas nyaris maut akibat kepenatan meredah banjir dalam kejadian banjir kilat yang melanda pekan Trolak dan Kampung Batu 4 di Slim River, pagi semalam.
Banjir kira-kira jam 11 pagi susulan hujan lebat sejak lewat malam kelmarin mengakibatkan hampir 100 rumah didiami 250 penduduk di kedua-dua lokasi terbabit ditenggelami air sedalam lebih satu meter.

Warga emas lelaki dan wanita terbabit yang berusia 70-an, meninggalkan rumah masing-masing di Kampung Batu 4 sebaik melihat air memasuki kediaman mereka.

Sejurus tiba di dewan orang ramai kampung berkenaan, mereka tiba-tiba tercungap sesak nafas akibat kepenatan berjalan kaki meredah banjir sejauh kira-kira 200 meter.

Bagaimanapun, usaha membawa mereka ke hospital gagal kerana laluan utama menghubungkan kampung berkenaan dengan jalan besar ke Slim River terputus akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Namun, tindakan pantas sepasukan lapan anggota bomba dari Slim River yang berjaya menghantar kedua-dua warga emas terbabit menaiki bot ke jalan besar sebelum mereka dibawa menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Ahmad Wahab berkata, kedua-dua warga emas kemudian dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.

“Kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan stabil dan secara keseluruhan tiada insiden tidak diingini berlaku. Banjir kilat yang berlaku menyebabkan jalan besar menghubungkan pekan Trolak dan Kampung Batu 4 ke bandar ditenggelami air sedalam empat kaki (1.22 meter).
“Bagaimanapun, tiada penduduk dipindahkan dan air beransur surut mulai jam 4 petang. Tapi ada segelintir penduduk bertindak keluar rumah dan pergi mendapatkan perlindungan di dewan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, banjir berpunca daripada limpahan air dari Sungai Slim dan Sungai Trolak berikutan hujan lebat berterusan sejak lewat malam kelmarin dan beliau menasihatkan penduduk supaya berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa jika mendapati air naik dengan mendadak di kawasan penempatan mereka.

Mayat lelaki tak siuman dalam longkang


IPOH: Sekumpulan kanak-kanak lelaki tidak menyangka cebisan seluar yang dilihat mereka ‘tersadai’ di dalam longkang berdekatan kuarters perumahan mereka itu adalah mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai dibunuh sebelum dicampakkan ke kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, kanak-kanak itu terserempak mayat mangsa dengan sebahagian badan terapung di dalam longkang besar berhampiran kuarters Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Sungai Senam itu, di sini.

Salah seorang kanak-kanak itu, Muhammad Danial Che Din, 12, berkata dia bersama rakannya yang lain dalam perjalanan ke dewan badminton sebelum mengambil jalan pintas melalui longkang besar itu.

Menurutnya, dia mulanya hanya melihat cebisan seluar terapung di dalam air sebelum memeriksa lebih dekat untuk melihat dengan jelas.

“Saya terkejut apabila mendapati ia adalah mayat seorang lelaki. Sebahagian badan mangsa berada di dalam air manakala, sebahagian lagi berada di atas binaan konkrit longkang.

“Saya kemudiannya bergegas ke pondok keselamatan kuarters untuk memaklumkan kejadian itu kepada anggota FRU yang bertugas sebelum menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar ketika dihubungi semalam berkata, beliau mengesahkan penemuan mayat itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai R Ahgilan, 45, dan berasal daripada Jalan Golf Club, di sini.
“Siasatan juga mendapati, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di sungai berkenaan berikutan penemuan kesan kecederaan di kepala mangsa,” katanya.

Diperkosa lepas lima bulan kenal di Internet


PADANG BESAR: Seorang remaja berusia 15 tahun bertindak kejam apabila tergamak merogol seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang juga cucu kepada jirannya di Kampung Titi Tinggi Hilir, dekat sini, Ahad lalu.
Difahamkan, mangsa yang sering pulang ke rumah neneknya itu dan pernah tinggal di situ sebelum berpindah bersama keluarganya ke Pulau Pinang.

Mangsa yang bersekolah dan tinggal di asrama sebuah sekolah vokasional di Kangar, dipercayai berkenalan dengan suspek sejak lebih lima bulan lalu melalui laman sosial Internet.

Gadis terbabit dipercayai diambil suspek dari asrama sekolah menggunakan motosikal sebelum membawanya ke sebuah rumah kosong berdekatan rumah nenek mangsa di kampung berkenaan sebelum dirogol dalam kejadian kira-kira jam 10 malam.

Suspek yang tinggal di kampung berkenaan juga langsung tidak gentar melakukan perbuatan terkutuk berkenaan sebaliknya dipercayai berkali-kali merogol mangsa sehingga ke petang keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros berkata, mangsa dirogol di dalam rumah kosong yang terletak berdekatan rumah neneknya, namun tidak disedari warga emas terbabit kerana menyangka cucunya berada di asrama.


“Suspek kemudian menghantar mangsa pulang ke asrama pada petang keesokan harinya dan mengarah mangsa supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara berkenaan jika tidak mahu sesuatu berlaku kepadanya.

“Bagaimanapun, perbuatan itu akhirnya terbongkar pada Selasa lalu selepas guru yang juga warden asrama sekolah mangsa mencari pelajar perempuan berkenaan bagi mendapat penjelasan mengenai ketiadaannya di bilik asrama pada malam kejadian,” katanya.
Menurut Che Man, mangsa pada mulanya memberi pelbagai alasan kepada gurunya kerana bimbang dengan tindakan yang mungkin diambil suspek.

"Namun selepas didesak berulang kali oleh gurunya supaya memberitahu perkara sebenar, akhirnya dia memberitahu dirogol lelaki terbabit.

“Mangsa kemudian dibawa gurunya ke Balai Polis Kaki Bukit bagi membuat laporan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya, suspek yang bersekolah di Arau, dekat sini, dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu kemudian ditahan polis pada hari sama.

Katanya, mangsa kini masih lagi ditempatkan di wad HTF bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan suspek direman sehingga 1 Mei bermula Rabu lalu,” katanya.

Kurung saksi


AMPANG: Seorang guru yoga yang pernah menghadapi tuduhan rogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan melarikan dan mengurung dua saksi kes rogolnya itu, tiga minggu lalu.
Abdul Malik Abdullah, 54, yang memakai baju lokap itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Malik yang bercerai dua kali itu dan mempunyai enam anak didakwa melarikan dan mengurung dua remaja perempuan masing-masing berusia 16 dan 17 tahun dengan niat menghalang dan mempengaruhi mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung kes rogol tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di No G-1-5, Jalan Desa Batu Caves 1/7, Taman Desa Batu Caves, Gombak pada jam 3.45 petang antara 7 sehingga 12 April 2011.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4, Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 (Akta 191) yang membawa hukuman penjara tidak lebih empat belas tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Dr A Vasu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu, Roszianayati menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula dan tidak benarkan jaminan terhadap tertuduh.

“Dalam kes ini, kamu dituduh mengganggu dan mengurung saksi pendakwaan, kamu boleh bagi keterangan ketika perbicaraan nanti, oleh itu mahkamah tidak benarkan jaminan,” katanya.
Pada 21 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun ketika itu, di dua lokasi berasingan di Hulu Selangor, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja itu di Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira jam 8 malam, pada Februari tahun lalu.

Dia yang ditahan pada 2 Januari lalu turut didakwa merogol mangsa sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara jam 5 petang dan 6 petang pada November tahun sama. Bagi setiap pertuduhan, dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Disember lalu, Harian Metro melaporkan seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru dekat sini mengurung tiga remaja perempuan dan menjadikan mereka hamba seks selama sebulan.

Ketika serbuan di rumah guru yoga itu, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua paket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy dilaporkan berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.

Penahanan lelaki itu berdasarkan laporan keluarga mangsa selepas anak mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru itu pada hujung November tahun lalu.

Tengkorak pecah


IPOH: “Anak saya dipukul hingga tengkorak kepalanya pecah. Individu yang bertanggungjawab menderanya hingga mati bukan manusia dan lebih hina daripada binatang,” kata K Vijayakumar, 36.
Dia ditemui di rumahnya di Taman Indah Sakthi, Bercham, dekat sini, selepas mengadakan upacara sembahyang dan penghormatan terakhir untuk mendiang anak lelakinya, Seshagiry yang berusia sembilan bulan sebelum disemadikan di Buntong, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Bayi malang yang dilaporkan diculik, ditemui mati dibunuh kejam pada Sabtu lalu dengan mayatnya disumbat dalam beg sebelum dicampak seperti sampah di Kilometer 175.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran jalan susur masuk Plaza Tol Bandar Baharu, Kedah.

Vijayakumar berkata, selain kesan lebam di paha, tangan dan punggung, kecederaan paling teruk ialah di kepala dengan sebahagian tengkoraknya dipercayai pecah.

“Hanya Tuhan tahu kesedihan saya sebaik melihat mayat Seshagiry. Paling meremukkan hati saya ialah keadaan dahinya yang leper ke dalam seperti akibat dipukul dengan kuat.

“Namun punca kematiannya belum diketahui tapi berdasarkan permit pengebumian tercatat ‘kesan hentakan objek tumpul di kepala’ sebagai punca kematiannya,” katanya. M Kavitha, 36, adalah insan paling sedih apabila menangis sepanjang upacara pengkebumian berjalan mengenangkan pemergian anak lelakinya dalam keadaan cukup tragis.


Suasana di rumah mangsa turut pilu dengan tangisan ahli keluarga, rakan serta orang ramai yang bersimpati dengan kejadian menimpa bayi tidak berdosa itu.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan dan Pengerusi MIC Perak, Datuk S Veerasingam. Vijayakumar berkata, dia tidak dapat bayangkan kesengsaraan anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir berdasarkan kesan kecederaan pada mayatnya.
Katanya, kehadiran Mohd Shukri menunjukkan betapa serius kejadian itu dan dia yakin polis akan menyelesaikan kes berkenaan.

Bagi mengelak kejadian serupa berulang, dia menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada apabila menyerahkan anak kepada orang lain seperti yang berlaku kepadanya.

Sementara itu, Mohd Shukri mengesahkan seorang wanita ditahan untuk membantu siasatan selepas menyerah diri kepada polis di Kedah.

“Kes ini disiasat polis Kedah dan kami akan memberikan kerjasama jika diperlukan,” katanya.

Arwah tidak pernah lupa hantar SMS pada isteri


BAGAN DATOH: “Dia (Shaari) tidak lupa menghantar SMS dan gambar melalui perkhidmatan MMS kepada saya setiap kali berhenti di kawasan rawat dan rehat (R&R), namun perkara itu tidak dilakukannya semalam (kelmarin),” kata Azlina Hambali, 48, isteri Pembantu Khas Menteri Pertahanan, Ahmad Shaari Abdul Rani, 54, yang maut dalam kemalangan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 83.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat Gurun, Kedah, ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi untuk menghadiri kursus di Langkawi.

Azlina berkata, suaminya tidak menghantar SMS seperti kebiasaannya apabila beliau berada di luar kawasan.

“Selalunya dia tidak lupa menghantar SMS dan MMS gambar ketika berhenti berehat atau makan di R&R. Malah ketika keluar dari rumah semalam (kelmarin) riak wajahnya amat gembira,” katanya ketika ditemui di Rancangan Perumahan Awam Simpang Empat, Hutan Melintang, di sini.

Jenazahnya selamat dikebumikan di kampung kelahirannya, Sungai Tiang Baroh, di sini, sebelum solat Jumaat semalam. Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Sharaani Mohamad serta pemimpin tempatan.

Gerak hati ayah penyelamat nyawa


BERBAHAYA...kabel elektrik yang jatuh di hadapan rumah penduduk di Jalan J15 Taman Melawati.
BERBAHAYA...kabel elektrik yang jatuh di hadapan rumah penduduk di Jalan J15 Taman Melawati.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang tergerak hati keluar lewat 15 minit daripada kebiasaan untuk menghantar anaknya ke kelas al-Quran terselamat daripada dihempap tiang elektrik di hadapan rumahnya di Jalan J/15 Taman Melawati, di sini, semalam.
Mangsa, Mohd Azahaan Abdullah, 50, berkata dia kebiasaannya keluar awal, tetapi disebabkan tidak sedap hati, dia melewatkan perjalanan dan bersyukur tindakan itu menyelamatkan nyawanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, tiang kabel menyalurkan bekalan elektrik ke Depot Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL) Taman Melawati di hadapan rumah Mohd Azahaan tumbang dan menghempap empat kereta hingga mengalami kerosakan dianggarkan lebih RM50,000.
Mohd Azahaan berkata, tiang berkenaan yang diikat pada tiang utama dengan menggunakan dawai kecil itu berbahaya sejak diletakkan di kawasan perumahan itu dan dia pernah membuat aduan kepada pihak berkaitan, namun tiada tindakan diambil.

“Nasib baik, kejadian pagi tadi (semalam) tidak mengorbankan nyawa sesiapa kerana ketika kejadian bukan sahaja saya ingin keluar untuk menghantar anak ke kelas mengaji, tetapi jiran saya berada di perkarangan rumah untuk ke keretanya yang terletak di luar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Jirannya, Daniel Ng Chung Tern, 26 turut menjadi mangsa apabila keretanya rosak teruk akibat dihempap tiang yang tumbang itu.
Lebih membahayakan, wayar kabel jatuh di hadapan deretan rumah di Jalan J/15 terbabit.

“Saya menganggarkan kerosakan kereta saya membabitkan kerugian lebih RM10,000. Nasib baik kabel itu tidak menghempap ibu saya yang baru keluar untuk ke tempat kerja,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati selain pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sementara itu, jurucakap TNB ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan memberi kenyataan rasmi selepas menyiasat kejadian terbabit.

Budak hamil dilarang ambil peperiksaan



JAKARTA: Berita budak perempuan 11 tahun mungkin dilarang daripada menduduki peperiksaan penting minggu depan kerana hamil mendapat perhatian pihak berkuasa dan aktivis. 

Budak perempuan dikenali sebagai WDE dari Sekolah Dasar Negeri (SDN) di daerah Mojokerto, Jawa Timur, dilaporkan hamil dua bulan.
Ketua Pejabat Pendidikan Mojokerto, Muhammad Taqlin, berkata beliau sedang mempertimbangkan sama ada membenarkannya mengambil peperiksaan itu dan jika boleh, sama ada dia perlu dipisahkan daripada pelajar lain ketika peperiksaan.
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan untuk pendidikan rendah dan menengah, Suyanto, berkata kelmarin pihak berkuasa tempatan tidak berhak melarang gadis itu daripada menduduki peperiksaan. 

“Tiada peraturan dalam negara ini melarang seorang pelajar hamil daripada mengambil peperiksaan,” katanya kepada Jakarta Globe. 

“Mereka mempunyai hak sama terhadap capaian pendidikan seperti orang lain. Justeru, bagaimana jika dia hamil? Pentadbir tempatan perlu mengambil serius kes ini. Ia tidak betul.” 

Suyanto berkata beliau akan terus memantau kes itu dan jika gadis itu dihalang daripada mengambil peperiksaan, beliau akan bertindak. 
“Kami menyedari kes sebegitu ibu bapa gadis mungkin malu mengenai kehamilannya, justeru mereka melarangnya daripada mengambil peperiksaan, kami tidak boleh biarkan ia berlaku,” katanya. – Agensi , bharian

Penyeludup minyak masak tumpas


OTHMAN (kanan) memeriksa sebahagian daripada rampasan 44 metrik tan minyak masak dalam serbuan di Gombak, Selangor malam kelmarin.


GOMBAK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menumpaskan satu kegiatan penyangak minyak masak yang mengaut keuntungan dipercayai mencecah jutaan ringgit hasil perbuatan menyeludup barangan bersubsidi itu ke negara jiran.
Selepas membuat intipan selama seminggu, sepasukan 10 anggota penguat kuasa kementerian itu menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Bolton, di sini malam kelmarin sewaktu beberapa pekerja yang mengisi minyak masak itu ke dalam tong yang setiap satunya seberat 17 kilogram.
Bagi mengaut keuntungan lebih, minyak masak tulen dicampur dengan minyak lain yang lebih rendah mutunya.
Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui sebanyak 44 metrik tan minyak masak yang dianggarkan bernilai RM110,000.
“Pengedar ini membeli minyak subsidi di sekitar ibu negara sebelum memproses semula ke dalam tong berwarna kuning dan kemudian diseludup ke negara luar pada harga yang lebih tinggi.-kosmo

Friday, April 29, 2011

28 ditahan dalam Ops Sapu



MANJUNG – Seramai 28 warganegara asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam serbuan Ops Sapu oleh anggota Pejabat Imigresen Manjung bermula jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali berkata, pihaknya menahan 13 wanita, 10 lelaki, tiga kanak-kanak wanita dan dua kanak-kanak lelaki, semua mereka adalah warganegara Indonesia.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mereka bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit di sekitar daerah ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Serbuan di buat sekitar Segari dan Ayer Tawar hasil maklumat orang awam serta risikan yang kita jalankan.

“Semua mereka ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1(C)) dan Seksyen 15 (1(C)) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39 (B), Peraturan –peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Zaidi berkata, pendatang tanpa izin itu ditahan selama 14 hari di Depoh Tahanan Imigresen Langkap bagi tujuan siasatan lanjut.:

“Sekiranya mereka didapati bersalah, tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Katanya, operasi itu akan dijalankan dari semasa ke semasa agar gejala pendatang tanpa izin ini dapat dibanteras.

“Kita menasihatkan agar majikan mengambil pekerja warganegara asing yang memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Jika majikan terbukti menggaji dan melindungi pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 56 (1(D)) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta sama.

“Selain itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai gejala seumpama ini diminta tampil menyalurkannya untuk membantu kami menjalankan penguatkuasaan di daerah ini,” katanya.

Mangsa gigit jari penyamun lepas diri



IPOH – Seorang wanita berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa samun seorang lelaki di sebuah premis Jalan Laxmana, Pasar Besar, Pekan Baru, di sini kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa berjaya melepaskan diri dari dicekik dengan menggigit jari suspek hingga terkoyak.

“Dalam keadaan sakit, suspek terus melarikan diri tanpa menaiki sebarang kenderaan dan mangsa pula tidak mengalami kecederaan serta tiada barang yang berjaya diambil oleh suspek.

“Suspek memakai topi keledar, baju T berwarna ungu dan berseluar jeans mengetuk pejabat pengadu sambil memperkenalkan dirinya sebagai polis dengan menunjukkan sekeping kad biru tertera logo polis,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Azisman berkata, suspek mengarah pengadu menunjukkan kad pengenalan dan menyalin semula maklumat pada kad pengenalan berkenaan pada sehelai kertas.

Katanya, suspek berumur lingkungan 30 tahun itu bertubuh gempal, berkulit gelap dan terdapat kesan bekas jerawat di pipi.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek tersebut boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mazhar Malik di talian 013-5908025 atau telefon di talian 05-2542222,” katanya.

Ugutan: suami isteri ketakutan



SALAK BARU – Setelah dilempar surat layang, sepasang suami isteri semakin tertekan dan ketakutan apabila kediaman mereka pula dijadikan sasaran dengan simbahan cat merah.

Kejadian yang berlaku kelmarin hanya disedari pemilik rumah, Wong Kiau, 73, ketika dia dan isteri ingin keluar ke kedai minum.

Menurutnya, simbahan cat berkenaan dikesan di bahagian hadapan rumah mereka di Kampung Baru.

“Ini bukan kejadian kali pertama kerana sebelum ini saya pernah menerima sekeping kertas dalam bahasa Cina.

“Kandungan kertas (surat layang) yang diletakkan dalam peti surat rumah itu meminta wang sebanyak RM60,000, turut diselitkan nombor telefon untuk dihubungi,” katanya.

Wong Kiau berkata, pada waktu itu, ada kesan simbahan cat di hadapan rumah, namun dia tidak melaporkan insiden itu kepada polis.

Bagaimanapun, katanya, apabila insiden sama berulang, dia dan keluarga mula bimbang akan keselamatan dan membuat keputusan melaporkannya kepada polis.

“Surat layang yang diterima juga sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, kami bimbang sekiranya pihak berkenaan bertindak ganas,” katanya.

Wong Kiau berkata, sehingga kini, dia tidak mengetahui motif sebenar perbuatan menyimbah cat itu dan sebab pihak berkenaan meminta sejumlah wang daripadanya.

“Saya dapat rasakan perbuatan ini satu petanda atau amaran kepada kami supaya menyerahkan wang yang diminta, harap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.