Search This Blog

Wednesday, March 23, 2011

Wanita hamil 5 bulan diserang 35 samseng


GOMBAK: Seorang wanita yang sarat mengandung lima bulan nyaris keguguran selepas menjadi mangsa serangan sekumpulan samseng bersenjatakan pedang samurai dan parang di rumahnya di Jalan Sungai Mulia, di sini, Ahad lalu, malah suspek turut melarikan RM5,000 miliknya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, suaminya, HM Shahril Piee, 42, baru pulang ke rumah selepas selesai berniaga di pasar malam sekitar Gombak.

Shahril berkata, setengah jam kemudian pintu rumahnya diketuk seseorang. Dia yang sedang berehat cuba melihat melalui celahan tingkap dan terkejut apabila mendapati kira-kira 35 orang berkumpul di luar rumah sambil memegang pedang samurai, parang, kayu dan batang besi.

Menurutnya, mengesyaki sesuatu tidak kena, dia masuk ke bilik tidur dan memberitahu isterinya supaya menghubungi polis jika berlaku apa-apa kepadanya.

“Saya terus membuka pintu rumah dan kumpulan terbabit terus menyerbu dan menyerang saya. Saya sempat menepis serangan, namun mengalami sedikit kecederaan di bahagian tangan.

“Selepas tidak tahan dipukul, saya melarikan diri ke belakang rumah sehingga cedera di kaki kerana terkena dawai pagar,” katanya.


Shahril berkata, dia baru seminggu menyewa di rumah itu.

“Paling menyedihkan apabila isteri saya yang sedang mengandung turut menjadi mangsa apabila diugut suspek dan ditendang hingga terjatuh ke lantai.
“Mujur bapa saudara yang tinggal berdekatan datang menolong isteri yang sudah lemah apabila kumpulan terbabit melarikan diri,” katanya.

Katanya, dia yang berjaya melarikan diri terus pergi ke rumah ibunya yang terletak berhampiran sebelum pergi ke rumah bapa saudara untuk melihat keadaan isteri.

“Selepas keadaan kembali tenteram, saya mendapati rumah dan barangan di dalamnya semua dirosakkan.

“Pintu bilik tidur turut dipecahkan, malah pintu utama masih tertinggal kesan tetakan pedang samurai selain kerosakan lain. Mereka juga melarikan wang hasil berniaga sebanyak RM5,000 yang disimpan di almari,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, Shahril berkata, dia percaya semua ini berpunca daripada perselisihan faham berkenaan kawasan tempat letak kereta.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Gombak kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga. Bagaimanapun, selepas membuat laporan itu saya diserang sekali lagi oleh kumpulan yang sama menyebabkan kepala cedera dan menerima jahitan,” katanya.

No comments:

Post a Comment