Search This Blog

Sunday, March 13, 2011

Tunang maut kemalangan empat jam sebelum akad nikah



KOTA BHARU 11 Mac - Dia hanya duduk dan tidak banyak bercakap biarpun di tangan serta jejari halusnya dihias inai.
Bagi gadis ini, Tuan Nor Hidayah Tuan Lah, 24, hari ini sepatutnya menjadi hari yang paling gembira dalam hidupnya kerana bakal diijabkabulkan dengan jejaka idaman hati.
Namun semua itu tidak menjadi realiti apabila tunangnya, Muhammad Nor Farhan Razali, 26, meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum berlangsung majlis akad nikah selepas kereta yang dipandu Allahyarham bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 2, Jalan Pasir Puteh-Jelor, Pasir Puteh petang semalam.
"Dua hari lepas dia (mangsa) menangis ketika kami bercakap melalui telefon, alasannya saya tidak menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS), memang saya tidak membalas SMS itu sebab saya sibuk untuk menguruskan majlis pernikahan.
"Dia kemudian memohon maaf kepada saya. Semalam semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia menelefon kami dan nadanya amat gembira tetapi kira-kira sejam kemudian saya mendapat panggilan dia sudah tiada lagi," kata Tuan Nor Hidayah ketika ditemui di rumahnya di Taman PKINK, Padang Tembak di sini hari ini.
Muhammad Nor Farhan yang merupakan kakitangan Felcra di Kuala Berang meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa sekam padi ketika tiba di selekoh tajam di tempat kejadian.
Anak sulung daripada enam beradik itu maut kira-kira empat jam sebelum majlis akad nikah dengan Tuan Nor Hidayah pada pukul 8 malam tadi.
Pasangan tersebut sepatutnya bersanding Ahad ini manakala kenduri kahwin di sebelah lelaki Selasa ini.
Tuan Nor Hidayah berkata, mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain ketika menghadiri induksi di Kolej Komuniti, Kedah beberapa tahun lalu.
"Hubungan serius kami bermula pada penghujung tahun 2009, dia seorang yang amat tegas dalam semua hal tetapi dengan saya tidak.
"Semua kelengkapan untuk perkahwinan kami telah siap tetapi ini suratan takdir yang harus saya tanggung biarpun ia amat perit," katanya.
Sementara itu, ibu kepada Tuan Nor Hidayah, Aminah Salleh, 60, berkata, Muhammad Nor Farhan amat jujur dan ikhlas kerana telah meminta izin terlebih dahulu sebelum menjalinkan hubungan dengan anaknya.
"Pada Ogos 2009, dia telah menghantar SMS kepada saya untuk memohon restu ke atas hasratnya untuk mengambil Hidayah sebagai permaisuri hidupnya.
"Saya simpan SMS itu tetapi dua hari lalu, rumah saya dimasuki pencuri, telefon bimbit saya serta telefon Hidayah telah dicuri," katanya.
Tambahnya, kenduri kahwin dan majlis persandingan yang dijadualkan Ahad ini telah dibatalkan kerana kemalangan itu.

No comments:

Post a Comment