Search This Blog

Wednesday, March 2, 2011

Tinggal sehelai sepinggang

SH


SUNGAI SIPUT (U) – Dua keluarga nyaris maut melibatkan tiga rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Lintang di sini, semalam.

Bagaimanapun, keluarga berkenaan sempat menyelamatkan diri dan beberapa barangan berharga termasuk pakaian, peralatan dapur dan barangan elektrik sebelum kediaman mereka ranap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, memandangkan api besar dan marak dengan pantas, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar.

“Seramai 10 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan lima daripadanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Kita menggunakan dua jentera dalam operasi memadamkan api yang menghanguskan tiga rumah ini.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api sudah marak dan anggota bomba berusaha mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Mohamad berkata, api dapat dikawal pada jam 9.10 pagi dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 10.45 pagi.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian belum diketahui serta siasatan lanjut masih dijalankan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dengan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment