Search This Blog

Loading...

Thursday, March 24, 2011

Suami paksa isteri lakukan seks



KULIM - Seorang isteri beranak dua membuat laporan polis kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin di Balai Polis Kulim dengan mendakwa suaminya cuba memaksanya melakukan hubungan seks.

Mangsa berusia lingkungan 30-an dikatakan mempunyai masalah rumah tangga dan kini dalam proses penceraian.

Suami mangsa yang bekerja sebagai seorang peniaga diarahkan supaya tidak menghampiri isterinya kerana bimbang mangsa dicederakan.

Menurut mangsa, sebelum kejadian, suaminya balik ke rumah dan meminta isterinya melakukan hubungan seks tetapi ditolak.

Si suami yang berang kerana nafsunya tidak dilayan telah mengasari mangsa dan berlaku sedikit pergelutan.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perlakuan suaminya kemudiannya pergi ke balai polis untuk membuat aduan bersama adik perempuannya.

Menurut jurucakap polis, ini bukan kali pertama polis menasihati pasangan itu supaya tidak bergaduh dan cuba berbaik semula tetapi gagal.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata, polis akan menyiasat kes ini dan menasihati si suami supaya tidak melakukan perkara sama terhadap isterinya.

“Si suami kemudiannya berjanji tidak akan berbuat demikian dan akan menunggu sehingga keputusan mahkamah selesai.

“Ketika ditemui, suami mangsa menyatakan dia telah berusaha untuk berbaik dengan isterinya tetapi gagal setelah rumah tangga mereka diganggu oleh pihak ketiga. Si suami pernah ternampak keretanya dipandu oleh lelaki lain dan dipercayai ada menjalinkan hubungan cinta bersama isterinya,” katanya.

Diminta mengulas mengenai perlakuan isteri menolak kehendak suami untuk melakukan hubungan seks, Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, adalah satu kesalahan bagi mana-mana isteri menolak keinginan suami untuk bersama mereka.

“Permasalahan dalam rumah tangga itu adalah satu perkara biasa, sedangkan lidah lagi tergigit. Tetapi berdosa bagi seorang isteri menolak permintaan suami untuk bersama mereka. Isteri boleh dianggap nusyuz atau derhaka. Tidak ada istilah suami merogol isteri dalam Islam apabila seorang lelaki sudah sah dinikahkan dengan seorang perempuan,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada pasangan itu supaya mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling dari PADK untuk mengatasi masalah rumah tangga yang dihadapi memandangkan pasangan itu sudah mempunyai anak dan masih kecil.

No comments:

Post a Comment