Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Suami jururawat tauke syabu



SURA JETTY – Seorang tauke syabu yang hidup mewah hasil jualan dadah tidak menyangka perniagaan sulit berselindung di sebalik aktiviti menangkap ikan menggunakan dua bot gentian kaca miliknya itu, berjaya dihidu pihak berkuasa.

Suspek berusia 40-an dan pernah ditahan sebelum ini kerana kesalahan mengedar ganja disyaki kembali aktif memasarkan produk yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penagih tempatan itu.

Maklumat sulit itu akhirnya memaksa sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah melakukan serbuan di rumahnya dekat sini, sebelum bertindak menahan suspek yang difahamkan suami kepada seorang jururawat kanan selain turut menyita beberapa harta benda miliknya.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, suspek yang difahamkan pernah menjalankan perniagaan kedai kasut di bandar ini ditahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Harta benda suspek turut disita termasuk dua bot gentian kaca, sebuah kereta Ford Laser, sebuah motosikal Honda EX5 dan tiga enjin bot nelayan.

“Polis memberi amaran keras kepada mana-mana pengedar dan penagih yang masih bergiat aktif agar segera menghentikan perbuatan penyalahgunaan dadah sebelum kami mengambil tindakan tegas,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment