Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

Rompak guna teksi


BATU PAHAT: Empat penjenayah warga Vietnam menggunakan teksi sebagai pengangkutan ketika memecah masuk beberapa kilang sekitar daerah ini.
Bermodalkan hanya RM10 bagi tambang teksi untuk ke kilang disasarkan, mereka juga menggunakan teksi ketika melarikan barangan dicuri.

Taktik yang digunakan sejak beberapa bulan itu bagaimanapun menemui noktah apabila keempat-empat penjenayah berkenaan ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Parit Bilal, jam 10 malam, Jumaat minggu lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam sekatan itu, polis menahan teksi dinaiki empat suspek berkenaan.

“Dalam pemeriksaan dijalankan ke atas teksi berkenaan, kami menemui kelengkapan untuk melakukan jenayah seperti parang, pemotong besi serta pelbagai jenis pemutar skru.

“Semua suspek yang berusia 20-an gagal memberikan penjelasan berkaitan peralatan itu,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Semerah, semalam.

Pemandu teksi berkenaan dibebaskan selepas siasatan mendapati dia tiada kaitan dengan kumpulan penjenayah terbabit.

Pemeriksaan mendapati tiga daripada suspek tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan, manakala seorang lagi tiada dokumen perjalanan sah.

“Kami syak permit digunakan suspek palsu dan siasatan lanjut mendapati semuanya terbabit dalam beberapa kes pecah kilang sekitar daerah ini.
“Penahanan kumpulan itu membolehkan kami menyelesaikan lima kes pecah kilang dan kami masih menyiasat sama ada mereka turut mempunyai rakan jenayah yang masih bebas atau terbabit dengan kes lain,” katanya.

Menurut Adnan, suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda, suspek juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen.

No comments:

Post a Comment