Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Ribut jengah Guar Kepayang



PENDANG – Sekurang-kurangnya dua rumah rosak teruk akibat dipukul ribut yang melanda beberapa kampung di Mukim Guar Kepayang, di sini, kelmarin.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Tanjung Radin, Banggol Besi dan beberapa kampung lagi.

Sinar Harian difahamkan, penduduk yang menjadi mangsa bencana itu terpaksa menanggung kerugian yang tinggi akibat kerosakan yang dialami kediaman mereka.

Mangsa, Nor Laila Khamis, 30, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat dan ribut akan melanda memandangkan keadaan cuaca pada ketika itu panas terik sebelum pergi ke rumah ibunya di Kampung Majapahit, Pendang.

“Saya sempat duduk di rumah ibu hanya lima minit, dan kemudian saya mendapat panggilan daripada kakak memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya sangka hanya beberapa zink rumah sahaja yang tercabut, jadi saya tidaklah tergesa-gesa mahu pulang memandangkan keadaan waktu itu juga hujan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas beberapa minit, dia sekali lagi dihubungi kakaknya memaklumkan bahawa seluruh kayu dan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Ketika itu saya mula panik, dan segera pulang.

“Namun, saya bersyukur, ketika kejadian, suami berada di tempat kerja dan empat anak saya turut berada di rumah ibu,” katanya.

Suaminya, Mohd Ritauddin Mansor, 36, berkata, dia segera pulang ketika dihubungi.

Mohd Ritauddin berkata, semua kelengkapan rumah termasuk barang-barang elektrik mengalami kerosakan.

Seorang lagi penduduk yang tinggal di Kampung Banggol Besi turut mengalami nasib yang sama.

Senapi Hanafi, 57, berkata, dinding bahagian atas rumahnya rosak teruk akibat dihempap sebatang Pokok Setol yang berusia lebih 10 tahun.

“Saya tak sangka rumah saya turut jadi mangsa.

“Ketika itu, saya berada di majlis kenduri, sejurus pulang saya dapati orang ramai berkumpul di rumah saya bagi melihat keadaan rumah yang dihempap pokok,” katanya.

Senapi berkata, dia bersyukur kerana anak perempuannya yang berada di rumah tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, dalam kejadian terbabit bukan sahaja memusnahkan rumah penduduk namun beberapa kedai dan satu bengkel mencuci kereta turut terjejas.

Pemilik bengkel, Abdul Rahim Hasyim, 58, berkata, setelah melihat keadaan angin yang berpusing-pusing dari arah sawah berdekatan menyebabkan dia bersama pelanggannya melarikan diri kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya alami kerugian yang tinggi memandangkan bengkel mencuci kereta itu baru sahaja siap dan beroperasi selama satu bulan.

“Walaupun keseluruhan bumbung bengkel diterbangkan angin namun kenderaan pelanggan yang sedang dicuci tidak mengalami apa-apa kerosakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul turut meluangkan masa melawat semua mangsa-mangsa ribut dan meminta semua mangsa membuat laporan polis agar dapat dipanjangkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang.

Menurutnya, kawasan Kampung Banggol Besi jarang sekali berlaku bencana ribut memandangkan kawasan itu terkenal sebagai kawasan banjir.

No comments:

Post a Comment