Search This Blog

Saturday, March 26, 2011

Pelajar kejuruteraan kena tahan kes mencuri





2011/03/26

ARAU: Tiga lelaki termasuk seorang pelajar kejuruteraan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, ditahan selepas dikesan mendalangi sindiket curi motosikal yang menjadikan lokasi sekitar kampus pengajian sebagai kawasan operasi. 

Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila ketiga-tiga suspek berusia antara 20 dan 21 tahun itu berjaya diumpan anggota polis yang menyamar untuk menjalankan urus niaga barangan curi di sekitar Padang Katong, jam 5.30 pagi semalam.
Ketika serbuan dibuat, suspek dikatakan cuba menjual komponen motosikal jenis Yamaha RXZ yang baru dicuri kepada anggota polis yang menyamar sebelum ketiga-tiga mereka, termasuk pelajar IPT yang berasal dari Baling, Kedah, ditahan.
Hasil serbuan mendapati, dua enjin motosikal termasuk milik Yamaha RXZ yang dilaporkan hilang di sebuah IPT, di sini serta komponen lain daripada motosikal sama yang sudah dileraikan, ditemui dalam kereta dinaiki tiga lelaki terbabit. 

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, berkata pihaknya percaya ketiga-tiga suspek aktif dalam kegiatan curi motosikal sejak beberapa bulan lalu, malah seorang daripada mereka dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam jenayah sama di negeri ini. 

"Kita percaya dua lelaki masing-masing berasal dari Padang Telela dan Pauh, dekat sini menggunakan pelajar IPT terbabit sebagai 'runner' untuk membawa keluar motosikal terutama jenis Yamaha RXZ dari kampus pengajiannya, sebelum ia dileraikan di markas operasi mereka di Jitra, Kedah. 

"Ini terbukti apabila serbuan ke atas rumah terbabit menemui pelbagai komponen motosikal Yamaha RXZ yang dileraikan, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket terbabit," katanya ketika ditemui, semalam. 
Mengulas mengenai modus operandi sindiket itu, Mohd Nadzri berkata, kumpulan terbabit tidak menyimpan lama motosikal yang dicuri sebaliknya meleraikan komponen diperlukan untuk dijual. 

“Manakala casis dilupuskan di lokasi tertentu dan ia masih dalam siasatan,” katanya. 

Nadzri berkata, polis sedang menyiasat pembabitan ketiga-tiga suspek dalam jenayah curi motosikal di daerah atau negeri lain, termasuk dalam kes kehilangan Yamaha RXZ milik seorang pelajar di IPT di sini, pagi kelmarin. 

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Perlis di talian 04-9711999 untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya. 

Baru-baru ini, polis daerah menahan 13 lelaki sebahagian besarnya pelajar sekolah dari sekitar Kodiang kerana terbabit dalam sindiket curi motosikal. Polis juga menemui kira-kira 30 rangka motosikal terutama jenis Honda EX-5 di dasar Sungai Sentap, dekat sini, yang menjadi lubuk pelupusan rangka motosikal curi. 

No comments:

Post a Comment