Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

Lelaki mati di salun isteri

Berita Harian

2011/03/12

SERI KEMBANGAN: Seorang ahli perniagaan yang juga jurulatih seni mempertahankan diri, ditemui mati dalam keadaan tangan, kaki dan mulut diikat dengan kain di sebuah premis dua tingkat miliknya di Taman Puncak Jalil, di sini, malam kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Manogaran, 42, ditemui dalam keadaan terlentang di salah sebuah bilik yang digunakan sebagai premis perniagaan salun oleh isterinya kira-kira 8 malam.
Difahamkan, mangsa menjaga salun itu seorang diri, manakala isterinya, 33, keluar mengambil anak tunggalnya dari sekolah kira-kira 5 petang.
Bagaimanapun, sebaik isterinya kembali ke premis yang juga tempat tinggalnya itu, beliau mendapati mangsa terbaring dalam keadaan mulut dan hidung berdarah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Razak Elias, berkata tiada sebarang kecederaan lain termasuk tikaman selain mulut dan hidung yang berdarah.

“Pemeriksaan mendapati, telefon bimbit milik mangsa dan sedikit wang tunai hilang dipercayai dilarikan suspek berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pernafasan berikutan mulut dan hidungnya diikat dengan kain.
“Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis percaya lebih daripada tiga suspek mendalangi kes pembunuhan itu berdasarkan kemahiran yang dimiliki mangsa.

“Segala aspek akan diambil kira termasuk dendam lama, Along atau didalangi individu dikenali berikutan ia bukan menjurus kepada rompakan kerana keadaan kedai yang tidak berselerak,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa menjalankan pelbagai jenis pekerjaan termasuk jurulatih seni mempertahankan diri dan salun yang baru dibuka itu dikendalikan isterinya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment