Search This Blog

Friday, March 4, 2011

Jalan gelap punca nahas

SH

KUALA NERUS - Malang bagi seorang warga emas apabila dia maut dirempuh dua motosikal berturut-turut ketika dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Isyak di surau berhampiran rumahnya dalam kejadian di Kampung Paya Datu, Manir, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Zamri Shamsuddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila mangsa, Khatijah @ Semek Ali, 67, dilanggar dua motosikal yang datang dari arah Banggol Peradong menuju ke Bukit Tumboh.

“Motosikal pertama yang ditunggang seorang lelaki, 26, dari Kampung Banggol Peradong melanggar mangsa menyebabkan kedua-duanya mereka ‘bergelimpangan’ di tengah jalan.

“Tidak sampai lima minit kemudian, datang sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki, 19, dari Kampung Tanjung Sabtu, dan sekali lagi melanggar mangsa yang ketika itu sedang terbaring di tengah jalan,” katanya.

Akibatnya kejadian itu, mangsa yang parah pada bahagian kepala maut di tempat kejadian, manakala kedua-dua penunggang motosikal itu cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sementara itu, Zamri berkata, faktor lokasi laluan yang agak gelap menjadi punca kedua-dua penunggang motosikal itu tidak nampak kelibat mangsa yang sedang melintas.

Menurutnya, kedua-dua penunggang motosikal itu yang disiasat mengikut Seksyen 1 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan dibebaskan selepas keterangan diambil ketika keduanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

No comments:

Post a Comment