Search This Blog

Friday, March 4, 2011

Isu bankrap: Felda saman fitnah RM200 juta terhadap Kee Kwong



KUALA LUMPUR 3 Mac – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, telah memfailkan saman fitnah RM200 juta terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan dan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong ekoran pendedahan dalam surat terbukanya yang mendakwa Felda bankrap.
Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari lalu.
Dalam saman tersebut, kedua-dua plaintif itu menamakan Kee Kwong yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebagai defendan.
Kee Kwong telah menyertai PKR pada 6 September 2008 setelah melepaskan semua jawatan dalam parti Gerakan. Dia merupakan individu kelima yang diheret ke mahkamah kerana memfitnah Felda.
Plaintif menyatakan, beberapa hari sebelum 22 Jun 2010, defendan yang ditemuramah oleh seorang wartawan akhbar Suara Keadilan, Faizal Zakaria telah memfitnah Felda berhubung perjalanan perniagaan mereka.
Menurut plaintif, defendan mengetahui bahawa pernyataan fitnah yang dibuat kepada wartawan terbabit sepanjang temuramah berlangsung akan disiarkan dalam akhbar tersebut.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, akhbar itu dalam keluaran bertarikh 22-29 Jun 2010 telah menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam berita utama muka depan bertajuk Felda Bankrap dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran yang sama.
Selain itu, sebuah lagi artikel dalam edisi yang sama dengan keterangan di muka surat pertama bertajuk Kontroversi berserta gambar dan sambungannya di muka surat 3 bertajuk ‘Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu’ turut didakwa mengandungi perkataan fitnah.
Plaintif berkata, fitnah serius oleh defendan boleh menyebabkan penghinaan dan mengaibkan kedua-duanya di khalayak ramai, masyarakat negara ini dan luar negara selain mendatangkan kerugian yang maksimum.
Perkataan tersebut antaranya membawa maksud atau memberikan gambaran bahawa plaintif telah terlibat dalam rasuah, melakukan kesalahan jenayah, tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.
Ini kerana menurut plaintif, defendan menyedari bahawa perkataan fitnah yang diterbitkan akhbar tersebut tersebar luas dan sengaja melakukannya walhal mengetahui ia tidak benar.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM200 juta termasuk ganti rugi keterlaluan, teladan untuk fitnah bertulis atau kepalsuan berniat jahat dan mudarat.
Selain itu, plaintif menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun atas ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran penuh serta injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada bercakap atau menerbitkan perkataan fitnah secara lisan atau di media cetak atau Internet.
Plaintif juga memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah dengan bentuknya serta terma akan ditentukan oleh plaintif serta kos.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment