Search This Blog

Friday, March 4, 2011

Ibu bersyukur anak selamat jatuh atas sejadah, kain kapan




Musliha Sairan melihat Muzliya Shaqina di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Mac - "Mujurlah anak saya terjatuh di atas longgokan sejadah dan kain kapan yang terdapat di tempat mandian jenazah.
"Kalau tidak, tak tahulah nasibnya," ujar ibu kepada remaja perempuan yang terselamat selepas terjatuh dari tingkat 10 kuarters kediaman polis di Taman Miharja, Cheras, di sini semalam.
Bagi Musliha Sairan, 45, tiada apa dapat diucapkan selain memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana memanjangkan usia anaknya, Muzliya Shaqina Ambia, 13, atau lebih mesra dipanggil Qina.
Katanya, hatinya tambah sayu ketika mendengar Muzliya memanggil namanya sejurus sedar dan meminta maaf di atas perbuatannya tersebut.
"Bila Qina sedar dia panggil saya dan terus kata 'mama, maafkan Qina'. Saya begitu tersentuh ketika itu. Hati ibu mana yang tidak sedih kalau melihat keadaan anak sedemikian," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Muzliya terselamat selepas terjatuh dari tingkat 10 kuarters kediaman polis di Taman Miharja, Cheras.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang merupakan anak anggota polis berpangkat Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, terselamat apabila segera dibawa oleh penduduk ke hospital untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Muzliya ketika ditemui berada dalam keadaan sedar tetapi masih lemah dan tidak dapat bercakap kerana mengalami bengkak di bibirnya selain giginya patah.
Menurut Musliha, dia tidak menyangka Muzliya memanjat koridor untuk memasuki rumahnya kerana anaknya belum pernah berbuat demikian sebelum ini.
"Mungkin dia berasa tidak selesa, kerana ketika itu Qina baru pulang daripada aktiviti kokurikulum di sekolahnya dan berpeluh.
"Dia lalu nekad memanjat koridor lalu masuk melalui pintu belakang apabila mendapati pintu rumah berkunci," katanya.
Musliha berkata, berikutan kejadian itu, anaknya cedera di bahagian mata kiri, patah tangan kanan serta kaki kiri.
Katanya, doktor memaklumkan keadaan anaknya dijangka pulih setelah dua bulan menjalani rawatan.
Musliha turut mengucapkan terima kasih kepada semua jirannya yang membantu anaknya ketika kejadian.Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment