Search This Blog

Wednesday, March 2, 2011

Dua remaja maut motosikal terbabas

SH


SUNGKAI – Dua remaja maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dan lalu masuk ke dalam longkang yang baru dibina di Kampung AA Tin di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, pembonceng motosikal, Muhamad Hazwan Nursimriyadi, 13, maut di tempat kejadian, manakala penunggang, Mohamad Amirul Asraff Osman, 15, meninggal dunia di Hospital Besar Ipoh (HBI).

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai menunggang motosikal untuk bermain di kawasan sekitar kampung berkenaan.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang.

“Akibat kecederaan parah di kepala, pembonceng motosikal maut di tempat kejadian dan penunggang motosikal maut di Hospital Ipoh pada jam 7.30 malam hari kejadian.

“Kedua-dua mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dipercayai tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal berdasarkan kepada kecederaan yang dialami,” katanya kepada Sinar Harian.

Roslan berkata, kedua-dua mangsa merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai di sini, dan menuntut di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga.

Katanya, mayat Muhamad Hazwan dihantar ke Hospital Tapah untuk di bedah siasat dan sudah dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

“Kemalangan ini berlaku di jalan kampung dan di sebelah kiri jalan berkenaan terdapat longkang yang sedang dalam pembinaan dan mereka ini terbabas ke dalam longkang itu.

“Saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa patuh kepada undang-undang kerana kita tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan mangsa tidak mematuhi undang-undang sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment