Search This Blog

Wednesday, March 2, 2011

Bunuh dalam ladang

SH


KULAIJAYA – Seorang remaja berusia 20 tahun dari Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai, di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang lelaki di dalam sebuah ladang.

Tertuduh, Benny Chang Xin Hao, 20, dituduh melakukan kesalahan membunuh Tang Chung kiong, 20 bersama dua rakannya pada 15 Januari lalu kira-kira jam 12 tengah hari di ladang kelapa sawit di Jalan Ulu Tiram-Seelong, di sini.

Benny yang memakai baju T berwarna biru dan seluar jeans paras lutut, hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh manakala mahkamah memutuskan 4 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik.

Benny dituduh melakukan kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki rakan tertuduh yang bersama-samanya ketika kejadian, bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan tertuduh turut didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan atas dua kesalahan mencederakan orang awam, pagi semalam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai.

Terdahulu, Sinar Harian bertarikh 20 Januari lalu, melaporkan penemuan mayat dalam keadaan rentung oleh pekerja Ladang Felda Techno Plant Taib Andak, Jalan Ulu Tiram-Seelong, di sini semasa sedang menjalankan tugasnya.

No comments:

Post a Comment