Search This Blog

Sunday, March 13, 2011

Bakal bapa maut langgar lari



KAPAR - Hasrat seorang lelaki warga Indonesia menimang cahaya mata pertama tidak kesampaian apabila maut selepas motosikalnya dipercayai bertembung dengan sebuah kereta di Persiaran Hamzah Alang, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Kapar, di sini pagi semalam.

Mangsa, M Saifuden, 28, meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil enam bulan dikenali Winarti, 24, yang dijangka melahirkan anak pada penghujung Jun ini.

Ibu mertua mangsa, Kanimah Katimun, 44, berkata, arwah mengahwini anak ketiganya sejak dua tahun lalu.

“Mereka beria-ia benar ingin menimang cahaya mata bagaimanapun tidak tercapai sehinggalah Oktober tahun lalu Winarti disahkan hamil.

“Arwah amat gembira, sejak itu dia bekerja keras mengumpul wang bagi menyambut kelahiran orang baru dalam keluarganya,” katanya.

Menurutnya, malam sebelum kejadian, arwah tiba-tiba meminta maaf dan minta dihalalkan makan minumnya selama ini.

“Kebiasaannya dia akan ke tempat kerjanya di Sungai Serdang jam 7 pagi namun pada pagi kejadian, dia pergi lebih awal kira-kira jam 6.30 pagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintenden Zawary Mahadi berkata, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor binaan dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal dipandu mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Sefiro yang datang dari arah bertentangan (Kapar).

“Mangsa dan motosikalnya diseret sejauh 20 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan didapati mangsa patah kedua-dua paha selain kecederaan parah di kepala.

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis masih mengesan pemandu kereta yang dikatakan menghilangkan diri sejurus kejadian berlaku.

Oleh itu, sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diminta hadir atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32919540 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment