Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

2 kapal ditahan pindah minyak





Dua buah kapal tangki asing bersama 34 anak kapal ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Piai, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 11 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekali lagi menumpaskan kegiatan memindah minyak secara haram setelah menahan dua buah kapal di perairan Tanjung Piai dekat sini, malam tadi.
Kedua-dua kapal iaitu MT Sentek 20 dan Farmosaproduct Alphine ditahan ketika sedang rancak menjalankan aktiviti tersebut di 2.8 batu nautika (5.18 kilometer) dari barat daya Tanjung Piai kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kedua-dua kapal tangki itu ditahan oleh bot laju Maritim Malaysia yang bertindak atas maklumat orang awam.
"Kita menerima maklumat pada pukul 6.20 petang mengatakan terdapat dua buah kapal yang berhimpit antara satu sama lain disyaki menjalankan kegiatan pindah minyak secara haram lalu menggerakkan bot laju untuk menjalankan siasatan.
"Ketika diperiksa, kami mendapati sejumlah 80,000 liter Marine Fuel Oil (MFO) sedang dipindahkan dari kapal MT Sentek 20 yang didaftarkan di Singapura ke kapal satu lagi didaftarkan di Monrovia, Liberia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak lapan kes pemindahan minyak secara haram di Tanjung Piai dilaporkan dan yang terbaru berlaku pada 10 Februari lalu.
Mengulas lanjut, tambahnya, hasil siasatan mendapati, kedua-dua kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit daripada Pengarah Jabatan Laut untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat 34 anak kapal berusia 22 hingga 58 tahun terdiri daripada 23 rakyat China, Indonesia (5), Taiwan (2), Filipina (2) dan masing-masing seorang Myanmar dan Singapura di atas kapal.
"Pemilik kedua-dua kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal.
"Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

No comments:

Post a Comment