Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

14 ditahan salah guna dadah





KOTA TINGGI 18 Mac – Seramai 14 orang termasuk seorang wanita ditahan kerana terbabit kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam tiga serbuan yang dilakukan polis dalam tempoh 24 jam.
Operasi pertama kelmarin oleh tujuh anggota polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Asisten Supritendan Mohd. Haidzir Che Pa telah membuat beberapa serbuan di Felda Bukit Aping Timur di sini.
Dalam serbuan ‘Ops Tapis’ bermula pukul 3 pagi hingga 12 tengah hari itu, seramai 10 penagih dadah berusia antara 20 hingga 45 tahun itu dicekup.
Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Bakawali, Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram yang membawa kepada penangkapan dua penagih dadah berusia 43 dan 44 tahun yang disyaki turut menjadi pengedar dadah.
Polis turut menemui satu bungkusan berisi serbuk kuning seberat 135 gram dipercayai heroin dan satu lagi bungkusan seberat 1 gram dipercayai syabu.
Kedua-dua mereka dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk membantu siasatan mengenai rangkaian pengedaran dadah di sekitar daerah ini
Pada pukul 3.30 pagi keesokannya, Ketua Balai Polis Mawai, Sarjan Ibrahim Mamat bersama tiga anggota lain berjaya mengesan sebuah kenderaan yang digunakan seorang lagi suspek pengedar di kawasan Felda Bukit Aping Barat di sini.
Kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang dipandu suspek berusia 32 tahun dan turut membawa seorang wanita berusia 22 tahun itu ditahan dan hasil pemeriksaan menemui ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 28 gram, dadah dipercayai heroin seberat 25 gram, dadah dipercayai syabu seberat 0.5 gram dan ketamin seberat 0.5 gram.
Difahamkan, lelaki yang baru keluar Penjara Penor, Pahang pada September tahun lalu atas kesalahan dadah itu mengaku telah beberapa kali menjalankan pengedaran dadah di sekitar Felda Bukit Aping dan Felda Gugusan Tengaroh di Mersing.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan 13 lelaki dan seorang wanita ditahan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru kerana terbabit dalam kegiatan dadah.
Katanya, empat daripada suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment