Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Tekong dicampak awak-awak ke laut belum ditemui



KUALA TERENGGANU - Nasib seorang tekong bot nelayan warga Thailand yang dipukul dan dicampak ke laut setelah bergaduh dengan empat awak-awaknya belum diketahui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata, lelaki itu dicampak di perairan Pulau Redang dalam kejadian pada 4 petang Ahad lalu dipercayai berpunca daripada salah faham.

Pembantu tekong, juga warga Thailand, yang turut dicampak ke laut setelah ditumbuk awak-awak, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Manoharan berkata, pembantu tekong berumur 54 tahun itu berada di laut hampir 24 jam sebelum ditemui dalam keadaan lemah di pantai berkenaan dengan kesan lebam di muka pada 3 petang keesokan harinya.

Dia dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan. - Bernama

Budak maut dirempuh kereta api


31 MAC 2011: Jenazah bayi 19 bulan, Mohd Adam Mukris Mohd Ariff Jaafar yang maut selepas dirempuh sebuah kereta api dibawa oleh anggota keluarga untuk di hantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat, di Machang, Kelantan. - Utusan/ROSNI MASRI

2011/03/31

MACHANG: Seorang budak lelaki berusia setahun tujuh bulan mati dirempuh keretapi di Kilometer 457.5 antara Kampung Sungai Bedal dan Temangan, dekat sini pagi tadi.

Ketika kejadian 8.50 pagi itu, mangsa Ahmad Mukhriz Mohd Atif dikatakan sedang menyeberangi landasan keretapi kerana mengekori datuknya yang berada berhampiran landasan tersebut melihat tanaman tebu yang diusahakan di tanah rezab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Ketua Bahagian Pengurusan Polis Daerah Machang, ASP Loo Lian Lay, berkata Mahmud Mat Daud, 58, mendapati cucunya maut di tempat kejadian akibat kecederaan di muka dan badan, dan mayat Ahmad Mukhriz dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
"Mahmud membuat laporan di Balai Polis Temangan mengenai kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Pengurus KTMB Wilayah Timur Ibrahim Sulaiman, berkata punca kejadian sedang disiasat dan keretapi yang terbabit ialah Ekpress Senandung Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat. - BERNAMA 

4 sukarelawan wanita KDRM didakwa rasuah


2011/03/31

SHAH ALAM: Empat sukarelawan wanita Kastam Diraja Malaysia dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas pertuduhan meminta rasuah dan menipu, lima tahun lalu. 

Norfarisha Samsudin, 32, dari Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah meminta suapan wang tunai RM4,000 daripada pemilik Syarikat Megah Stainless Steel Engineering, Wong Ying Lin, 31, sebagai dorongan untuk tidak mengenakan cukai jualan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Megah Stainless Steel Engineering, No 4, Jalan SU, Taman Industri Selayang Utama, Batu Caves, Gombak, kira-kira 5 petang pada 21 September 2006.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Nor Farisha diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini untuk menyebut semula kes. 

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen lain, Norfarisha didakwa bersama-sama Pa'aiza Baki, 42, dari Bandar Tasik Selatan dan Noor Asmarzillah Abdullah, 32, dari Ampang, menerima suapan RM4,000 daripada Wong di tempat, masa dan tarikh yang sama. 

Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan mereka masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April untuk sebutan kes. 

Bagi kedua-dua pertuduhan, jika sabit kesalahan, semua tertuduh berdepan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997. 
Sementara itu, Norfarisha dan Noor Asmarzillah turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersama-sama Masitah Nasir, 30, dari Cheras, menipu Wong bahawa mereka ialah pegawai Kastam sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM1,300 kononnya sebagai sumbangan iklan bagi penerbitan Buletin Kesatuan Pegawai Marin Jabatan Kastam (CAMAR). 

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Megah Stainless Steel Engineering, kira-kira 11 pagi pada 8 September 2006, mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Hakim Asmadi Hussain membenarkan ketiga-tiga wanita diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan kes. - BERNAMA 

Dua pengikut fahaman syiah didakwa


2011/03/31

RAWANG: Seorang pengikut fahaman Syiah, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang terhadap pertuduhan membantu mengembangkan fahaman yang telah diharamkan itu. 

Tertuduh, Mohd Kamil Zuhairi, 46 didakwa membantu dalam mengembangkan kumpulan syiah yang melanggar fatwa tentang fahaman Syiah yang telah diwartakan pada 24 September 1998.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis, beralamat 9C Jalan SG 3/16 Taman Seri Gombak, Batu Caves, Hulu Selangor, antara 9 malam dan 10.40 malam pada 15 Disember 2010.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan yang dinyatakan dan arahan-arahan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama. 

Jika disabitkan kesalahan, dia yang diwakili peguam Muhammad Burok, boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya. 

Fahaman terbabit didapati menyeleweng oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor kerana bertentangan dengan ajaran Islam yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh iaitu Mohamed Mokhsen Mad Merhad tidak dapat diambil pengakuannya berikutan tertuduh yang juga warga Iran tidak memahami bahasa Melayu. 
Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan melantik jurubahasa bagi kes Mohamed Mokhsen dan menetapkan 14 Julai untuk perbicaraan kes Mohd Kamil Zuhairi. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat Mohd Kamil Zuhairi di tempat dan pada waktu yang sama mengikut Seksyen 46 mengikut seksyen dan enakmen yang sama. 

Pendakwaan dilakukan oleh pendakwa syarie Muhammad Rafizan Ahmad Sufian. 

Dalam kejadian itu, mereka adalah antara 128 yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam serbuan ke sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Seri Gombak, dekat sini, yang dipercayai menjadi kubu kuat pengikut ajaran Syiah. 

Ketika serbuan ratusan pengikut Syiah terbabit mengikuti ceramah khas yang disampaikan seorang lelaki warga Iran. - BERNAMA 

Pencuri lembu kena perangkap



LINGGI – Kesungguhan orang kampung menyelesaikan kemelut penduduk di sini yang sering kehilangan lembu akhirnya terjawab apabila berjaya memberkas pencuri terbabit.

Penduduk, Mohd Rafidi Ahmad, 30, berkata, kejadian kecurian di Kampung Tampin Linggi memang sudah berlaku sejak dahulu lagi dan semakin kerap terjadi kebelakangan ini.

Menurutnya, modus operandi pencuri terbabit akhirnya berjaya dipatahkan apabila penduduk mengumpan lembu bagi membolehkan dia diberkas.

“Dua daripada empat pencuri berjaya diberkas. Kami terpaksa mengenakan umpan lembu bagi menarik mereka mencuri.

“Pencuri berkenaan bukan dari daerah ini dan hanya mengambil kesempatan melakukan jenayah ini apabila menyedari di sini banyak lembu berkeliaran,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Linggi, semalam.

Mohd Rafidi berkata, petang Selasa lalu, ada penduduk kampung yang menemui beberapa jarum sumpit di kawasan jalan utama Kampung Tampin Linggi.

“Pencuri itu menggunakan tembakan pelali agar lembu pengsan dan dapat dilarikan menggunakan kereta atau lori. Kebiasaannya lembu yang dicuri bersaiz sederhana bagi memudahkan mereka mengangkat dan diletakkan di dalam kereta.

“Kami menjangka pencuri melakukan kegiatannya pada waktu malam di kebun dan kira-kira 20 penduduk berjaga dan kemudiannya kira-kira jam 2.45 pagi, empat pencuri datang dengan menaiki sebuah kereta,” katanya.

:Menurutnya, dengan menggunakan sebuah van, mereka menghalang laluan kereta pencuri terbabit sebelum mereka lari menyelamatkan diri.

“Kami semua cuba mengejar mereka tetapi tidak berjaya. Bagaimanapun, ia tidak melumpuhkan semangat menjejak pencuri terbabit.

“Pada sebelah pagi sewaktu rondaan dilakukan, kami terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan duduk di perhentian bas, di sini,” katanya.

Mohd Rafidi berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 7 hingga 8 pagi di kawasan berasingan.

“Salah seorangnya tidak berselipar dan ketika ditahan, dia mendakwa sedang memancing. Sementara, seorang lagi ditemui menyorok di longkang besar tepi jalan.

“Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Linggi untuk tindakan lanjut dan dua lagi pencuri masih bebas,” katanya.

Ketua kampung, Ariffin Bahar berkata, sejak berlakunya kecurian di kampung berkenaan, memang ada sukarelawan yang sering berjaga bagi memastikan kecurian tidak berulang.

“Ini kali pertama penduduk berjaya menangkap pencuri lembu.

“Di kampung ini boleh dikatakan hampir setiap penduduk membela lembu walaupun bilangannya tidak banyak dan ada diletakkan di kandang serta ada juga dilepaskan berkeliaran,” katanya.

Menurutnya, pencuri lembu dipercayai bergerak dalam kumpulan berbeza dan mempunyai strategi mencuri bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Diharapkan kegiatan ini tidak berulang kerana pasukan sukarelawan rondaan di kawasan ini begitu serius menangani masalah ini,” katanya.

Warga emas nyaris maut



BEMBAN - Seorang warga emas nyaris maut apabila seekor ular tedung tikus sepanjang tiga meter masuk ke dalam rumahnya di Kampung Asam Kumbang di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam, ketika Salim Ali, 67, makan di meja dapur dan berjaya ditangkap oleh Mohd Razak Taib, 49, menggunakan tangan tanpa bantuan sesiapa.

Salim berkata, dia terdengar bunyi pelik sebelum terkejut melihat reptilia terbabit berlingkar di bawah almari yang jaraknya hanya satu meter daripadanya.

Menurutnya yang mempunyai masalah penglihatan, dia bersyukur kerana menyedari kehadiran haiwan berbisa itu sebelum keluar perlahan-lahan untuk meminta pertolongan penduduk kampung.

“Ini kali pertama ular masuk ke dalam rumah, lagipun sebelum ini saya banyak kali terserempak dengan ular sawa di kawasan luar rumah.

“Keadaan kawasan rumah yang semak samun dan kehadiran tikus di rumah saya mungkin mengundang haiwan ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Salim yang menyara hidup dengan menoreh getah, berharap ada pihak yang sudi bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumahnya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, dia sudah uzur dan tidak berdaya melakukannya seorang diri.

Sementara itu, Mohd Razak berkata, dia mengambil masa tiga minit untuk menangkap reptelia itu.

Menurutnya, sesiapa mahu meminta pertolongan menangkap ular boleh menghubunginya menerusi 016- 656 9830.

Tonto kereta mewah



AYER KEROH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka mengenal pasti modus operandi terbaru penjenayah menyeludup rokok ke negara ini adalah dengan bantuan tonto berkereta mewah bagi mengelakkan suspek ditangkap pihak penguat kuasa.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd Nasir Said berkata, kereta lama dan buruk juga digunakan kumpulan penjenayah bagi menyekat penguat kuasa yang menghalang kerja penyeludupan.

“Tonto yang berkereta mewah digunakan untuk melarikan suspek sekiranya terdapat serbuan JKDM, sementara kereta buruk pula digunakan mereka untuk menghalang dengan melanggar kenderaan penguat kuasa daripada terus mengejar suspek.

“Penyeludupan rokok turut dilakukan dari negara jiran menggunakan van pelancong, selain lori dengan cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu serta memaparkan nama syarikat yang tidak wujud pada lori terbabit,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelupusan Rokok yang diadakan di Wisma Kastam, di sini, semalam.

Pendandan rambut dihukum gantung atas tuduhan menculik dan membunuh budak pintar





2011/03/31

KUALA LUMPUR: Seorang pendandan rambut dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah TInggi Kuala Lumpur atas tuduhan menculik dan membunuh seorang pelajar pintar, Lai Ying Xin, 16, di Kulai Johor tiga tahun lalu. 

Mahkamah turut memerintahkan dua rakan remajanya berada di penjara selama diperkenan Sultan Johor atas tuduhan sama.

Enam lagi pegawai kastam ditahan





2011/03/31

KUALA LUMPUR: Enam pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM), termasuk dua wanita ditahan di Johor kelmarin kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit yang dibongkar pada Isnin lalu.

Sumber memberitahu Berita Harian, penahanan itu adalah tindakan susulan penahanan seorang pegawai kanan bergelar Datuk dan isterinya yang juga pegawai kanan kastam di rumah mereka di Pahang.
“Empat pegawai kastam terbabit ditahan untuk membantu siasatan dan kini dalam proses memberi keterangan berhubung kegiatan itu. Lebih banyak penahanan akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Mereka sudah dikenal pasti termasuk pegawai kastam dan orang awam. Senarai itu kini dalam penelitian pihak berkuasa,” katanya. 

Dalam serbuan Isnin lalu, pasukan khas dianggotai KDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua agensi lain dengan diketuai oleh SPRM, membongkar sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit.

Pasukan terbabit menemui wang tunai ratusan ribu berselerakan ketika menyerbu rumah pegawai kanan KDRM Pahang itu. Pasangan itu ditahan di pejabat SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk perintah reman petang kelmarin.

Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun. 
Selain itu, sumber SPRM pula memaklumkan penahanan pasangan pegawai kanan KDRM di Kuantan hanyalah permulaan kepada pembongkaran jenayah terancang membabitkan lebih banyak sindiket dan kumpulan penggurup wang.

Beliau berkata, serbuan secara serentak membabitkan tujuh agensi penguatkuasa di lima negeri itu hanya mendedahkan rangkaian sindiket utama yang terbabit.

"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit mengambil kesempatan terhadap kelonggaran atau kepincangan dalam undang-undang sedia ada bagi memindahkan wang, selain melakukan jenayah seperti mengelakkan cukai dan membersihkan wang haram.

"Masih terlalu awal bagi menilai anggaran kerugian sebenar kerajaan dari segi kutipan cukai dan kehilangan perolehan, tetapi ini adalah kes terbesar SPRM setakat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khalid Mohd Yusof tidak menafikan ada di kalangan 13,000 pegawai dan anggotanya yang bermasalah.

“Kita memberi kerjasama penuh kepada SPRM, termasuk menyalurkan maklumat yang diperlukan bagi membantu siasatan dan yakin suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan secara profesional,” katanya. 

Kes Sosilawati: 4 tertuduh mengaku tak bersalah



31/03/2011 12:36pm

SHAH ALAM – Bekas peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyagan, R.Matan dan R.Khatavarayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, terhadap empat tuduhan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada 30 Ogos tahun lepas.
Keempat-empat tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir.
Akhtar menetapkan selama tiga bulan untuk perbicaraan bermula 4 Julai ini dan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kesemua tertuduh dibicarakan bersama.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot no 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada 30 Ogos tahun lepas.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama

Jual rokok haram, 48 peniaga didakwa



31/03/2011 5:04pm

MELAKA — Sebanyak 48 peniaga didakwa di mahkamah kerana menjual rokok tanpa amaran kesihatan bergambar pada kotaknya yang dikategorikan sebagai rokok tidak sah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, kesalahan peniaga terbabit dikesan dalam operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 atau Ops Basuh pada 5 Januari dan 22 Februari lepas.
"Peniaga yang didapati bersalah menjual rokok tidak sah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun di bawah PPKHT 2004,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Bengkel Serantau mengenai kajian semula pertengahan penggal untuk Yayasan Galakan Kesihatan dan Percukaian Tembakau’ di sini, hari ini.
Liow berkata, 242 peniaga lagi dikenakan kompaun kerana menjual rokok di bawah harga minimum rokok yang ditetapkan kerajaan, melibatkan nilai kompaun berjumlah RM121,000.
Beliau berkata, sebanyak 6,359 paket rokok dirampas dengan nilai pasaran RM22,225. — Bernama

Lelaki samun pusat snuker ditembak mati



31/03/2011 4:56pm

JOHOR BAHARU – Polis menembak mati seorang lelaki dan menahan seorang rakannya, yang dipercayai baru menyamun sebuah pusat snuker yang terletak kira-kira 200 meter dari Balai Polis Permas Jaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai bersama lapan lagi rakan mereka yang masih bebas, menyamun pusat snuker berkenaan pada kira-kira pukul 5 pagi.
Beliau berkata kejadian bermula apabila seorang lelaki yang cedera di tangan datang ke balai polis memberitahu bahawa dia diserang oleh sekumpulan lelaki bertopeng di premis pusat berkenaan.
"Dua anggota polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian, dan sebaik tiba mereka diserang oleh 10 lelaki yang bersenjatakan parang sejurus selepas mereka memperkenalkan diri sebagai anggota pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Katanya dalam usaha mempertahan diri, anggota polis itu terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang menyebabkan seorang daripada kumpulan lelaki itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera di kaki.
Mohd Mokhtar berkata polis kemudian dapat menahan seorang daripada mereka, namun lelaki yang cedera di kaki itu berjaya melarikan diri bersama tujuh yang lain.
Katanya kumpulan 10 lelaki berusia sekitar 20an itu dipercayai baru menyamun juruwang serta pelanggan pusat berkenaan, dan melarikan pelbagai barang seperti seutas rantai dan dua telefon bimbit, serta wang tunai RM1,200.
"Tiga pelanggan mengalami kecederaan selepas ditetak oleh kumpulan lelaki itu, dan mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, di sini,” katanya dan menambah polis merampas lima parang serta tiga topeng yang dipercayai digunakan oleh penjenayah dalam kejadian itu. - Bernama

3 maut Kancil rempuh belakang treler



31/03/2011 5:04pm

GUA MUSANG –Tiga terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah Perodua Kancil, sebuah treler dan sebuah lori kontena di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang–Kuala Krai, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Aziz Hassan berkata yang meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu terdiri daripada pemandu Perodua Kancil, Mat Dahri Yusoff, 35, penumpangnya Sa’ade Mohd Nor, 38, dan pemandu lori, Muhammad Fathimy Hassan, 29.
Beliau berkata ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan, dan mayat mereka dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.
Katanya Mat Dahri beralamat di kedai bangunan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini, manakala Sa”ade tinggal di rumah setinggan Jalan Kesedar Inn, dan Muhammad Fathimy pula berasal dari Pedas, Negeri Sembilan.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata kejadian berlaku ketika semua kenderaan dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang, apabila pemandu treler pengangkut kenderaan itu dipercayai cuba mengelak sebuah lori penuh muatan tong gas yang rosak di hadapannya.
"Treler itu memperlahankan kenderaan menyebabkan Perodua Kancil di belakang merempuh treler berkenaan sebelum ia terbalik, dan dirempuh pula oleh sebuah lori kontena,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aziz berkata sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan dua mayat yang tersepit dalam kereta berkenaan.
Menurutnya pemandu lori kontena dipercayai terbunuh akibat terkena besi daripada belakang treler angkut kenderaan tersebut, namun kelindannya, Mohamad Zukhairi Baharom terselamat apabila dia terjatuh ke dalam longkang semasa kejadian. - Bernama

Paip berusia 10 tahun pecah



PASIR MAS – Seramai 14,000 pemegang akuan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sekitar Pasir Mas sehingga ke sempadan Tanah Merah mengalami gangguan bekalan air sejak jam enam petang kelmarin.

Ketua Jabatan Operasi dan Perkhidmatan Pelanggan AKSB, Mohd Asri Awang berkata, ia adalah berikutan paip utama yang berusia 10 tahun pecah dari Loji Air Kelar ke Tangki Lemal.

Beliau berkata, ia berlaku apabila tekanan di dalam paip dan di bahagian luar berbeza sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran.

Menurutnya, ini merupakan kejadian ketiga yang berlaku di kawasan tersebut dan kerja-kerja menyelenggarakan sentiasa diawasi agar tidak berulang di masa hadapan.

Beliau berkata, pihaknya berusaha menggantikan paip rosak sejak jam enam petang hingga jam tiga pagi kelmarin dan disambung semula jam lapan pagi semalam.

“Kami akan berkampung di sini selama 18 jam bagi menyelesaikan masalah yang berlaku agar semua pengguna AKSB di sini tidak mengalami kesulitan.

“Kos pembaikan tersebut dijangka menelan belanja sebanyak RM15,000 memandangkan kita perlu menukar paip rosak kepada paip baru,” katanya semalam.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat diminta agar bersabar kerana pihaknya telah mengambil tindakan terbaik bagi menangani masalah gangguan air ini.

“Meskipun paip ini akan berfungsi esok (hari ini), pengaliran air mungkin akan perlahan sedikit berbanding sebelum ini, kerana dijangka 14,000 pengguna akan membuka paip air di rumah serentak.

“Sebarang informasi dan maklumat di kawasan terlibat, diminta menghubungi pihak kami di talian 1300-88-2572,” katanya.

Pengemis tak serik



KUANTAN – Seorang pengemis warga Thailand yang pernah diserahkan kepada Jabatan Imigresen oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) untuk dihantar pulang ke negara asal dua minggu lalu kembali mengemis di sekitar bandar ini.

Hasil maklumat orang ramai, Sinar Harian membuat tinjauan ke beberapa lokasi yang menjadi tumpuan pengemis tersebut dan mendapati dia masih menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.

Ketika ditemui di pasar malam Taman Impian, pengemis yang sedang menadah tangan meminta belas ihsan pengunjung itu memakai baju, seluar, kasut dan tongkat yang sama ketika diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Menurut seorang pengunjung pasar malam, pengemis tersebut telah dihantar oleh sebuah teksi kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Bagaimanapun, setelah menyedari aktivitinya dirakam, pengemis tersebut bertindak melarikan diri.

Sinar Harian pernah dimaklumkan oleh pihak JKM, pengemis tersebut memilih kawasan seperti di pasar malam Berserah, Taman Impian, Cenderawasih, Jalan Gambang, Jalan Gambut, Indera Mahkota 1 dan Taman Gelora sebagai lokasi untuk meminta sedekah.

Dalam laporan Sinar Harian 15 Mac lepas, JKM telah berjaya menangkap pengemis terbabit di pasar malam Taman Gelora dalam Operasi Menyelamat dan menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen pada 14 Mac lepas.

Sebelum ini, pengemis tersebut telah berkali-kali ditangkap oleh pihak JKM tetapi tidak pernah serik menjalankan aktiviti itu.

Bahana banjir, jambatan rosak



KATI – Banjir dibeberapa kawasan di sekitar Kati baru-baru ini menyebabkan jambatan yang menjadi laluan penduduk mengalami kerosakan.

Antara yang rosak ialah jambatan Pekan Kati dan dua jambatan di Kampung Tiong.

Ketua Kampung Kati, Abd Raof Ngah Ibrahim berkata, jambatan di Pekan Kati yang menjadi laluan 17 keluarga dari Kampung Belakang Masjid rosak agak teruk akibat banjir berkenaan.

Menurutnya, dua jambatan di Kampung Tiong yang menjadi laluan utama penduduk turut rosak.

“Jambatan di Pekan Kati baru dibina dua tahun lalu, tetapi disebabkan banjir, berlaku hakisan tanah dan sekarang ia tidak selamat digunakan kenderaan berat,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan keadaan itu, satu lawatan kerja dilakukan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak bersama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kati.

Abd Raof berkata, buat sementara waktu, penduduk menggunakan jalan alternatif lain dengan jarak lebih jauh.

Menurutnya, dengan kerosakan agak serius, tidak mustahil jambatan menjadi lebih teruk dan memberi masalah hubungan laluan kepada penduduk dengan kawasan lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ghazali berkata, pihaknya prihatin dan mengambil berat mengenai masalah yang membabitkan kemudahan rakyat.

Kata beliau, pihaknya akan mengambil tindakan segera menjalankan kerja baik pulih jambatan yang dilaporkan rosak.

“Kita akan segera baiki dua jambatan di Kampung Tiong yang memerlukan kos RM5,000 hingga RM7,000 setiap satu.

“Sementara itu, kerja penyelenggaraan jambatan di Pekan Kati memerlukan peruntukan agak tinggi sekitar RM22,000, jadi kita memerlukan sedikit masa sebelum memulakan baik pulih,” katanya.

Mohd Ghazali berkata, pihaknya sentiasa memberi keutamaan terhadap keperluan penduduk demi menjaga keselesaan.

Denda RM2,600 kerana miliki dadah



JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret Jenayah, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM2,600 atau penjara empat bulan ke atas seorang lelaki bagi dua pertuduhan memiliki dua jenis dadah yang ditemui dalam serbuan di pangsapuri di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Zan Hazly Zulkifli, 25, ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam atas kesalahan memiliki paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat kanabis seberat 1.64 gram.

Dalam serbuan sama, dia juga dituduh memiliki enam paket plastik lut sinar berisi methamphetamine seberat 0.60 gram yang membawa kepada pertuduhan kedua sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) serta dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ketika pertuduhan dibacakan, Mohd Zan tanpa diwakili peguamnya hanya mengangguk faham seterusnya mengaku salah di atas perbuatannya dan meminta Majistret, Hafizah Johor Ariff Johor meringankan hukuman.

Ribut cemaskan warga emas



TAPAH ROAD – Sepasang warga emas di Kampung Changkat Dermawan, di sini nyaris maut apabila bahagian bumbung rumah diterbangkan angin dalam kejadian ribut, awal pagi kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 pagi itu turut menyebabkan sebuah Dewan Kemas Kampung Lubuk Katak rosak akibat ditimpa pokok durian yang patah.

Mangsa, Zainub @ Zainab Ismail, 61, berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya tidur di dalam bilik.

Menurutnya, sekitar jam 1.30 pagi, beliau terjaga kerana mendengarkan bunyi angin kencang di luar rumah namun kembali tidur semula.

“Tiba-tiba sahaja saya terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi dentuman yang kuat namun tidak pasti dari mana datang bunyi berkenaan.

“Saya dan suami bergegas keluar bilik dan mendapati bumbung di dapur diterbangkan angin,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainub berkata, selepas angin kencang menerbangkan bumbung rumah mereka, tiba-tiba hujan lebat menyusul.

keadaan itu, katanya, menyebabkan dapur rumahnya dimasuki air.

“Kebanyakan perkakas terutamanya barangan elektrik rosak kerana terkena air, namun saya bersyukur kerana kejadian ini tidak mendatangkan perkara yang tidak diingini dan kami berdua terselamat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lubuk Katak, Ahmad Adam berkata, angin kencang yang melanda kawasan itu menyebabkan, sebuah dewan yang dijadikan tempat anak-anak tabika Kemas belajar rosak di bahagian bumbung kerana ditimpa pokok.

“Kita harap kerosakan ini dapat dibaiki segera untuk memudahkan anak-anak ini belajar dengan selesa, sedikit sebanyak, kerosakan itu menjejaskan pelajaran mereka,” katanya.

Ribut ganas: 71 rumah rosak



PARIT BUNTAR – Hujan lebat disertai angin kencang yang melanda beberapa kawasan, di sini malam semalam menyebabkan 71 rumah mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung.

Kejadian berlaku di lima kawasan termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau, Mukim Tanjung Piandang, Mukim Bagan Tiang dan Mukim Titi Serong serta sebahagian kawasan bersempadan iaitu di Nibong Tebal.

Penyelaras DUN Kuala Kurau, Mohd Salleh Mat Desa berkata, hasil pemantauan awal pihaknya mendapati, kebanyakan rumah yang terletak berhampiran sawah padi dan persisiran pantai mengalami kerosakan.

Menurutnya, insiden yang berlaku sekitar jam 11 malam itu juga menyebabkan 13 rumah di DUN Kuala Kurau mengalami kerosakan dengan anggaran keseluruhan hampir mencecah RM21,000.

“Mukim Bagan Tiang merupakan kawasan yang paling banyak mengalami kerosakan iaitu sebanyak 48 rumah.

“Selain kerosakan 10 rumah di Mukim Tanjung Piandang, dua sampan nelayan turut musnah, kita akan maklumkan masalah itu kepada Lembaga Kemajuan dan Ikan Malaysia (LKIM) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian ketika kunjungannya ke kediaman mangsa ribut, di sini.

Hadir sama, Penghulu Mukim Kuala Kurau, Shahrul Farid @ Faisal Yasmi Sobri, Ketua Kampung Parit Abas, Mohd Appandi Yusuf, Pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Daerah Kerian.

Mohd Salleh berkata, buat masa ini, pihaknya masih menilai jumlah kerugian dan kerosakan sebenar.

Menurutnya, pihaknya juga akan memberi perhatian terhadap Tadika Pasti di Parit Abas yang turut mengalami kerosakan sama di bahagian bumbung.

“Di kawasan Kuala Kurau, bantuan awal telah disalurkan mengikut kerosakan masing-masing, sementara untuk kawasan mukim lain, jabatan yang terlibat telah membuat bancian dengan mengumpul kesemua data mangsa serta gambar kejadian sebelum bantuan disalurkan segera,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan persisiran pantai agar sentiasa berwaspada terutama pada musim hujan dan angin kencang.

Menurutnya, meskipun jumlah kerosakan membabitkan tempat kediaman tinggi, pihaknya bersyukur kerana insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

Banjir jejas sara hidup Simah



ALUR REKAM - “Setiap kali hujan lebat, beginilah keadaan kami, perniagaan terjejas, perkakas dapur dan elektrik juga turut musnah. Tidak tahulah bila semua ini akan berakhir, makcik sudah tidak sanggup menghadapi semua ini,” kata Simah Ismail, 50.

Simah ialah peniaga warung makan yang sering berhadapan banjir lumpur setiap kali hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan kawasan rumahnya digenangi air sehingga 0.75 meter.

Katanya, peristiwa banjir lumpur yang berlaku hampir setiap tahun di kampung terbabit menyebabkan dia turut mengalami kerugian ribuan ringgit berikutan beberapa perkakas elektrik dan perabot ditenggelami air yang naik secara mendadak sehingga mencecah satu meter.

Katanya, masalah yang sudah lebih tiga tahun berlarutan itu dipercayai berpunca daripada sistem perparitan tidak sempurna menyebabkan air cepat melimpah sehingga memenuhi pekarangan rumahnya.

“Kalau setakat luar rumah tidak apa, ini habis ke bahagian dapur. Sudah banyak kali peti sejuk makcik rosak kerana ditenggelami air.

“Bila banjir begini, perniagaan makcik juga turut terjejas, macam mana hendak buka kedai kalau air penuh?” katanya.

Menurutnya, dia amat berharap pihak berkenaan segera membina sistem perparitan lebih sempurna agar kemelut yang membabitkan lebih lima keluarga yang tinggal di situ segera diatasi.

“Kasihanilah dengan keadaan kami. Dapur, bilik air, semuanya tenggelam. Mereka di luar sana tidak rasa apa yang kami rasa, cuba sekali-sekala datang, duduk sini, pasti tidak tahan dengan keadaan ini,” katanya.

Bongkar isu seleweng



IPOH – Satu lagi pendedahan dibuat PKR negeri berkaitan isu penyelewengan 1.2 hektar tanah oleh Kerajaan Negeri yang menjadi milik UMNO Bahagian Gopeng sejak 20 Julai 2010.

Naib Pengerusi PKR, Chang Lih Kang berkata, mereka mendapat dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian berkaitan sebidang tanah seluas 1.2 hektar diberikan kepada UMNO Bahagian Gopeng nombor hakmilik HSD 6527.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Negeri memberikan tanah berkenaan kepada UMNO Bahagian Gopeng dianggap satu penyelewengan serius.

“Ini menunjukkan satu lagi kes rasuah dengan menyalahgunakan kuasa untuk menguntungkan kroni,” katanya pada sidang media, di Pejabat PKR Negeri, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Gopeng yang juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Lee Boon Chye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai; Setiausaha PKR Negeri, Anuar Zakaria dan Timbalan Setiausaha PKR Negeri, Tan Kar Hing.

Katanya, PKR mengecam sekeras-kerasnya kerana UMNO tidak ada hak mendapat tanah itu.

“Ribuan petani dan pengusaha tidak mendapat hak masing-masing, sedangkan mereka telah mengusahakannya sejak sekian lama.

“Sikap tamak haloba pemimpin Barisan Nasional (BN) yang merampas khazanah negeri menunjukkan BN telah mereput,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa penyelewengan tanah melibatkan Kerajaan Negeri dikesan dan dibongkar PKR, antaranya penyelewengan tanah di Kampung Sungai Itek iaitu sebanyak 10 lot tanah di kampung tersusun orang kanan dalam UMNO Gopeng.

“Di kawasan yang sama, tanah seluas 20 hektar diberikan kepada sebuah syarikat yang juga dimiliki orang UMNO Gopeng dan Hutan Melintang.

“Penyelewengan tersebut bukan hanya berlaku di kawasan-kawasan kampung tetapi di bandar Ipoh yang gunakan UMNO dan MCA,” katanya.

Beliau berkata, PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap orang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan.

“Pihak SPRM perlu menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak yang terlibat.

“Kami turut menggesa jawatan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tanah dibekukan sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah menghantar sebanyak dua laporan kepada pihak SPRM berkaitan kes penyelewengan tanah di Perak sejak setahun yang lalu, namun sehingga kini tidak ada sebarang maklum balas diterima.

“Kita boleh menghantar semua laporan kes yang ada kepada pihak SPRM, tetapi dua laporan yang dihantar sebelum ini juga masih belum berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, kami akan memberikan masa untuk badan itu menjalankan siasatan lebih lanjut terhadap kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Isteri diragut tanpa belas kasihan

 

KUAH - Kejadian ragut yang berlaku di Jalan Kubang Badak, Mukim Ayer Hangat pada 8 Mac lalu meninggalkan memori hitam kepada mangsa dan keluarganya.

Zanirah Md Amin, 28, bukan sahaja kehilangan harta benda tetapi terpaksa bertarung nyawa akibat kecederaan kritikal yang dialaminya.

Dia yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi, koma selama enam hari akibat gegaran kuat serta pendarahan serius di kepala.

Mangsa menerima 21 jahitan di bahagian kepala dan tempurung kepalanya terpaksa dibuang bagi mengelakkan pendarahan dalaman yang lebih serius.

Selain itu, tulang pipi mangsa juga retak dan patah.

Suami mangsa, Sulaiman Borhan, 26, berkata, dia menerima panggilan daripada jirannya, Sabri Yon bahawa isterinya diragut dan bergegas ke tempat kejadian.

“Isteri saya menaiki motosikal ketika kejadian dan saya percaya isteri saya diragut kerana melihat kepada kecederaan yang dialaminya.

“Sekiranya dia terlibat dalam kemalangan, dia tidak mungkin akan mengalami kecederaan yang begitu parah,” katanya.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki Zanirah juga mengalami kerosakan kecil.

“Ketika menemui isteri saya di tempat kejadian, dia sudah tidak sedarkan diri dan tangannya masih memegang tali beg tangan yang telah putus sehingga tapak tangannya terkoyak.

“Ini menguatkan kepercayaan, bahawa isteri saya mungkin diragut. Saya juga percaya dia mungkin bergelut dengan peragut, menyebabkan dia dipukul sehingga pengsan,” katanya kepada wakil Sinar Harian.

Kejadian ragut itu menyebabkan Zanirah kerugian hampir RM3,000 apabila dua telefon bimbit, barang kemas serta wang RM300 hilang.

Ketika kejadian, Zanirah baru selesai pantang selepas melahirkan anak bongsunya, Nur Alia Halisa, tiga bulan.

Sementara itu Kakak Zanirah, Zambiah Md Amin, 37, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga Zanirah di hospital.

Zanirah mula sedar sekitar seminggu lalu dan sudah boleh bercakap dan mula mengenali ahli keluarganya.

Pihak polis juga telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Sulaiman berharap pihak polis bertindak pantas dalam menyelesaikan kes isterinya.

Budak maut digilis MPV jiran



KLANG PERDANA - Hasrat pasangan suami isteri membuat kenduri kesyukuran di rumah baru mereka minggu depan tidak kesampaian dan terpaksa pula ditukar kepada majlis tahlil apabila anak sulung mereka maut digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang wanita yang juga jiran terdekatnya di Lorong Klang Perdana (2) C, Taman Klang Perdana, Sementa, di sini, petang kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 petang ketika mangsa anak sulung daripada dua beradik, Muaz Hakimi Mohd Faisal, berusia 4 tahun, sedang menunggang basikal bersama dua rakan lain hanya beberapa meter daripada kediamannya.

Ibu mangsa, Che Wan Nor Al Fatihah Che Wan Othman, 26, berkata, sebelum kejadian dia berada di pekarangan rumah sambil mendukung anak bongsu, Mohd Faiz yang berusia satu tahun setengah.

“Ketika mahu menutup pagar, bunyi dentuman kuat mengejutkan saya dan alangkah terkejutnya ketika berpaling ke arah kenderaan itu anak sulung saya terbaring di jalan raya.

“Saya segera berlari mendapatkannya bagaimanapun sahutan saya tidak berjawab sehinggalah dia disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, malam sebelum kejadian, ketika sedang tidur beberapa kali dia dikejutkan dengan tangisan Muaz seolah-olah seperti dia bermimpi sesuatu yang buruk akan berlaku.

“Apabila dia sudah pergi barulah saya sedar itu adalah petanda yang dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di sini petang semalam.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohd Faisal Mohd Affendi, 32, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, Muaz sering berzikir dan mengikuti laungan azan ketika azan di surau berdekatan kedengaran.

“Dia begitu ceria pada saat itu bagaimanapun sehari kemudian dia kelihatan murung.

“Saat yang paling sukar saya lupakan apabila dua jam sebelum kejadian ketika saya ingin berangkat ke tempat kerja, dia cium tangan saya sambil melambai-lambai,” katanya.

Dia yang bekerja di Pelabuhan Barat berkata, Muaz anak yang baik dan begitu rapat dengan adiknya, Mohd Faiz.

“Kami reda dengan pemergiannya namun kenangan bersamanya tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Pada asalnya saya cadangkan untuk adakan kenduri kesyukuran di kediaman baru yang kami beli kira-kira tiga bulan lalu namun kami pasrah kenduri berkenaan bertukar kepada kenduri arwah,” katanya sebak.

Sementara itu, Pemangku Ketua Bahagian Ketenteraman Awam (KBKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Mohd Zaini Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila seorang wanita memandu kereta jenis Toyota Avanza membelok masuk ke simpang kanan.

“Beliau dipercayai tidak perasan kelibat mangsa dan dua rakannya yang sedang menunggang basikal di kawasan itu.

“Mangsa dipercayai dirempuh dan digilis sebelum basikalnya diseret kira-kira 20 meter hingga ke hadapan kediamannya menyebabkan kepala mangsa hancur dengan organ dalaman pecah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke bilik mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang Zon N43(C) yang juga Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kapar, V Maneyvannan yang hadir di kediaman mangsa menasihatkan penduduk kawasan berkenaan supaya mengawal tindak-tanduk kelakuan anak masing-masing.

“Saya tidak mahu kejadian sama berulang, selain itu, kita akan pastikan pokok-pokok dan juga tanaman yang ditanam di tepi jalan yang dipercayai menghalang penglihatan pemandu akan dicantas dan dibuang.

“Pemandu juga diingatkan agar sentiasa memandu perlahan serta berhemah kerana kawasan berkenaan adalah tumpuan kanak-kanak dan orang ramai,” katanya.

Bantuan RM200 mangsa ribut



ALOR SETAR - Kerajaan Negeri memutuskan untuk menyalurkan bantuan tidak melebihi RM200 kepada mangsa ribut bergantung kerugian dialami termasuk menggantikan peralatan rumah yang rosak.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini berkenaan keadaan mangsa bencana dari daerah-daerah terlibat berdasarkan kepada laporan yang dibuat oleh ketua kampung dan penghulu.

“Kita berasa dukacita terhadap apa yang berlaku sekarang dan akan cuba mengatasi perkara ini termasuk dengan memberi bantuan kepada mangsa banjir serta ribut.

“Antara jenis bantuan seperti ganti atap rumah mereka yang rosak dan memberi sumbangan kepada mereka, tak dapat katakan berapa banyak perbelanjaan dikeluarkan tetapi kita bagi RM200 tetapi ada dapat sedikit berdasarkan keadaan mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, kerajaan negeri memang ada peruntukan untuk menghadapi bencana.

“Dalam Kedah, di bawah peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekiranya bencana itu berlaku di daerah sahaja seperti kejadian banjir di Baling melibatkan 1,331 mangsa dari 35 kampung, tugas tersebut diberikan kepada kawasan.

“Tetapi jika melibatkan lebih dari dua daerah, ia sudah menjadi bencana tertakluk kepada MKN dan kerajaan negeri akan menubuhkan satu sekretariat yang diketuai setiausaha kerajaan termasuk semua agensi sama ada negeri atau pusat terlibat,” katanya.

Azizan berkata, buat masa sekarang, masih belum ada penubuhan sekretariat menghadapi banjir kerana bencana itu hanya di peringkat tempatan dan bukan negeri, namun peruntukan kewangan tetap diagihkan untuk membantu mangsa bencana alam.

“Sehingga jam 6.30 petang kelmarin, sebanyak 14 pusat pemindahan banjir dibuka, terkini hanya tiga sahaja masih beroperasi iaitu melibatkan 20 keluarga manakala 81 mangsa yang lain sudah balik ke rumah,” katanya.

Penagih gam buat pengakuan



KULIM - Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Begitulah ungkapan yang boleh diberikan kepada seorang bekas penagih dadah jenis ganja dan gam tegar ini.

Dia yang kini berusia 31 tahun, insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Untuk berbuat demikian, dia terpaksa mengharungi pelbagai rintangan termasuklah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan Perak.

Dia hanya mahu dikenali sebagai Nuar berkata, sejak dilahirkan dia tidak pernah berjumpa dengan kedua ibu bapa kandungnya sehingga hari ini.

Menceritakan detik awal dia terlibat dalam masalah menghisap ganja dan gam, Nuar berkata, ketika berusia 21 tahun dia berkawan dengan mereka yang terlibat dengan penagihan dadah.

Menurutnya, kebanyakan rakannya ketika itu menggunakan picagari untuk menyuntik dadah, tetapi dia takut untuk melakukannya.

Atas nasihat kawan, mereka mengarah dia untuk menghidu gam dan dari hari itu bermulalah detik hitam dalam hidupnya.

“Bertahun saya menjadi penagih gam dan ganja tetapi keluarga angkat saya tidak langsung mengetahuinya kerana saya lakukan secara diam-diam. Ada dalam kalangan rakan saya yang menagih dadah menggunakan jarum suntikan. Saya takut. Mereka telah memberikan saya RM3 untuk membeli gam kerana mereka kata ‘stim’ sama sahaja.

“Saya akan menghidu empat tin gam sehari. Pada awal subuh saya akan bangun dan menghidu gam serta seterusnya pada waktu tengah hari, petang dan sebelum tidur. Saya tidak perlu makanan hanya gam yang penting ketika itu sehingga mengakibatkan badan saya kurus. Ketika itu saya tidak bekerja. Saya akan minta duit dari keluarga untuk membeli gam,” katanya.

Menurutnya, sampai ke satu tahap di mana masyarakat di taman perumahan dia tinggal mengelarnya mayat bergerak.

Nuar pernah dituduh oleh kakak angkatnya mencuri duit ibunya sebanyak RM50 dan dia menafikan tetapi tidak ada siapa yang percaya.

Kerana berang dengan tuduhan itu, dia telah melemparkan periuk ke kepala kakak angkatnya sehingga cedera.

Nuar ditangkap polis dan dibawa ke Hospital Sungai Petani untuk membuat pemeriksaan mental.

Menurutnya, setelah selesai, dia kemudiannya dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan sebelum dipenjarakan selama empat tahun.

Sepanjang tinggal di penjara, Nuar berkata, dia berasa tenang dan banyak perkara dipelajari.

Menurutnya, dalam penjara dia dipaksa untuk mengerjakan solat.

“Apabila ini berlaku, secara tidak langsung saya mula mendekatkan diri dengan Allah SWT. Selain itu rakan banduan yang ada di dalam penjara turut memberi saya sokongan moral untuk saya meninggalkan perbuatan lama dan menjadi seorang manusia ‘baru’.

“Saya minta Allah lindungi saya apabila keluar dari penjara. Saya sedih kerana selama ini menyusahkan ibu dan bapa angkat saya. Saya bersyukur kepada Allah kerana saya masih diberi kesempatan untuk meminta maaf dan mencium dahi mereka pada hari pengebumian kedua insan yang paling saya sayang serta kasihi. Lebih menyedihkan saya apabila saya dimaklumkan, ibu bapa angkat saya sakit apabila saya dipenjarakan. Mereka terlalu rindu pada saya. Walaupun anak angkat, saya ditatang umpama anak mereka sendiri,” katanya.

Peniaga DVD dakwa dianiaya



ALOR SETAR - Pihak pengurusan kedai ‘Five-E’ tampil mengemukakan rasa tidak puas berikutan sejak tiga bulan kebelakangan ini enam kedai cawangannya sahaja sering menjadi tumpuan operasi rampasan DVD (cakera video digital) oleh pihak berkuasa.

Pemilik kedai, Liew Sze Khian, 29, berkata, dia percaya ada pihak yang menjadi dalang di sebalik semua itu kerana pihak berkuasa memaklumkan operasi tersebut dibuat setelah menerima surat aduan mengatakan kedai miliknya menjual DVD lucah.

Katanya, jika diikutkan sepanjang tempoh berkenaan mereka sudah tidak menjual sebarang DVD lucah namun kedai mereka tetap diserbu dan pelbagai DVD lain termasuk cetak rompak turut dirampas.

“Paling kami tidak puas hati, kenapa kedai kami sahaja menjadi mangsa sedangkan masih banyak kedai lain turut menjual DVD cetak rompak namun tidak ada sebarang tindakan diambil, tambahan pula sewaktu operasi dilakukan tiada sebarang DVD lucah ditemui.

“Dalam tempoh tiga bulan ini sahaja, lebih dari 30 kali kedai rangkaian kami, tiga di Alor Setar, dua di Jitra dan satu di Changlun sering dikunjungi pihak berkuasa, dan setiap kali diserbu lebih daripada 20,000 hingga 30,000 DVD dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.



Mohon siasat dalang surat layang



Sementara itu, rakannya, Lee Lin Huei, berkata, dalam tempoh tiga bulan ini juga mereka telah kerugian lebih dari RM200,000 kerana terpaksa mengeluarkan kembali modal perniagaan termasuk menjamin beberapa orang pekerja yang ditahan polis.

“Berikutan masalah itu, kedai rangkaian kami juga kurang dikunjungi pembeli kerana DVD semakin kurang yang tinggal hanya DVD original dan harganya lebih mahal berbanding DVD biasa.

“Jika betul pihak berkuasa tidak membenarkan DVD cetak rompak dijual kenapa mereka tidak melakukan operasi secara menyeluruh ke seluruh kedai termasuk pasar malam sekitar kawasan ini sebaliknya hanya tertumpu kepada kedai kami,” katanya.

Dia berkata, pihaknya bimbang sekiranya perkara ini berlarutan tidak mustahil dalam tempoh beberapa bulan lagi kedainya akan ditutup kerana tidak mampu menanggung hutang terlalu tinggi.

“Sekiranya perkara tersebut berlaku, bagaimana dengan nasib 30 orang pekerja kami? Ke mana mereka ingin mencari sumber rezeki selepas ini? Sedangkan mereka terpaksa menanggung keluarga.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat menyiasat siapa dalang yang menghantar surat layang kepada mereka sebelum membuat serbuan secara melulu kerana kami percaya ada orang ingin melihat perniagaan kami jatuh,” katanya.



KPDNKK tidak fokus kedai tertentu



Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohd Sakri Salleh, berkata, serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan tidak hanya memfokuskan kepada kedai-kedai tertentu.

“Sebaliknya kami akan menyiasat dahulu setiap aduan yang diterima daripada beberapa individu sebelum membuat pemeriksaan di premis terbabit, walaupun DVD lucah tidak ditemui kami tetap akan merampas DVD cetak rompak.

“Dalam tempoh terdekat, lebih banyak pemeriksaan akan dilaksanakan di premis perniagaan tertutup termasuk memeriksa stor premis bagi membanteras gejala penjualan DVD lucah serta cetak rompak,” katanya.

Katanya, antara lokasi tumpuan sekitar Alor Setar, Jitra, Sungai Petani, Kulim dan beberapa daerah lain yang dikenal pasti.

“Selain itu juga, setiap maklumat individu yang membuat pengaduan akan diberi perlindungan yang sewajarnya supaya keselamatan mereka tidak terancam,” katanya.

Mengaku tidak bersalah



JITRA - Dua warga Thailand iaitu pemandu lori kontena dan kelindan lori mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan pindaan iaitu berurusan untuk menyeludup rokok bernilai RM900,000 di Kilometer 1.6 Bukit Kayu Hitam-Changlun, Disember tahun lalu.

Tertuduh iaitu pemandu lori, Wisut Mekarun, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin di sini, semalam.

Pada prosiding sama, kelindan lori, Ma- Ae Itae, 32, turut dihadapkan dengan pertuduhan yang sama dan turut mengaku tidak bersalah.

Pada 24 Disember tahun lalu, kedua-dua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kilometer 1.6 Lebuh raya Bukit Kayu Hitam- Changlun, kira-kira jam 2 petang.

Pendakwaan kes terbabit dibuat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang bersabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda amaun duti kastam dan maksimum 20 kali ganda amaun duti kastam atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, tertuduh didakwa memindah barang seludup pada masa dan lokasi serupa dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(c) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman sama seperti pertuduhan pindaan itu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 dan Mahkamah Majistret di sini menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, pendakwaan kes terbabit dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), S Morgan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, S M Victor. 

Padah miliki DVD, VCD lucah



GEORGETOWN - Padah memiliki cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) lucah, seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Thor Chee Tatt, 25, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Lebuh Chulia, kira-kira jam 10.30 malam, 10 April 2006, sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Majistret, Noor Aini Yusof, kemudian mengenakan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh dari Batu Lancang disabit kesalahan di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau denda atau keduanya sekali.

Terdahulu, Chee Tatt tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai tanggungan ibu bapa.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim pula berkata, tertuduh tiada rekod lampau dan memohon hukuman yang setimpal dengan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, dalam satu operasi cegah jenayah di kawasan Lebuh Chulia, polis menahan sebuah motosikal yang ditunggangi tertuduh , di tempat, tarikh dan masa seperti pertuduhan.

Hasil pemeriksaan mendapati ada dua keping DVD dan enam keping VCD lucah dalam begnya.

Tukang masak curi beg dijel 12 bulan



GEORGETOWN- Seorang tukang masak dipenjara selama 12 bulan atas kesalahan mencuri beg tangan dan telefon bimbit milik rakan ketika bekerja di Restoran Chicago Rib House, Gurney Plaza, tiga minggu lalu.

Jayavani Sevaguru, 29, dari Taman Desa Rahmat, Relau, Bayan Lepas mengangguk faham dan menukar pengakuan salah bagi kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Noor Aini Yusof, di sini, semalam.

Bagi kesalahan mencuri beg tangan K Parkiavathi yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, beberapa kad ATM, satu kunci motosikal, sekeping cukai jalan motosikal dan wang tunai RM100 dengan nilai keseluruhan RM800 di Restoran Chicago Rib House, Gurney Plaza, Persiaran Gurney, kira-kira jam 10 pagi, 11 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Jayavani dipenjara lima bulan dari tarikh tangkap 11 Mac 2011.

Bagi tuduhan, Jayavani dipenjara tujuh bulan kerana mencuri telefon bimbit jenama iPhone 3G bernilai RM1,500.

Tertuduh didakwa menyembunyikan beg tangan dan telefon bimbit mangsa ke dalam peti simpanan miliknya yang terletak di belakang restoran tempat kerjanya, kira-kira jam 3.30 petang, 21 Februari lalu.

Dalam penghakiman, Noor Aini memerintah kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan.

Bagi kedua-dua kesalahan, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang dalam keadaan menangis meminta maaf kepada mahkamah dan memohon hukuman kerana kesalahan pertamanya dan mempunyai tanggungan seorang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman bersifat pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak melakukan jenayah.

Ibu dalam pantang diragut



KUAH - Kejadian ragut yang berlaku di Jalan Kubang Badak, Mukim Ayer Hangat pada 8 Mac lalu meninggalkan memori hitam kepada mangsa dan keluarganya.

Zanirah Md Amin, 28, bukan sahaja kehilangan harta benda tetapi terpaksa bertarung nyawa akibat kecederaan kritikal yang dialaminya.
Dia yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi, koma selama enam hari akibat gegaran kuat serta pendarahan serius di kepala.

Mangsa menerima 21 jahitan di bahagian kepala dan tempurung kepalanya terpaksa dibuang bagi mengelakkan pendarahan dalaman yang lebih serius.

Selain itu, tulang pipi mangsa juga retak dan patah.

Suami mangsa, Sulaiman Borhan, 26, berkata, dia menerima panggilan daripada jirannya, Sabri Yon bahawa isterinya diragut dan bergegas ke tempat kejadian.

“Isteri saya menaiki motosikal ketika kejadian dan saya percaya isteri saya diragut kerana melihat kepada kecederaan yang dialaminya.

“Sekiranya dia terlibat dalam kemalangan, dia tidak mungkin akan mengalami kecederaan yang begitu parah,” katanya.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki Zanirah juga mengalami kerosakan kecil.

“Ketika menemui isteri saya di tempat kejadian, dia sudah tidak sedarkan diri dan tangannya masih memegang tali beg tangan yang telah putus sehingga tapak tangannya terkoyak.

“Ini menguatkan kepercayaan, bahawa isteri saya mungkin diragut. Saya juga percaya dia mungkin bergelut dengan peragut, menyebabkan dia dipukul sehingga pengsan,” katanya kepada wakil Sinar Harian.

Kejadian ragut itu menyebabkan Zanirah kerugian hampir RM3,000 apabila dua telefon bimbit, barang kemas serta wang RM300 hilang.

Ketika kejadian, Zanirah baru selesai pantang selepas melahirkan anak bongsunya, Nur Alia Halisa, tiga bulan.

Sementara itu Kakak Zanirah, Zambiah Md Amin, 37, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga Zanirah di hospital.

Zanirah mula sedar sekitar seminggu lalu dan sudah boleh bercakap dan mula mengenali ahli keluarganya.

Pihak polis juga telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Sulaiman berharap pihak polis bertindak pantas dalam menyelesaikan kes isterinya.

Pengusaha rugi RM60,000



BANDAR MAHKOTA – Seorang pengusaha bengkel membaiki motosikal kerugian kira-kira RM60,000 setelah premis perniagaannya di Jalan Temenggong, Bukit Mahkota Cheras, Kajang musnah dalam kebakaran malam Isnin lalu.

Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 10.50 malam setelah pemilik premis berkenaan, Chin Chiun Hing, 30 pulang ke rumahnya di Rawang sebelum mendapat panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, premis perniagaannya ditutup kira-kira jam 9 malam seperti biasa dan pulang ke rumahnya di Rawang sebelum mendapat panggilan mengenai kebakaran berkenaan.

“Selepas mendapat saya terus bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan barangan namun gagal kerana api marak menyebabkan beberapa motosikal milik pelanggan mengalami kerosakan teruk.

“Dua motosikal berkuasa tinggi dan dua motosikal biasa mengalami kerosakan teruk berikutan kebakaran berkenaan manakala beberapa barangan aksesori dan minyak pelincir turut musnah dalam kebakaran.

“Akibat kebakaran berkenaan saya mengalami kerugian kira-kira RM60,000 secara keseluruhannya namun saya tetap bersyukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya yang menjalankan perniagaan hampir empat tahun.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Syauqi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 11.11 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Bomba tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11.32 malam bersama dua pegawai dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Bandar Baru Bangi.

“Kebakaran melibatkan sebuah kedai motosikal di tingkat bawah bangunan rumah kedai jenis tiga tingkat dan hampir 30 peratus kedai musnah dalam kebakaran ini.

“Api berjaya dikawal kira-kira jam 11.55 malam tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Botol arak di kawasan awam



RAUB – Sikap segelintir individu yang mengabaikan sensitiviti kaum dan agama mengundang rasa tidak selesa dalam kehidupan bermasyarakat bagi komuniti di sini.

Seorang penduduk, Amirawa Merah, 40, berkata, tindakan meninggalkan botol minuman keras di kawasan awam mendatangkan ketidakselesaan pengunjung dalam kalangan pelbagai lapisan kaum dan agama.

Menurutnya, terbaru kejadian di gelanggang tenis dekat Jalan Tengku Abdul Samad yang menjadi tumpuan golongan muda untuk beriadah.

“Beberapa botol minuman keras ditinggalkan begitu sahaja dekat tempat duduk penonton bersebelahan gelanggang tenis ini.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini tidak seharusnya berlaku sedangkan tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan terlalu hampir dengan kawasan di sini,” katanya.

Amirawa yang juga seorang guru berkata, setiap tahun dia membawa pelajarnya berlatih sepak takraw di kawasan itu.

Katanya, setiap tahun juga perkara sama berlaku seolah-olah langsung tidak ada perubahan dan tiada peningkatan terhadap tahap kesedaran sivik sedangkan sudah sekian lama tinggal dalam komuniti pelbagai rumpun kaum serta agama.

“Dahulu pernah terjadi lebih buruk daripada ini apabila botol yang ditinggalkan terbiar pecah dan mengundang kecelakaan kepada pengunjung pula.

“Senario ini tidak sesuai dilihat umum terutama golongan muda yang sering berkunjung ke sini dengan tujuan menjalani kehidupan sihat beriadah,” katanya.

Dia berkata, keadaan lebih buruk apabila botol itu terbiar sehingga beberapa hari tidak diusik atau dibuang.

Dia berharap supaya perkara ini tidak lagi berulang pada masa akan datang dan penduduk perlu meningkatkan tahap sensitiviti untuk mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai bangsa serta agama di sini.