Search This Blog

Wednesday, February 2, 2011

Tiga polis didakwa edar dadah





IPOH 1 Feb. – Empat lelaki termasuk seorang anggota polis dan dua polis bantuan berhadapan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan mengedar 55.3 gram dadah jenis methamphetamine.
Kesemua tertuduh terdiri daripada Lans Koperal Nor Aqmal Faiz Mohd. Powzi, 23; Lans Koperal Mohd. Zul Fadli Zulkifli, 25; Idris Md. Ishak, 37; dan Koperal Abdul Rahman Mohamed, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumah No. 28, Laluan Pangkalan Indah, Taman Medan Saujana Perdana, pukul 1 petang, 21 Januari lalu.
Kesemua tertuduh menganggukkan kepala tanda memahami pertuduhan masing-masing ketika dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noor Akmal Mustafa Kamal.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada setiap tertuduh.
Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Sementara itu Idris yang juga seorang mekanik turut didakwa di mahkamah sama atas tuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 0.85 gram.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Simpang Pulai pada pukul 6.45 petang 28 Januari lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tiada wang jaminan ditawarkan dan Noor Akmal menetapkan 14 Mac ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan dari Jabatan Kimia.

No comments:

Post a Comment