Search This Blog

Friday, February 4, 2011

Polis masih siasat punca kematian Sarjan Mat Saini Omar



SHAH ALAM 3 Feb. - Polis masih menyiasat punca kematian Sarjan Mat Saini Omar yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepalanya di Jalan Mahang, Puncak Alam 2, Kuala Selangor dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, siasatan yang dibuat akan melibatkan semua aspek.
Menurut beliau, pihaknya juga belum menerima laporan bedah siasat daripada Hospital Tanjung Karang walaupun proses itu telah selesai dijalankan malam tadi.
"Bedah siasat sudah selesai dan jenazah Allahyarham Sarjan Mat Saini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang, Kuala Selangor lewat malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Mat Saini, 50, ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala di tepi Jalan Mahang, Puncak Alam 2.
Mayatnya ditemui berlumuran darah berhampiran kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu oleh orang awam yang lalu di tempat kejadian kira-kira 11.45 pagi.
Turut ditemui di lokasi kejadian ialah sepucuk pistol jenis .38 Smith & Wesson yang dipercayai milik mangsa dengan salah satu daripada lima butir pelurunya telah digunakan.
Ketika kejadian, pintu kereta depan bahagian penumpang dan bonet kereta tersebut didapati terbuka dengan enjin kenderaan dilaporkan tidak dihidupkan.
Mangsa yang sudah lebih 25 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.
Kematian mangsa buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Dalam pada itu, Mohd. Taib turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan, selain turut boleh mendatangkan aib kepada mangsa dan keluarganya

No comments:

Post a Comment