Search This Blog

Tuesday, February 8, 2011

Penjaja degil terima padah

SH


KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengadakan Ops Penjaja Tanjung Lumpur bagi mengambil tindakan terhadap peniaga yang bertindak menyambung gerai jualan mereka menggunakan kanopi dan meja tambahan.

Dalam operasi yang membabitkan 28 anggota termasuk dua anggota polis yang turut bekerjasama, MPK merobohkan beberapa gerai di tapak lama yang tidak dirobohkan pemilik walaupun notis diberikan minggu lalu.

Ketua Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan MPK, Haslinda Hassan berkata, MPK tegas terhadap peraturan yang ditetapkan dalam syarat pelesenan kerana didapati terdapat peniaga yang melanggar syarat itu.

Menurutnya, MPK boleh mengambil tindakan dengan menyita peralatan yang digunakan dalam sambungan gerai jualan tersebut.

“Bagaimana pun, dalam operasi yang diadakan, peniaga diberi pilihan untuk mengalih atau menutup kanvas yang digunakan di kawasan melebih 20x20 yang disediakan MPK.

“MPK kesal dengan tindakan peniaga yang tidak mematuhi syarat dengan meletakkan kanopi dan meja makan di luar kawasan gerai secara tidak langsung menjejaskan imej bandar Kuantan,” katanya kepada Sinar Harian.

Haslinda berkata, peniaga boleh mendapatkan peralatan yang disita dalam tempoh 30 hari daripada tarikh sitaan.

Katanya, peniaga perlu memahami tugas MPK yang bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk berniaga tetapi dalam masa yang sama menjaga imej dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jika didapati situasi tersebut berulang, MPK akan mengambil tindakan tegas selepas ini,” katanya.

Tapak jualan yang baru beroperasi dua minggu lalu itu mempunyai 10 ruang niaga namun hanya lima peniaga memulakan perniagaan.

No comments:

Post a Comment