Search This Blog

Saturday, February 19, 2011

‘Pegawai KDN’ putar alam


KUALA LUMPUR: Bijak menggunakan kata-kata manis selain mengamalkan ilmu penunduk menjadi taktik seorang lelaki berusia 30-an untuk memperdaya mangsa yang terdesak untuk mendapatkan status pemastautin tetap (PR) sebelum melarikan ribuan ringgit.
Difahamkan, setiap individu yang bertentang mata dengan suspek akan patuh kepada arahannya termasuk menyerahkan wang yang dimintanya.

Lebih membuatkan mangsa mempercayai suspek apabila dia mendakwa pegawai Bahagian Perisikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mengenali Pengarah Kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berpangkat Datuk yang boleh membantu mangsa memperoleh PR dengan cara mudah.
Tambah meyakinkan ‘penipu putar alam’ terbabit berani membawa mangsa ke pejabat JPN di Putrajaya seolah-olah segala urusan akan dijalankan, namun terbongkar apabila suspek menghilangkan diri selepas itu.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita dikenali sebagai Rohani, 45, menjadi mangsa lelaki terbabit ketika ingin memohon PR buat suami dan adik iparnya yang juga warga Pakistan.

Rohani berkata, dia mengenali lelaki terbabit di sebuah Stesen Aliran Ringan (LRT) di Jalan Hang Tuah, di sini apabila disapa suspek yang memberitahu mengenalinya ketika dia bekerja di restoran abangnya di Johor.
“Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Azlan menawarkan diri dengan memberitahu mengenali seorang Pengarah JPN bergelar Datuk yang boleh membantu mendapatkan PR buat suami dan adik ipar saya,” katanya.

Menurutnya, dia membuat temu janji dengan lelaki itu pada 7 Februari lalu kira-kira jam 9 pagi untuk membuat permohonan itu di pejabat JPN. “Saya diminta menyerahkan dua sampul surat bertulis nama suami dan adik ipar yang diisi wang tunai RM2,200 dalam setiap sampul,” katanya.
Rohani berkata, lelaki itu menyuruh dia menunggu di kafe sementara dia naik berjumpa Datuk terbabit.

“Selepas dua jam, saya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan hal itu, namun suspek memberitahu urusan belum selesai dan diberikan nombor telefon Datuk terbabit yang dikenali sebagai Zainal.

“Dia memberitahu Datuk Zainal akan menghubungi saya. Selang beberapa minit saya menerima SMS dari pada Datuk terbabit menyuruh saya datang semula pada jam 3 petang.

“Saya menghantar SMS kepada lelaki itu memberitahu dengan siapa saya perlu berjumpa dan adakah dia akan menemani, namun tidak berbalas. Puas saya cuba menghubunginya telefonnya, tetapi tidak dijawab,” katanya.

Dia yang menyedari ditipu membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah pada malam kejadian sebelum kes itu dirujuk ke Putrajaya.

Difahamkan, kelmarin mangsa mendapat satu lagi kiriman SMS daripada Datuk terbabit memintanya memasukkan RM1,500 dan apabila mangsa enggan, lelaki itu mengugut menahan suaminya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim berkata, orang ramai jangan mudah terpedaya dengan individu yang mendakwa mengenali pegawai JPN dan boleh membantu mereka menggunakan jalan mudah melalui bayaran tertentu.

Menurutnya, mereka yang ingin membuat permohonan seperti kad pengenalan diri, warganegara dan PR perlu datang sendiri ke pejabat JPN untuk berurusan.

“Tiada bayaran sehingga RM2,200 untuk mendapatkan PR.

“Pihak Jabatan juga tidak mengenali Datuk Zainal seperti didakwa mangsa,” katanya.myMetro | ‘Pegawai KDN’ putar alam

No comments:

Post a Comment