Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

Menyorok atas siling takut dicekup



LUNAS - Gara-gara ingin melarikan diri dari dicekup oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK), seorang lelaki yang bekerja sebagai kakitangan awam, berusia 50an hampir terjatuh dari siling rumah kedai milik teman wanitanya di Taman Sediri, kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin.

Jurucakap PADK berkata, PADK sudah dimaklumkan sebelum ini, pasangan itu tinggal bersekedudukan sejak beberapa bulan lalu.

Tetapi perlakuan sumbang mereka ini, sukar dikesan kerana pasangan itu tidak berada di rumah ketika pemantauan dibuat sehinggalah malam kelmarin.

Menurutnya, PADK mendapat maklumat dari orang ramai kira-kira jam 1 pagi dan sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 1.15 pagi sebelum mengepung tempat tinggal pasangan itu.

PADK kemudiannya meminta kerjasama penghuni rumah untuk membuka pintu bagi membuat pemeriksaan tetapi tidak diendahkan. Setelah 10 minit menunggu di luar, seorang wanita warga emas keluar dan memaklumkan kepada PADK tidak ada sesiapa di dalam rumah.

“PADK mendapati kedua-dua kenderaan yang digunakan pasangan itu, ada diletakkan di hadapan rumah.

“Setelah dipujuk dan diyakinkan oleh PADK, wanita itu bersetuju untuk membuka pintu,” katanya.

Ketika pintu dibuka, PADK terdengar bunyi runtuhan siling yang kuat dan bergegas naik ke atas untuk membuat pemeriksaan. Dari pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang wanita berusia 35 tahun berada di ruang tamu. Selain itu siling di bahagian tengah rumah kedai itu juga turut pecah.

PADK meminta pasangan perempuan untuk menunjukkan di manakah kekasihnya bersembunyi tetapi dia enggan memberi kerjasama. PADK kemudiannya memanjat siling dan menemui lelaki menyorok di atasnya.

“Dari siasatan dijalankan, pasangan perempuan merupakan seorang ibu tunggal berusia 35 tahun dan berasal dari Sik Kedah. Berketurunan Siam dan mempunyai dua anak.

“Dia juga mengaku bekerja di rumah urut. Warga emas itu merupakan ibu mertuanya. Suaminya pula sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, keluarga terbabit bukan beragama Islam. Manakala pasangan lelaki pula sudah berkeluarga.

“PADK terpaksa meminta bantuan unit MPV dari Balai Polis Lunas untuk memastikan pasangan lelaki tidak bertindak agresif.

“Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis Lunas untuk membuat laporan tangkapan terhadap diri mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment