Search This Blog

Thursday, February 10, 2011

Matnus tinggal sehelai sepinggang




KAMPAR - Seorang penoreh getah tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya hangus terbakar sebaik sahaja pulang dari menoreh dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, di Kampung Bukit Terang, Jalan Padang Tembak.

Mangsa, Matnus Bahdosi, 49, berkata, ketika kejadian hanya anak perempuan bongsu tinggal bersendirian di rumah itu dan bersyukur tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, dia bersama isteri, Long Ngah, 44, dan tiga anak masing-masing keluar bekerja sementara anak bongsu, Nor Yanti berusia 21 tahun tinggal di rumah.

“Sebaik sahaja pulang menoreh, saya dapati rumah sudah terbakar dan semua harta benda tidak dapat diselamatkan lagi” katanya kepada Sinar Harian.

Matnus yang berketurunan Orang Asli berkata, semua dokumen pengenalan diri dan ahli keluarga musnah dalam kebakaran memandangkan tiada satu pun sempat untuk diselamatkan.

“Kami hanya tinggal sehelai sepinggang, tak tahu bagaimana nasib selepas ini,” katanya yang lebih 20 tahun menetap di situ.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Baharudin Saru berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengah hari dan tiba lima minit kemudian.

“Api dapat dikawal pada jam 12.38 tengah hari dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari,” katanya menjelaskan seramai 15 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja panggilan diterima.

Selain itu, wakil Ahli Parlimen Kampar yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Kampar, Chang Gwo Chyang dan Pemuda MCA Kampar, Leong Tak Chee hadir meninjau keadaan.

Menurut Gwo Chyang, bantuan kilat sebanyak RM500 telah disumbangkan bagi meringankan beban mangsa, selain boleh digunakan untuk membantu menguruskan perbelanjaan sementara mendapat tempat berteduh.

“MCA akan memberi sumbangan pakaian terpakai buat sementara, di samping telah memaklumkan kejadian ini kepada pihak berkenaan supaya beberapa bentuk bantuan lain dapat disalurkan,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, Nor Yanti masih lagi trauma dengan kejadian itu dan hanya mampu mengalirkan air mata tanpa menceritakan apa sebenarnya terjadi.
SH

No comments:

Post a Comment