Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

Lelaki edar kanabis dihukum 'gantung kali kedua'



PULAU PINANG 31 Jan. - Seorang lelaki kelihatan tenang dan menganggukkan kepala beberapa kali selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman 'gantung kali kedua' setelah didapati bersalah mengedar 35 kilogram kanabis, 13 tahun lalu.
Itulah reaksi spontan Mohamed Musa Amanullah, 38, ketika Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim menjatuhkan hukuman terhadapnya yang pernah menjadi pembantu kedai kopi.
Di mahkamah yang sama pada 2004, Mohamed Musa telah dihukum gantung setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar kanabis tersebut yang dilakukannya pada 1998.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman gantung kali pertama ditangguhkan sementara waktu setelah tertuduh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung sabitan dan hukuman atas alasan berlaku kesilapan teknikal.
Mahkamah tersebut membenarkan rayuan Mohamed Musa dan memutuskan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.
Sementara itu, dalam keputusannya hari ini, Nurmala berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terutama mengenai persoalan pemilikan ganja tersebut.
Beliau menjelaskan, pembelaan tertuduh juga bersifat penafian semata-mata apabila dia mendakwa tidak mempunyai pengetahuan mengenai ganja itu.
Mohamed Musa dilihat bersahaja sambil menundukkan kepalanya memandang lantai mahkamah apabila jurubahasa menerangkan kepadanya, hukuman yang diputuskan oleh Nurmala.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Musa didakwa mengedar 35,040.5 gram kanabis kira-kira pukul 9.30 malam, 4 Januari 1998, di Jalan Akuarium, Gelugor di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng sementara tertuduh diwakili peguam Jagdeep Singh Deo.

No comments:

Post a Comment